MASALAH cacing biasanya menyerang kanak-kanak tetapi tidak bermakna orang dewasa terkecuali termasuk ibu hamil.

Ibu hamil boleh mendapat masalah cacing disebabkan oleh kebersihan, di mana ibu hamil tidak mencuci tangan sebelum makan. Kemungkinan juga ibu hamil boleh mendapat cacing ketika membersihkan najis anak yang kemudiannya tidak mencuci tangan.

Jika ibu hamil mengalami masalah ini, adakah mereka boleh minum ubat cacing? Adakah ia selamat atau sebaliknya. Berikut adalah penjelasan Dr Zubaidi Ahmad tentang bahayakah ibu hamil dan menyusu minum ubat cacing.


BAHAYAKAH UBAT CACING UNTUK IBU YANG HAMIL DAN MENYUSUKAN ANAK?

Mebendazole adalah ubat cacing yang banyak terdapat di pasaran kita. Ia dikategorikan sebagai kumpulan C, iaitu kajian haiwan di makmal telah membuktikan terdapat kesan ketoksikan dan menyebabkan kecacatan pada janin dalam rahim haiwan yang diuji (teratogen). Namun, tiada ujian yang dibuat kepada wanita yang hamil, maka kesannya tidak diketahui.

Saya mencadangkan penggunaan ubat cacing hanya diberikan kepada wanita yang hamil, jika ia dirasakan terlalu perlu, contohnya ada tanda jangkitan cacing yang jelas seperti terdapat cacing pada najis di tandas. Jika tidak boleh tunggu pada masa yang lebih selamat.

Bagi wanita yang menyusukan anak, ubat ini menyerap masuk ke dalam susu ibu dalam kuantiti yang kecil.

Saya mencadangkan penyusuan kepada bayi diberikan selepas 24 jam pemberian dos terakhir. Selalunya ubat Mebendazole diberikan sebanyak 100 mg dua kali sehari selama 3 hari. Jadi selepas 24 jam dari dos terakhir (esok harinya), ibu boleh menyusukan anak itu semula tanpa ada rasa risau.

RUJUKAN: Savioli L, Crompton DW, Neira M “Use of anthelminthic drugs during pregnancy.” Am J Obstet Gynecol 188 (2003): 5-6

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda