SUSULAN tular artikel yang dilaporkan akhbar dalam media sosial tentang asid folik sebagai punca autisme, timbul kerisauan di kalangan kaum hawa, terutama ibu hamil.

Benarkah asid folik penyebab autisme terhadap kanak-kanak? Apa kata baca dulu penerangan dan penjelasan Doktor Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah tentang perkara ini.

INI PENJELASANNYA…

Asid folik ialah salah satu vitamin yang diberikan kepada ibu hamil selain zat besi dan vitamin C. Pemberian asid folik kepada ibu hamil selama ini disahkan selamat dan disyorkan pakar-pakar obstetrik & ginekologi (O&G) seluruh dunia. Ia terbukti bersandarkan kepada beribu-ribu kajian berwibawa.

Asid folik yang diberikan kepada ibu hamil adalah bagi mencegah berlaku kecacatan saraf tunjang bayi (Neural Tube Defects – Spina Bifida).

Kajian Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menyatakan 70 peratus bayi selamat selepas ibu hamil mengambil asid folik daripada berlaku kecacatan saraf tunjang. Kes ini terbukti di kalangan ibu yang sudah mengalami kecacatan saraf tunjang ke atas bayi pertama mereka. Satu peratusan yang cukup membanggakan.

Jumlah dos yang diberikan kepada ibu hamil juga sesuai dan selamat. Adalah dicadangkan pengambilan asid folik sebelum hamil bagi mengurangkan risiko mendapat bayi yang kecil saiznya (small for gestation).

Semua wanita digalakkan mengambil 400 mikrogram asid folik setiap hari sebelum hamil hingga 12 minggu kehamilan. Dos sama diteruskan hingga bersalin. Dos lebih tinggi HANYA untuk sesetengah kumpulan ibu hamil seperti ibu ada kencing manis (diabetes). Ketika menyusu bayi pula, sebanyak 500 mikrogram disarankan demi kesinambungan pemulihan si ibu. Cadangan ini tidak tertakluk kepada berapa banyak makanan atau sayuran yang mengandungi asid folik yang boleh diambil ibu hamil dalam tempoh berkenaan.

Namun, ada satu sebaran tular yang mendakwa asid folik boleh menyebabkan autisme kepada bayi. Saya merujuk kepada satu keratan akhbar yang dikongsikan rakan maya. Akhbar menyiarkan asid folik ialah penyebab kepada autisme. Tulisan tersebut merujuk kajian dijalankan penyelidik daripada Universiti Northwestern, Illinois yang diketuai Profesor Stephen Levine. Artikel berkenaan termuat dalam Jurnal JAMA Psychiatry.

Hasil bacaan saya, ulasan dilakukan akhbar berkenaan adalah tidak tepat. Mari kita baca bersama keputusan kajian dikeluarkan Prof Stephen Levine tersebut:

“Maternal exposure to FA and/or multivitamin supplements from 4 weeks before to 8 weeks into pregnancy was associated with a statistically significant reduction in the risk of ASD in offspring compared with offspring of mothers with no exposure in that time interval.”

~ Pendedahan ibu hamil kepada asid folik dan/atau multivitamin daripada 4 minggu sebelum 8 minggu kehamilan adalah dikaitkan secara signifikan penurunan risiko ASD (Autism Spectrum Disorder) terhadap bayi mereka berbanding ibu hamil yang tidak diberikan (vitamin) dalam sela masa yang sama.

Kajian berkenaan juga mendapati:

Maternal exposure during the 2 years before pregnancy was associated with a significant reduction in the risk of ASD in offspring.

~Pendedahan ibu hamil semasa 2 tahun sebelum hamil juga dikaitkan dengan penurunan signifikan risiko bayi mereka mengalami ASD.

Saya merasakan tulisan dalam akhbar tempatan berkenaan tersalah membuat interpretasi tulisan dan keputusan kajian yang disiarkan artikel daripada Jurnal JAMA Psychiatry itu. Justeru, pemberian asid folik dan beberapa vitamin lain semasa ibu hamil adalah penting bagi menjamin tahap kesihatan optimum. Seterusnya mengurangkan komplikasi-komplikasi yang tidak diingini terhadap ibu dan bayi.

Semoga pencerahan ini boleh mengurangkan kerisauan dan ketakutan ibu hamil untuk terus mengambil apa saja nasihat dikeluarkan semasa ke semasa daripada pakar perubatan.

SUMBER: Suhazeli.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda