MASALAH bengkak kaki ketika kehamilan terutamanya memasuki trimester ketiga sering dialami ramai ibu hamil. Ada yang menganggap bengkak kaki adalah normal bagi setiap ibu hamil disebabkan pembesaran size perut.

Bagaimanapun, ibu hamil perlu mengetahui tanda-tanda bahaya akibat bengkak kaki yang boleh menjadi mimpi ngeri buat semua iaitu Pre Eclampia.

Berikut adalah perkongsian Dr Muhammad Izzat Abdul Razak tentang bahaya bengkak kaki untuk pengetahuan semua.

BACA>>> 7 Petua ini Bantu Ibu Hamil Kurangkan Kaki Bengkak!

KAKI BENGKAK SEMASA HAMIL – BAHAYA KE?

Apabila bayi semakin membesar, lebih-lebih lagi selepas 20 minggu rahim anda memberi tekanan kepada saluran darah di pelvis, sekali gus menjejaskan salur darah besar yang menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah.

Salur darah yang dipanggil inferior vena cava ini terletak pada bahagian kanan badan. Tekanan yang diterimanya menyebabkan peredaran darah di bahagian itu menjadi perlahan dan mengakibatkan darah terkumpul.

Tekanan daripada darah yang terkumpul ini memaksa air turun dan keluar melalui salur darah kecil (kapilari) masuk ke dalam tisu-tisu pada tapak kaki dan buku lali. Biasanya, air ini akan diserap oleh badan. Kadang kala, wanita hamil juga menyimpan lebih banyak air daripada biasa dan ini menambahkan lagi kebengkakan.

Anda mungkin mendapati kebengkakan ini lebih teruk pada waktu petang dan malam, dan lega sedikit pada waktu pagi setelah anda bangun dari tidur. Pada sebelah petang, anda mungkin dapat lihat jika anda tekan kulit di sekitar buku lali, kulit itu tidak menganjal dan serta-merta kembali kepada keadaan asalnya.

Menjelang hujung-hujung kehamilan, tangan anda juga mungkin menjadi bengkak dan cincin yang anda pakai akan terasa ketat.

Bengkak kaki ini adalah perkara biasa, terutamanya pada trimester ketiga. lebih kurang 50-80% wanita hamil yang sihat akan mengalaminya.

TIP UNTUK MENGURANGKAN BENGKAK PADA KAKI

1. MINUM AIR SECUKUPNYA

Ramai pesakit takut untuk minum air kerana beranggapan minum air banyak akan menyebabkan kaki lebih membengkak. Seperti apa diterangkan di atas, badan kita akan mengalami dehidrasi teruk kerana air di dalam salur darah sudahpun keluar dari salur darah. Dehidrasi dalam saluran darah akan menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan pembekuan darah senang terjadi. Hal ini akan mengundang kepada masalah lain seperti thrombosis.

2. TINGGIKAN KAKI SEMASA BARING

Letakkan bantal di bawah kaki supaya aras kaki menjadi lebih tinggi dari pada paras dada. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki dan membantu pengaliran darah.

3. BARING DI SEBELAH KIRI BADAN

Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur darah inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih baik.

4. SELALU BERGERAK

Pergerakan aktif adalah lebih baik untuk anda kerana pengaliran darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, ia boleh mencegah pembentukan darah beku pada salur darah kaki.

5. COMPRESSION STOCKINGS

Stokin ini tidak sama seperti stokin harian yang biasa kita guna. Stokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki. Ianya mempunyai keregangan tersendiri dan perlu diukur dengan tepat daripada aras paha hingga ke tapak kaki. Setiap bahagian setokin ini mempunyai tekanan dan keregangan yang berlainan. Compression stocking ini digalakkan penggunaannya pada waktu malam semasa tidur untuk disesuaikan dengan pengaliran darah menjadi perlahan semasa baring.

6. KASUT YANG SELESA

Sila gunakan kasut yang selesa, bertapak rata dan sesuai dgn bentuk kaki untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan. Jangan pula nak melaram dengan kasut tinggi. Silap haribulan jatuh pula.

BACA>>> Kenapa Pra-Eklampsia Bahaya untuk Wanita Hamil?

BENGKAK KAKI TERUK TANDA AWAL PENYAKIT

Perlu ambil perhatian, sekiranya bengkak ini sangat teruk sampai ke paras pinggang melibatkan faraj, bukan la bengkak biasa ketika hamil. boleh jadi tanda-tanda awal pre-eclampsia. Hal ini perlu diperiksa dengan teliti oleh doktor untuk memastikan tekanan darah anda normal.

Selain dari itu, kaki bengkak juga boleh disebabkan oleh Nephrotic syndrome – penyakit ini berpunca daripada masalah penapisan pada buah pinggang yang menyebabkan protein dan air dikumuhkan keluar daripada salur darah badan kita. Masalah ini memerlukan perhatian doktor pakar buah pinggang kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang secara kekal jika dibiarkan tanpa rawatan.

KALAU KAKI BENGKAK SEBELAH. MACAM MANA?

TIDAK NORMAL dan memerlukan pemerhatian doktor. boleh jadi masalah deep vein thrombosis atau darah beku yang tersumbat pada saluran darah kaki. Kadang kala, ia juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit darah yang tidak pernah kita ketahui seperti antiphospholipid syndrome, thrombophilia atau bentuk salur darah yang tidak normal.

Sekiranya tidak dikesan dengan lebih awal, darah beku pada kaki ini boleh pecah pada bila-bila masa. Ketulan darah beku yang lebih kecil ini akan mbergerak ke arah jantung dan paru-paru. Hal ini boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba. Justeru itu, amatlah penting untuk mengesan penyakit deep vein thrombosis ini lebih awal supaya rawatan dapat diberikan dengan kadar segera.

Jangkitan kuman boleh sebabkan kaki bengkak – dinamakan cellulitis. Hal ini berpunca daripada gigitan serangga (tanpa kita sedari) atau dari kaki yang luka. Boleh sembuh jika rawatan antibiotik dimulakan awal.

Walaupun bengkak kaki ni boleh jadi normal semasa hamil, ada keadaan-keadaan dimana bengkak kaki ni tanda-tanda kepada masalah yang lebih serius. Jangan suka buat andaian sendiri, dapatkan nasihat dan pemeriksaan dari yang bertauliah.

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & Kehamilan

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda