TIKET penerbangan sudah beli, anda pula disahkan hamil. Mahu melepaskan saja peluang itu sayang pula. Dilema dibuatnya!

Pelbagai keraguan yang difikirkan kerana khuatir akan membahayakan kesihatan ibu dan anak yang dikandungkan.

Sering menjadi persoalan dalam kalangan ibu hamil, adakah selamat menaiki kapal terbang ketika hamil? Apakah risiko yang bakal berlaku? Jika boleh bilakah masa sesuai ibu hamil naik kapal terbang?

BACA>>> 10 Tip Bawa Bayi Naik Kapal Terbang dengan Aman dan Sentosa

JADI, BILAKAH MASA YANG SELAMAT NAIK KAPAL TERBANG?

Masa selamat untuk ibu hamil naik kapal terbang adalah pada usia kandungan 15 – 30 minggu.

Ini kerana keguguran boleh berlaku dalam tempoh trimester pertama (kurang 15 minggu) dan pada trimester ketiga (selepas 30 minggu) boleh menjadi punca kepada kelahiran pramatang.

APAKAH MASALAH KESIHATAN YANG BOLEH BERLAKU

Perubahan tekanan udara dan tahap kelembapan rendah akibat ketinggian mungkin boleh menjejaskan kesihatan ibu hamil terutamanya yang mengalami masalah kesihatan jantung.

Hal ini kerana sekiranya berlaku kecemasan di semasa penerbangan, tiada kemudahan perubatan yang lengkap.

Antara kecemasan yang mungkin berlaku adalah:

  • Kadar dengupan jantung
  • Tekanan darah tinggi naik
  • Sukar bernafas

RISIKO IBU HAMIL PERLU TAHU SEBELUM NAIK KAPAL TERBANG?

1. PENDARAHAN

Secara amnya, tidak ada sebarang komplikasi pada ibu dan bayi dalam rahim yang perlu dirisaukan ketika berada dalam kapal terbang kecuali berlakunya pendarahan.

Jika pendarahan berlaku, bantuan minimum akan diberikan kepada ibu hamil. Itu adalah risiko yang perlu diketahui oleh semua ibu hamil sebelum mengambil keputusan menaiki pesawat dalam tempoh kurang 15 minggu atau selepas 30 minggu.

2. TEKANAN OKSIGEN RENDAH

Selain itu, faktor ketinggian dari paras laut menyebabkan tekanan oksigen menjadi rendah. Bagaimanapun, bagi penerbangan komersial hanya berlaku perbezaan tekanan oksigen yang kecil dan tidak memudaratkan bayi.

Namun, jika ibu hamil mengalami masalah perubatan seperti anemia dan masalah jantung mungkin memerlukan bantuan bekalan oksigen dalam perjalanan.

Syarikat penerbangan tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan yang mencukupi di udara walaupun kemudahan asas seperti oksigen dan cecair aliran vena disediakan. Oleh itu, syarikat penerbangan tidak akan bertanggungjawab jika sebarang masalah kehamilan berlaku semasa penerbangan.

3. DARAH BEKU DAN URAT SIMPUL

Memakai stoking sokongan semasa menaiki pesawat boleh membantu melancarkan peredaran darah dan mengurangkan bengkak pada salur darah. Jika perjalanan jauh, berdiri dan berjalan sebentar boleh membantu melancarkan peredaran darah.

4. RADIASI

Mungkin ada yang pernah mendengar tentang pendedahan kepada radiasi semula jadi semasa terbang boleh meningkatkan risiko keguguran atau ketaknormalan pada bayi dalam kandungan.

Malah, doktor setuju bahawa pramugari dan ahli perniagaan yang terbang beratus-ratus kali setahun mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi. Bagaimanapun, risiko kepada wanita yang hanya terbang beberapa kali setahun tidak diketahui.

BACA>>> 12 Barang Bayi yang Wajib Dibawa Ketika Pergi Bercuti

Surat Contoh Sumber Google

APA PERLU BUAT JIKA NAIK KAPAL TERBANG SELEPAS 30 MINGGU?

Jika ibu hamil terpaksa menaiki kapal terbang, pastikan anda bersedia berhadapan dengan sebarang risiko yang dinyatakan di atas dan dapatkan nasihat doktor.

Syarikat penerbangan boleh melarang kita daripada menaiki pesawat jika mereka bimbang mengenai kehamilan anda.

Oleh itu, lebih baik jika anda dapatkan kebenaran bertulis daripada doktor untuk menaiki pesawat bagi mengesahkan bahawa anda selamat membuat perjalanan.

Surat tersebut perlu ditunjukkan kepada pihak penerbangan sebelum memasuki pesawat.

SUMBER: Dr Zubaidi | BabyCenter

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda