ADA banyak faktor yang mempengaruhi kuantiti pengeluaran susu ibu dan ada pelbagai tanggapan tentang punca kekurangan susu ibu antaranya ialah payudara kecil.

Persoalannya, jika mengambil kira saiz fizikal seseorang, benarkah payudara kecil ialah penyebab susu badan kurang dihasilkan?

Apapun, kita perlu terlebih dahulu perlu faham tentang bagaimanakah susu ibu terhasil supaya tidaklah stres mendengar bermacam-macam teori dan pendapat orang tidak bertauliah di luar sana.

ADAKAH PAYUDARA KECIL PENGARUHI KUANTITI SUSU IBU?

TIDAK. Memiliki payudara kecil bukanlah bermakna kita tidak boleh menyusukan anak dengan baik. Apa yang penting ialah bagaimana kelenjar susu bertindak balas terhadap hormon prolaktin dan cara penjagaan makanan kita.

Bagi memahami bagaimanakah payudara menghasilkan susu yang baik, kita perlu tahu anatomi payudara.

BAGAIMANAKAH PAYUDARA MENGELUARKAN SUSU?

Payudara ialah struktur asas tubuh bagi pengeluaran susu ibu. Terdapat kelenjar yang bertanggungjawab menghasilkan susu ibu, masing-masing ada fungsi dan peranan sendiri.

1. ALVEOLI

Kelenjar kecil seakan-akan anggur dalam payudara dan berfungsi memasukkan susu ke dalam saluran duktul.

2. DUKTUL

Saluran kecil yang mengalirkan susu daripada alveoli ke dalam duktus susu utama.

3. DUKTUS

Jaringan salur kecil yang membawa susu daripada duktul dan alveoli kepada bayi. Duktus ibarat salur kecil yang hujungnya terletak pada puting susu yang mengalirkan susu terus ke mulut bayi.

Saluran Duktus ini akan membesar dan jumlahnya akan bertambah apabila kita hamil dan apabila sudah hampir pada kelahiran, akan berlaku beberapa titisan susu daripada payudara menandakan susu sudah sedia untuk bayi kita walaupun anak yang dilahirkan pramatang.

Apabila anak dilahirkan dan uri dikeluarkan, hormon estrogen dan progesteron dalam badan akan menurun dan merangsang pengeluaran hormon prolaktin.

Hormon prolaktin sangat penting bukan saja dalam penghasilan susu tetapi turut merangsang sifat keibuan seseorang wanita.

JADI, BAGAIMANAKAH MERANGSANG PENGELUARAN SUSU?

Bagi menggalakkan pengeluaran hormon, ibu yang menyusu harus menjaga pemakanan.

1. MAKANAN DAN MINUMAN

Perlu mengambil banyak KALORI berupa kaborhidrat kompleks dalam makanan dan minum banyak air sekurang-kurangnya 2 liter sehari.

2. SUPLEMEN TAMBAHAN

Suplemen turut membantu tetapi bergantung kepada individu. Dicadangkan mengambil beberapa suplemen seperti multivitamin, soya, vVitamin C, elemen zat besi dan habastus sauda. Pilihlah makanan tambahan yang sesuai untuk diri masing-masing.

SUMBER: DrZubaidi.Com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda