CEASAREAN adalah pembedahan besar, jadi jangan mendorong diri terlalu cepat untuk bersenam. Enam minggu pertama selepas pembedahan adalah masa bagi proses penyembuhan. Jangan buat sebarang senaman berat dalam tempoh dua bulan pertama.

Inilah dilema ibu bersalin ceasarean, persoalan sama ada bolehkah mereka melakukan senaman kerana khuatir dengan keadaan parut jahitan terbuka dan merbahayakan mereka.

Jadi bilakah anda boleh mula bersenam? Berikut adalah penjelasannya..

BACA>>> 6 Langkah Senaman Mudah untuk Ibu Sibuk Kekal Cergas, Bertenaga

MULAKAN DENGAN SENAMAN LANTAI PELVIS

Anda boleh mula berlatih senaman lantai pelvis sebaik sahaja merasa sihat. Kehamilan menyebabkan tekanan berat ke atas lantai pelvis, jadi senaman ini adalah penting, sama ada bersalin secara normal mahupun ceasarean.

Setiap kali anda mengangkat bayi, ketatkan otot-otot lantai pelvis dan bawah perut pada masa yang sama. Ini akan membantu melindungi belakang dan mengelakkan daripada terkucil.

Sebaik sahaja anda rasa selesa melakukan senaman lantai pelvis, anda boleh mula membuat senaman otot bawah perut, yang akan membantu menegakkan belakang. Tidak mengapa jika anda membuat senaman lembut ini dalam enam minggu pertama. Ia tidak akan mengoyakkan jahitan atau merosakkan parut.

Sesetengah wanita mendapati bahagian kulit di bawah dan sekitar parut mereka lebih tegang berbanding kulit di atasnya. Pengurangan berat badan yang beransur-ansur serta senaman lantai pelvis dan otot bawah perut dapat membantu mengurangkan ketegangan ini dan akan melembutkannya.

Ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan, jadi anda perlu bersabar melakukan senaman, walaupun anda tidak nampak sebarang perbezaan pada mulanya.

Cubalah senaman ringkas ini 10 kali, 2 kali sehari, tingkatkan kepada 3 kali sehari. Jika anda rasa sukar, mulakan dengan 5 kali, 2 kali sehari:

  • Baring menelentang dan bengkokkan lutut.
  • Kemutkan otot lantai pelvis anda sambil menghembus nafas.
  • Tarik pusat anda ke dalam dan ke atas pada masa yang sama.
  • Cuba tahan kemutan ini untuk 10 saat, tanpa menahan nafas.

Jika anda merasa jahitan ngilu, ia tidak membahayakan. Namun, perlu diawasi jika tempat jahitan anda merasa sakit terlampau, mintalah doktor supaya memeriksanya.

SENAMAN 6 MINGGU PERTAMA

Semasa enam minggu pertama selepas bersalin, anda boleh beransur-ansur meningkatkan aktiviti pada kadar yang sesuai. Mulakan dengan berjalan selama 5 minit dan perlahan-lahan meningkatkan masa ini apabila anda rasa lebih kuat. Tanyalah bidan atau jururawat yang melawat di rumah jika anda tidak pasti sama ada sudah boleh melakukannya ataupun tidak.

Senaman yang mengaktifkan jantung dan paru-paru (aerobik) juga akan membantu mengempiskan perut. Lakukan senaman jenis ini selepas pemeriksaan bersalin, jika doktor memberi anda lampu hijau.

SENAMAN AEROBIK 10 MINIT PADA 6 BULAN PERTAMA

Senaman aerobik seperti berjalan laju, berjoging, berenang atau berbasikal akan membantu anda mengurangkan berat badan. Anda mungkin hanya boleh membuat senaman selama 10 minit sahaja pada peringkat permulaan. Kesan hormon kehamilan boleh menjejaskan sendi-sendi sehingga enam bulan selepas bersalin, jadi jangan buat sebarang aktiviti berimpak tinggi terlalu awal.

BACA>>> Doktor: Senaman Kegel Lagi Berkesan daripada Sengkak Rahim yang Jatuh

JANGAN BERSENAM SECARA AGRESIF JIKA…

  • Sukar berjalan
  • Rasa sukar membuat senaman lantai pelvis atau senaman otot bawah perut;
  • Rasa sakit 12 minggu selepas bersalin.

Jika anda mengalami sebarang komplikasi selepas pembedahan, contohnya jangkitan, minta nasihat doktor dan tunggu sehingga anda rasa lebih sihat sebelum bersenam.

SUMBER: BabyCenter

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda