HFMD (Hand, Foot, and Mouth Desease) atau penyakit kaki, tangan dan mulut ialah jangkitan virus akut yang sering melanda kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. Penyakit ini bermula dengan gejala lecur dalam mulut, diikuti tangan, kaki, punggung dan kemaluan, yang kemudian diiringi demam panas.

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100 peratus di kalangan kanak-kanak kurang 10 tahun, terutama di pusat jagaan kanak-kanak seperti taska dan tadika.

Walaupun penyakit ini bukan gejala berbahaya, kerana hanya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh sendiri, tetapi tanpa rawatan sepatutnya, HFMD boleh mendatangkan komplikasi serius hingga menyebabkan kematian.

APAKAH ITU HFMD?

Penyakit HFMD disebabkan virus dikenali sebagai Enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71), yang juga jenis penyakit berjangkit atau endemik di Malaysia serta berlaku sepanjang tahun.

BAGAIMANA HFMD BOLEH MEMBAWA MAUT?

Pakar Pediatrik Sri Kota Specialist Medical Centre, Dr Anne Yeoh Chiou Yen berkata, ada peratusan kecil penyakit tersebut boleh membawa kepada komplikasi lebih serius seperti jangkitan kuman selaput otak (meningitis atau encephalitis), radang atau jangkitan peparu (pneumonitis atau pneumonia) dan radang jantung (myocarditis).

Malah, akibat komplikasi itu, kanak-kanak yang menghidap HFMD boleh berdepan maut jika tidak dirawat rapi kerana sistem badan mereka tidak kuat.

Menurutnya, selepas kanak-kanak dijangkiti kuman virus, tempoh inkubasi ialah antara 2-6 hari. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau empat.

Ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga tujuh, tetapi lepuh dan bintik merah di tangan dan kaki boleh berlangsung hingga 10 hari. Virus itu paling mudah berjangkit pada minggu pertama dan boleh berjangkit selama beberapa minggu.

Walaupun sering melanda bayi dan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun, penyakit ini juga boleh berjangkit kepada orang dewasa, tetapi selalunya hanya akan mengalami tanda yang sangat ringan ataupun tiada tanda langsung.

RAWATAN

Kebanyakan pesakit boleh dirawat sebagai pesakit luar. Rawatan tertumpu kepada perawatan gejala penyakit seperti ubatan demam, ubatan topikal untuk ulser mulut, pemerhatian kepada gejala komplikasi yang lebih serius dan memastikan hidrasi dan nutrisi pesakit diteruskan.

Bagaimanapun, ada segelintir pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut, terutama jika demam berlanjutan, tidak dapat minum dan makan ataupun disyaki komplikasi serius.

PENCEGAHAN

Langkah pencegahan terbaik ialah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran yang mudah berlaku di tempat sesak serta mutu kebersihan rendah.

Penyebab penularan penyakit atau virus HFMD ialah melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis kanak-kanak dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan dicemari virus HFMD.

Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak mendapatkan rawatan apabila menunjukkan tanda-tanda HFMD dan tidak membawa kanak-kanak ke tempat awam, termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak.

Di pusat jagaan, mereka perlu menjalankan aktiviti pembersihan premis dan saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan, terutama sebelum dihantar ke dalam kelas.


APAKAH IBU BAPA PERLU LAKUKAN JIKA ANAK DIJANGKITI HFMD?

  • Tidak bawa anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika dan pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  • Membawa anak yang ada tanda jangkitan berjumpa doktor untuk rawatan.
  • Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh atau merawat lepuh dan ketika mencuci najis kanak-kanak dijangkiti HFMD.
  • Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan berasaskan klorin) permainan anak dan lantai rumah, terutama tandas.
  • Memastikan lampin pakai buang bayi dibuang dengan betul.
  • Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak lain.

SUMBER: UtusanMalaysia

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda