SELALU kita dengar tentang kes rumah tangga melibatkan orang ketiga. Apabila ditanya sebabnya, jawapan diberikan ialah ‘suami kurang dapat layanan isteri, jumpa lebih cantik, isteri tidak faham suami dan macam-macam lagi’.

Adakah itu punca sebenar kewujudan orang ketiga dalam hubungan suami isteri? Jawapan paling tepat, kenapa suami cari orang lain adalah kerana sikap isteri sendiri yang terlalu memanjakan suami!

MANJAKAN SUAMI, BIAR BERTEMPAT

Bukan bermakna kita tidak boleh memanjakan suami, tetapi biarlah perasaan manja dan kasih sayang dicurahkan itu bertempat. Misalnya, kita memanjakan suami dengan kata-kata rindu, belaian sayang, pujukan manja, layanan mesra dan pelbagai lagi cara. Tidak salah untuk memanjakan suami asalkan kita tidak melanggar 2 syarat ini:

  1. Tidak ambil alih peranan dan tanggungjawab suami.
  2. Tidak mencabuli hak kita sebagai isteri.

Ya, suami memang wajib dihormati sebab mereka memainkan peranan besar untuk menyediakan segala keperluan isteri dan anak. Suami juga perlu membimbing dan mendidik anak ke jalan diredhai Allah.

Malang sekali, dalam dunia moden kini, seakan-akan tanggungjawab seorang suami dan ayah tidak perlu dilaksanakan.

YA ATAU TIDAK KONSEP SAMA RATA?

Ada pasangan yang mengamalkan konsep sama rata atau kongsi, segala keperluan hidup. Sewa rumah, bil, barang dapur dan lain-lain. Ada juga kos lampin dan susu anak pun dibahagi sama rata.

Bukan kita tidak boleh berkongsi, tetapi jangan sampai kita sengaja biarkan suami gagal melaksanakan tanggungjawab wajib.

PENDAPATAN ISTERI LEBIH TINGGI

Zaman sekarang, banyak isteri yang gaji lebih tinggi daripada suami. Tiada salah jika kita memilih suami kurang pendapatan. Cuma pastikan suami gunakan wang hasil pendapatannya terlebih dahulu untuk menampung segala perbelanjaan keluarga. Apabila duitnya tidak cukup, barulah kita mainkan peranan.


TANGGUNGJAWAB SUAMI

Tanggungjawab suami ialah melayan isteri dengan baik, beri nafkah zahir sempurna mengikut kemampuan, sediakan keperluan seperti rumah, layani keperluan seks isteri, bersikap romantik, mewujudkan suasana ibadah dalam rumah tangga, tunjukkan wajah ceria, jaga penampilan diri dan bersabar melayan kerenah isteri.

TANGGUNGJAWAB ISTERI

Bagi isteri pula, kita mesti taat pada suami selagi tidak bercanggah syariat. Layani kehendak seks suami, menjaga maruah diri, suami dan keluarga, menghormati satu sama lain dan senangkan hati suami.

Tanggungjawab bersama suami dan isteri pula adalah menjaga, membesarkan dan mendidik anak, dan menguruskan rumah tangga. Jika dilaksanakan segala tanggungjawab ini dengan baik, maka wujudlah bahagia dalam rumah tangga.


ISTERI JANGAN AMBIL PERANAN SUAMI

Jadi, kepada para isteri semua, jangan ambil alih peranan dan tanggungjawab suami dalam perbelanjaan keperluan diri sendiri, anak dan rumah tangga. Boleh membantu, tetapi tuntut semula jumlah yang kita sudah bantu. Ini sebagai bantuan hutang yang perlu suami bayar semula apabila berkemampuan.

Ini bukan untuk mengajar kita menjadi isteri berkira, tetapi jika suami merasa beratnya tanggungjawab kepada isteri dan anak, mereka akan lebih menghargai kita.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda