MASALAH sembelit pada kanak-kanak adalah antara perkara yang menjadi kerisauan ibu bapa kerana ia boleh menggangu kesihatan kanak-kanak. Bukan itu saja, ia juga mendatangkan kesakitan hingga mengakibatkan anus berdarah.

Bagaimanapun, sembelit atau susah buang air besar ini biasanya hanya berlaku pada bayi dan kanak-kanak yang diberikan susu formula atau sudah makan makanan lain.

Sebab itu, penting bagi ibu bapa tahu sama ada bayi benar-benar sembelit atau sebaliknya. Baca perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad tentang sembelit dan bayi yang menyusu badan.


ANAK MENYUSU IBU TETAPI SEMBELIT

Assalamualaikum Dr Zubaidi.

Saya ada pertanyaan. Anak saya sepenuhnya breastfeeding. Masa baru lahir buang air besar normal tetapi beberapa minggu kemudian dia tidak buang air besar selama 16 hari ketika usia 37 hari.

Bagaimanapun, tidak ada tanda-tanda yang membimbangkan. Dia kentut seperti biasa. Tidur lena. Perut tidak keras, buang kencing pun ok. Saya terpaksa bawa ke hospital kerana bimbang dan doktor berikan ubat cecair.

Selepas itu, baru dia buang air besar. Tetapi lepas itu, dia kembali tidak buang air besar kini sudah masuk 6 hari. Apa perlu saya lakukan? Adakah normal bayi fully breastfeeding begini? Adakah saya masih perlu berikan dia ubat seperti sebelum ini? Terima kasih.

BACA>>> Inilah Punca Anak Susah Buang Air Besar dan Cara Atasi Sembelit

WALAIKUMUSALAM…

Masalah yang dihadapi oleh anak puan yang berusia kurang dari dua bulan diberikan susu ibu secara eksklusif, tidak membuang air besar setiap hari.

Bagi bayi yang diberikan susu ibu secara eksklusif atau diberikan susu ibu sepenuhnya (tanpa sebarang susu formula atau makanan lain) masalah ini jarang berlaku.

Masalah sembelit selalunya berlaku pada bayi yang diberikan susu formula atau makanan lain.

Jika ia berlaku pada bayi yang diberikan susu ibu secara esklusif, persoalannya adakah bayi tersebut mengalami sembelit. Jika dia mengalami sembelit, ini bermakna bayi tersebut mengalami masalah penghadaman.

Dari masalah yang puan ceritakan, saya percaya bayi puan tidak mengalami sebarang masalah sembelit.

TANDA-TANDA SEMBELIT PADA BAYI

Tanda-tanda sembelit ialah tidak membuang air besar untuk beberapa hari bersama-sama dengan:

1. Membuangkan najis yang keras
2. Bayi terpaksa meneran dan menangis ketika membuang air besar

Jadi, kekerapan buang air besar sebenarnya tidak begitu penting asalkan anak puan masih dapat buang angin atau buang najis yang lembut setelah beberapa hari.

Susu ibu adalah nutrisi yang sangat diperlukan oleh bayi. Ia tidak mengandungi fiber tetapi mengandungi prebiotik yang banyak. Prebiotik ini akan memastikan pergerakan usus berlaku dengan baik, sehinggakan bayi boleh membuang air besar tanpa mengalami masalah sembelit.

BACA>>> Doktor: Anak Berhenti Menyusu Ibu Tidak Perlu Pun Ganti Susu Formula

CARA ATASI BAYI TIDAK KERAP BUANG AIR BESAR

Jadi ada kalanya bayi tidak membuang air besar dengan kerap tetapi dia tidak mengalami sembelit.

Saya mencadangkan puan:

1. Memberikan lebih banyak susu ibu kepada bayi.
2. Boleh lakukan urutan lembut pada perut anak menggunakan minyak kelapa dara.
3. Puan sendiri amalkan makanan prebiotik seperti yogurt.
4. Bagi anak puan, boleh berikan satu titik minyak zaitun atau minyak kelapa dara. Caranya: Bersihkan tangan, celup pada minyak dan titikkan satu titis pada mulut anak. Minyak zaitun dan minyak kelapa lebih natural berbanding dengan Paraffin yg biasa diberikan dari klinik atau farmasi.

Saya mencadangkan bawa berjumpa doktor semula jika anak puan mengalami masalah ini secara berulang. Semoga bermanfaat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda