RAMAI ibu bapa tidak suka apabila ada ibu bapa lain cuba menegur dan mengajar mereka bagaimana cara mendidik anak. Jika silap teguran, dikata kita menyibuk pula kan!

Bukan menyibuk tetapi ada beberapa perkara yang ibu bapa perlu pertimbangkan sebelum melakukan perkara yang disenaraikan di bawah ini.

1. MEROKOK DEPAN ANAK

Merokok depan anak adalah perkara yang paling teruk dilakukan oleh ibu bapa. Bukan sahaja, rokok memudaratkan kesihatan anak sebagai perokok kedua tetapi juga boleh memberikan kesan jangka panjang pada anak apabila dewasa nanti. Jadi, jangan terkejut anak masuk sekolah menengah sudah berjinak-jinak dengan rokok!

Rokok adalah punca utama anak kecil mengalami masalah kesihatan berpanjangan antaranya kematian mengejut (SID), jangkitan telinga, batuk dan selsema, Bronchitis dan Pneumonia, masalah gigi dan penyakit bahaya lain seperti kanser paru-paru dan serangan jantung.

Kepada Ayah perokok, berhentilah!!!!

2. BAWA ANAK LEPAK KEDAI MAMAK TENGAH MALAM

Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa bawa anak ke kedai mamak tengah malam sama ada menikmati makanan atau lepak minum. Lebih menyedihkan, bawa anak yang masih kecil, bukankah sepatutnya mereka sudah tidur lena di rumah?

Tidur awal adalah sangat penting kepada kanak-kanak, selain itu keadaan kedai mamak yang bising dan pencemaran udara dengan asap rokok menyebabkan kedai mamak menjadi antara lokasi tidak sesuai buat anak-anak.

3. BAWA ANAK KE PAWAGAM

Ramai saja ibu bapa bawa anak kecil tengok wayang. Jika bawa tengok cerita kartun tidak mengapa, ini bawa anak kecil yang tidak tahu apa-apa menonton cerita seram? Ini siapa yang seronok, mak ayah saja kan? Tidak ada faedah pada anak sebaliknya boleh menjejaskan pendengaran anak kecil.

BACA>>> Mak Ayah Tahu Tak Bawa Bayi ke Panggung Wayang Boleh Bahayakan Pendengaran Anak!

4. BIARKAN ANAK MAIN TELEFON UNTUK DIAMKAN ANAK

Biasa sangat kita tengok bila mak ayah sajikan anak dengan telefon ketika berada di kedai makan. Tujuannya, bagi membolehkan mak ayah makan dengan tenang, anak pula tidak meragam. Untuk seketika mungkin tidak mengapa!

Tetapi, kekerapan menonton skrin boleh menyebabkan banyak mudarat kepada mereka antaranya gangguan tidur, tidak memberikan tumpuan kepada pembelajaran dan mungkin terdedah dengan video tidak berfaedah. Berpada-padalah!

5. TINGGALKAN ANAK DI TAMAN MAINAN BERBAYAR SENDIRIAN

Di pusat membeli-belah biasanya ada taman mainan kanak-kanak berbayar ini. Ada ibu bapa yang sering meninggalkan anak di sana bagi membolehkan mereka membeli-belah dengan tenang.

Tahu tak mak ayah semua? Kakitangan di sana tidak memantau anak anda setiap saat dan tidak dijamin anak anda selamat sepenuhnya. Banyak perkara negatif boleh berlaku pada anak anda.

Jika ada yang berniat jahat boleh saja culik anak anda! Atau mungkin anak anda mengalami kecederaan ketika bermain tanpa pengawasan anda. Bila berlaku, ini salah siapa? Pihak pengurusan?

6. BAWA ANAK NAIK MOTORSIKAL TANPA HELMET

Keadaan ini biasa dilihat di kawasan taman perumahan dan kampung. Setiap pagi apabila hantar anak ke tadika selalu sangat tengok ayah hantar anak ke sekolah tanpa helmet.

Alasan biasa yang digunakan untuk tidak menggunakan helmet kerana jarak dekat hanya disebelah taman atau sebaliknya. Malang tidak berbau bang. Sayang anak, pakailah helmet walau hanya bawa anak ke kedai runcit lorong sebelah sekali pun.

BACA>>> Aduhai, Bila Mak Ayah Ambil Mudah Keselamatan Anak…

Fikir-fikirkanlah ya mak ayah, mana yang baik kita ambil dan yang buruk kita tinggalkan. Semua perkara diatas tidak mendatangkan kebaikan buat anak. Semoga menjadi ibu bapa contoh buat anak-anak anda.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda