IBU rungsing anak sudah 2 tahun tetapi masih tidak mahu menyusu. Janganlah risau, walaupun ramai beranggapan anak perlu berhenti menyusu ibu dalam usia itu, tetapi jangan dipaksa  kalau dia masih belum bersedia.

Kita boleh lakukan perlahan-lahan hingga anak berhenti sendiri. Menyusukan anak ketika usia melebihi 2 tahun tidaklah jadi satu kesalahan. Malah, daripada segi kesihatan ada banyak manfaat kepada ibu dan anak, dikenali penyusuan lanjutan atau extended breastfeeding.

APA ITU ‘EXTENDED BREASTFEEDING’

Sesetengah negara, menyusukan anak lebih satu tahun sudah dianggap sebagai extended breastfeeding.

Di Malaysia, menyusukan lebih dari 2 tahun barulah dikategorikan extended breastfeeding. Namun, ada beberapa negara lain yang mempunyai kebiasaan anak mula berhenti menyusu pada usia 3-4 tahun.

APAKAH HUKUM MENYUSUKAN ANAK SELEPAS 2 TAHUN?

Selepas usia 2 tahun, anak sudah mula memerlukan nutrien daripada makanan pejal. Maka, dia tidak boleh lagi bergantung kepada susu badan semata-mata. Namun, tidak salah memberi minum susu badan walaupun sudah melepasi usia 2 tahun sekiranya anak masih belum dapat bercerai susu sepenuhnya.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam kitab Tuhfatul Maudud fi Ahkam al-Maulud:

ويجوز أن تستمر الأم في إرضاعه بعد الحولين إلى نصف الحول الثالث أو أكثره

“Seseorang ibu boleh terus menyusukan anaknya lebih dua tahun kepada setengah daripada tahun ke tiga atau lebih dari itu.”

Pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus berkata, bahawa hukumnya TIDAK HARAM. Bagaimanapun, ada beberapa sumber lain, tiada nas dalam fekah untuk mengharamkan ia walaupun melebihi had 2 tahun.

Ada pula sesetengah ulama berpendapat patut dihentikan selepas dua setengah tahun kerana susu itu tidak lagi berfungsi sebagai pembekal nutrien untuk membesar kepada bayi.


APAKAH MANFAAT ‘EXTENDED BREASTFEEDING’

1. MEMBERIKAN NUTRISI KEPADA ANAK

Ada tanggapan mendakwa menyusukan anak lebih daripada 2 tahun tidak akan memberikan sebarang nutrisi kepada anak. Perkara ini TIDAK BENAR. Selagi kita mempunyai susu, ia akan memberikan nutrisi kepada anak.

2. MENINGKATKAN DAYA TAHAN ANAK

Susu ibu dapat meningkatkan daya tahan tubuh anak daripada beberapa jenis penyakit. Semakin lama anak menyusu susu ibu, anak akan terlindung daripada penyakit bahaya seperti jangkitan telinga dan saluran pernafasan.

3. MEMBERIKAN KETENANGAN KEPADA IBU DAN ANAK

Anak akan dapat ketenangan ketika menyusu. Begitu juga ibu, kita akan mendapat ketenangan diri ketika anak menyusu. Lebih kerap menyusukan anak, maka lebih tenang ibu dan anak.

4. MENGURANGKAN RISIKO KANSER PADA IBU

Ibu yang aktif menyusukan anak mempunyai risiko lebih rendah menghidap kanser payudara. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan risiko kanser ovari dan kanser Endometrium.

5. MENGURANGKAN BERAT BADAN IBU

Jika kena cara yang betul, menyusukan badan boleh membantu kita mengurangkan berat badan. Tetapi perlu disertai senaman dan amalan pemakanan sihat. Pasti berat badan boleh turun.

SUMBER: Alodokter | Zuriat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda