TERLALU banyak maklumat disebarkan dalam laman sosial tanpa pengesahan dan kesahihan hingga jadi tular. Ini secara tidak langsung menyebabkan kerisauan di kalangan masyarakat.

Terbaharu, tular pula berita tentang pil perancang yang kononnya jadi punca penyakit kanser. Benarkah?

Bagi mengetahui kebenaran berita itu, kita baca perkongsian panjang lebar Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor.

INI PERJELASANYA…

PIL PERANCANG MENYEBABKAN KANSER?

Sekarang ini heboh berita pil perancang menyebabkan kanser serviks. Apabila media mengambil maklumat secara selektif dan menyiarkannya tanpa mendapatkan maklum balas daripada pakar tentang kesan berita yang mereka siarkan. Maka, orang ramai jadi panik dan takut. Berita berat sebelah itu akan menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Saya dengar ramai wanita berhenti serta-merta pil perancang apabila membaca berita ini. Saya akan cuba kupas isu ini daripada sudut lebih luas.

1. Apa-apa sahaja ubat dan kaedah rawatan ada baik dan buruknya. Doktor yang merawat akan membuat pertimbangan manfaat dan mudarat. Sesuatu tindakan akan disyorkan jika manfaatnya lebih daripada mudarat. Hatta, dalam apa saja kehidupan kita, inilah prinsip yang kita gunakan untuk melakukan sesuatu ataupun tidak melakukan sesuatu. Saya pernah menulis bahawa menarik nafas pun ada risiko tetapi untuk hidup kita perlu lakukan juga.

2. Amalan merancang keluarga ada banyak manfaat sama ada manfaat yang berkaitan dengan merancang keluarga ataupun manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga kerana ubat pil perancang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat banyak masalah kesihatan wanita.

3. Amalan merancang keluarga terutama pil perancang membawa manfaat menjarakkan kehamilan, menghalang kehamilan tidak dirancang (contoh: kes rogol, wanita yang menghidap penyakit serius) dan memberi manfaat kepada anak. Hasil daripada kaedah merancang keluarga, kadar kematian ibu dan anak dapat dikurangkan. Kehamilan yang tidak dirancang seringkali membawa masalah kepada ibu, anak dan keluarga. Pil perancang juga menurunkan kadar kejadian pengguguran haram dan juga masalah kehamilan remaja yang semakin membimbangkan.

4. Amalan pil perancang juga mempunyai banyak lagi manfaat iaitu mengurangkan masalah haid seperti senggugut, haid tidak tetap, haid banyak dan juga haid tidak teratur. Pil perancang boleh digunakan untuk merawat masalah hormon lelaki yang berlebihan, sindrom pramenstrual, mengurangkan kejadian sista ovari, mengurangkan gejala endometriosis, mengurangkan risiko jangkitan pelvis, mengurangkan risiko fibroid, mengurangkan risiko rheumatoid arthritis, meningkatkan densiti tulang, mengurangkan gejala asma, menurunkan risiko pra-kanser Rahim dan beberapa lagi manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga (non-contraceptive benefits). Pendek kata, pil perancang juga boleh digunakan sebagai ubat untuk mencegah dan merawat pelbagai masalah kesihatan wanita.

5. PIL PERANCANG DAN KANSER

Mari kita lihat fakta mengenai pil perancang dengan risiko menghidap kanser. Memang terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan bahawa pengamal pil perancang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengidap kanser payudara dan kanser servik. Bagaimanapun kajian ini adalah kajian ‘observational’ yang tidak boleh digunakan sebagai bukti kukuh.

Perkara kedua ialah pil perancang bukan penyebab kanser, tetapi faktor sampingan yang menaikkan risiko. Kanser serviks disebabkan jangkitan virus HPV, manakala punca kanser payudara masih belum diketahui. Seseorang yang tidak terdedah kepada jangkitan virus HPV, contohnya wanita belum berkahwin (belum melakukan hubungan kelamin), tidak mungkin mengidap kanser serviks walaupun mengambil pil perancang seumur hidupnya.

Selain itu, risiko kanser payudara hanya dikaitkan dengan pil perancang jenis triphasic dan bukan jenis yang sering digunakan wanita kita. Peningkatan risiko kanser serviks hanya 7 peratus, manakala, kanser payudara pula dalam lingkungan 24 peratus.

Peningkatan sebanyak ini sebenarnya sangat rendah. Contohnya, risiko kanser payudara di Malaysia ialah 23 bagi 100,000 orang, maka meningkat 24 peratus bermaksud tambahan lebih kurang 6 kes iaitu daripada 23 kepada 29 kes bagi setiap 100,000 orang.

Dengan perkataan lain hanya tambahan 6 kes untuk setiap 100,000 orang. Kadar peningkatan kanser serviks jauh lebih rendah dan memandangkan insiden kanser serviks lebih rendah daripada kanser payudara, maka peningkatan sebanyak 7 peratus itu dianggap terlalu kecil. Kebanyakan kajian mengenai pil perancang ini hanya tertumpu kepada pil mengandungi dua hormon iaitu estrogen dan progesterone. Pil yang mengandungi hanya progesterone sahaja seperti provera, noriday dan lain-lain, tidak dikaitkan risiko kanser.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa kajian menunjukkan pengambilan pil perancang MENURUNKAN RISIKO 3 jenis kanser iaitu: KANSER RAHIM (ENDOMETRIUM), KANSER OVARI dan KANSER USUS BESAR.

Pengambilan pil perancang keluarga menurunkan risiko kanser rahim sebanyak 30 peratus, menurunkan risiko kanser ovari sebanyak 30-50 peratus dan menurunkan risiko kanser usus besar sebanyak 15-20 peratus.

Manfaat mengurangkan risiko kanser ovari juga akan diperoleh wanita-wanita yang mempunyai mutasi gene BRCA 1/2 yang dikaitkan kanser keturunan. Kajian menunjukkan bahawa kesan manfaat menurunkan risiko 3 jenis kanser ini berterusan walaupun pil perancang tidak lagi diamalkan.

Jangka masa manfaat itu (menurunkan risiko kanser rahim, ovari dan usus besar) didapati lebih lama daripada dibawa pemberhentian pil perancang untuk tujuan menurunkan risiko kanser payudara dan serviks. Ini bermaksud manfaat menurunkan risiko kanser rahim, ovari dan usus besar adalah lebih besar daripada mudarat akibat kanser payudara dan serviks.

Tambahan pula, kanser payudara dan kanser serviks diketahui mempunyai kaedah pencegahan dan saringan yang sangat berkesan. Sedangkan tidak ada kaedah pencegahan dan saringan berkesan untuk kanser ovari dan kanser rahim. Kanser ovari adalah antara kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal dan sukar diubati, begitu juga kanser usus besar.

6. Berpandukan fakta-fakta di atas, jelas bahawa pengambilan pil perancang mempunyai sangat banyak manfaat berbanding mudarat jika diamalkan wanita yang disyorkan. Hasil kajian berkenaan dengan pil perancang dan risiko kanser serviks serta payudara tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kaum wanita menolak terus pengambilan pil perancang jika disyorkan doktor.

Perhatikan manfaat yang bakal anda peroleh. Apa paling penting ialah mendapat nasihat doktor mengenai keputusan memilih pil perancang sebagai kaedah merancang keluarga. Doktor yang memberikan nasihat kepada anda itu tentu sudah membuat pertimbangan tepat sebelum membenarkan anda menggunakan pil perancang. Amalan pil perancang dan menghadiri lawatan susulan memberi peluang kepada anda melakukan saringan kesihatan termasuk saringan kanser dengan lebih konsisten.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda