Utama Anakku Benarkah Kerap Berkurung di Rumah Punca Anak Mengidap Rabun Jauh?

Benarkah Kerap Berkurung di Rumah Punca Anak Mengidap Rabun Jauh?

128

JUMLAH kanak-kanak memakai cermin mata seawal persekolahan rendah semakin meningkat berbanding beberapa tahun lalu dan perkembangan tersebut nyata membimbangkan.

Dahulu, kelibat kanak-kanak dengan cermin mata dianggap pelik kerana tidak ramai yang memakainya, tetapi hari ini boleh dikatakan satu perempat murid di sekolah sudah memakai cermin mata.

Miopia atau rabun jauh banyak menjejaskan ramai kanak-kanak pada usia persekolahan dan menjadi antara isu kesihatan utama pada zaman sekarang. Apakah sebabnya?

BAGAIMANA MIOPIA BOLEH TERJADI?

1. BOLA MATA TERLALU PANJANG 

Miopia berlaku apabila bola mata terlalu panjang berbanding kuasa fokus kornea dan kanta mata yang menyebabkan sinaran cahaya berfokus pada titik di hadapan retina dan bukan secara langsung pada permukaannya.

2. KORNEA ATAU KANTA TERLALU MELENGKUNG

Rabun jauh juga boleh disebabkan kornea atau kanta terlalu melengkung untuk panjang bola mata.

3. KURANG AKTIVITI LUAR

Peningkatan masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan gaya hidup moden yang kurang aktiviti di luar rumah.

4. PERANTI

Kanak-kanak sekarang meluangkan terlalu banyak masa dengan gajet dan peranti elektronik seperti televisyen serta jarang keluar rumah. Ini menyebabkan ketegangan mata dan mata kering. Gejala ini dikenali sebagai Sindrom Penglihatan Komputer apabila mata, terutama otot siliari, perlu bekerja keras ketika melihat secara dekat.

Selepas melihat dalam jarak dekat terlalu lama, anak akan mengalami kekejangan otot siliari yang menyebabkan ketidakselesaan mata atau sakit kepala. Malah, kurang mengelipkan mata juga menjadi punca kepada kurang penghasilan air mata, sekali gus mengakibatkan gejala mata kering seperti berpasir.

CARA MENCEGAH RABUN KANAK-KANAK?

1. BAWA ANAK BUAT AKTIVITI LUAR RUMAH

Pakar Perunding dan Pakar Bedah Oftalmologi, Pusat Laser Mata Excel View, Dr Hoh Hon Bin menerusi kenyataan dipetik akhbar Utusan Malaysia berkata, kerap membawa anak ke luar dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah ialah salah satu cara terbaik mencegah rabun mata dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya lagi, ada dakwaan mengatakan melihat tumbuh-tumbuhan hijau adalah baik untuk kesihatan mata, tetapi ia tidak memberi kesan secara langsung kepada kesihatan mata. Sebaliknya, itu lebih kepada simbolik supaya kita dan anak keluar rumah untuk melihat objek jauh, termasuk tumbuh-tumbuhan hijau.

Apabila bermain di luar rumah, mata kanak-kanak akan lebih fokus kepada objek jauh, sekali gus membuatkan matanya lebih tenang dan tidak tegang.

Berbeza meluangkan masa dalam rumah dengan gajet yang memerlukan dia fokus kepada objek dekat terlalu lama hingga mata perlu bekerja keras.

2. PERATURAN 20-20-20

Bagi mencegah masalaha rabun jauh, kita boleh mengajar anak mengamalkan Peraturan 20-20-20, iaitu berehat 20 saat selepas 20 minit fokus kepada sesuatu perkara, seperti membaca atau menggunakan komputer dengan melihat objek jauh pada jarak 20 kaki (objek paling jauh dari pandangan).

Peraturan ini bagi membolehkan otot fokus mata berada dalam keadaan paling santai dan tenang.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda