BERSENAM ketika hamil memang beri banyak faedah. Otot akan kekal kuat dan fleksibel serta membuatkan diri rasa tenang selain melegakan rasa tidak selesa. Ini secara tidak langsung memudahkan anda mendapatkan semula bentuk badan asal selepas bersalin kelak.

Apabila bersenam ketika hamil, seluruh badan sedang mengalami perubahan. Pusat graviti berubah kerana berat bertambah dan badan akan rasa cepat letih.

Fahami isyarat badan. Itu ialah isyarat kerana anda sedang bekerja terlalu kuat. Pertama sekali, jangan sampai tercungap-cungap. Berikut tanda amaran supaya berhenti bersenam!


1. PENING

Pening berlarutan lebih daripada biasa. Jika mengalami sakit kepala atau jantung berdebar-debar dan pada masa sama rasa pening, itu bermakna anda tiada zat besi mencukupi dalam darah (anemia).

2. JANTUNG BERDEBAR

Jika rasa janggal, rasa bergetar-getar dalam dada, anda mungkin bersenam terlalu kuat. Perlahankan beransur-ansur dan kemudian berhenti.

3. KELUAR CECAIR DARI FARAJ

Ada kemungkinan membran pecah. Sesetengah cecair amnion (air ketuban) yang mengelilingi bayi anda dalam rahim mungkin bocor. Memang mudah terkeliru antara cecair itu ataupun air kencing yang terkeluar ketika bersenam.

Apapun, dapatkan pemeriksaan doktor. Sementara itu, anda boleh melakukan senaman lantai pelvis bagi mengelak kebocoran air kencing.

4. LOYA DAN MUNTAH

Jika rasa loya ketika bersenam ataupun muntah, ini bermaksud anda bersenam terlalu kuat. Ini juga bermakna paras kandungan gula dalam darah ialah rendah ataupun anda mengalami tekanan darah rendah.

5. PERUBAHAN SUHU BADAN

Jika tangan andajadi melekit atau rasa panas atau sejuk, ini mungkin bermakna badan sedang mengalami kesukaran mengawal suhu dalaman. Awas, ini boleh membahayakan bayi dalam kandungan.

Jika badan terlalu panas, bayi pun begitu. Badan anda dengan sendiri akan cuba menurunkan suhu dengan mengalihkan peredaran darah yang sepatutnya mengalir kepada permukaan kulit, sebaliknya dialirkan kepada rahim.

6. BENGKAK

Kaki dan tangan akan membengkak sedikit selepas bersenam tetapi jika teruk daripada biasa, segera berjumpa doktor. Ini boleh jadi tanda pra eklampsia. Keadaan ini berlaku apabila tekanan darah meningkat dan badan menyimpan banyak cecair.

Ini mengahalang bekalan darah ke plasenta dan jika tidak dirawat boleh membahayakan kandungan.


DAPATKAN BANTUAN SEGERA JIKA…

1. SAKIT BETIS

Bengkak atau merah, kemungkinan itu tanda ada darah beku dalam saluran darah di kaki.

2. MATA KABUR

Anda mungkin ternyahhidrat. Kandungan cecair tidak cukup dalam badan boleh menyebabkan tekanan darah menurun dan jantung bekerja lebih keras. Jika ini berlaku, berkemungkinan anda tidak cukup darah sampai ke organ-organ penting bayi.

3. PENGSAN

Ini mungkin disebabkan kekurangan air dalam badan, kandungan gula rendah atau tekanan darah rendah. Bagaimanapun, jika otak tidak mendapat oksigen mencukupi, maka bayi juga mengalami perkara sama.


Ingat, berhenti bersenam jika muncul tanda seperti di atas. Bersenam itu boleh, tetapi janganlah sampai memaksa diri. Ini boleh bahayakan diri sendiri dan juga bayi dalam kandungan.

SUMBER: LiveStrong |Tommys

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda