SIAPA kata sudah berumahtangga dan mempunyai anak tidak boleh mendapat kejayaan cemerlang dalam pendidikan?

Ini kisah seorang ibu kepada 5 anak, Azlina Yahaman yang berjaya mengekalkan momentum cemerlang dengan CGPA 3.93, pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM, bar-baru ini.

BACA>>> 4 Tip Terapi Main Sambil Belajar dengan Anak di Rumah

BERJAYA ATAS DORONGAN KELUARGA DAN PENSYARAH

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih pada suami yang sentiasa di sisi di saat susah mahupun senang setia menjadi penguat semangat, keluarga dan pensyarah yang tidak pernah putus memberi dorongan,” ucap graduan Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan).

Kesibukan sebagai seorang isteri, ibu kepada 5 cahaya mata, pelajar selain menggalas tugas sebagai Penolong Pendaftar di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) pada satu masa membuatnya cukup cermat dan teliti menguruskan kehidupan.

“Tipulah kalau saya katakan saya tidak mengalami kesukaran, waktu siang sibuk dengan urusan kerja dan keluarga, hanya waktu malam setelah urusan rumahtangga selesai saya fokus dengan pengajian saya, memang tough!

“Bulan pertama agak perit tapi saya cuba urus semula masa dengan toleransi suami dan anak-anak, sementara tunggu anak keluar sekolah saya baca jurnal-jurnal dalam kereta,” kongsinya.

Sepanjang pengajian, Azlina bergaul dengan rakan-rakan sekelas dalam kalangan generasi baru yang celik teknologi maklumat seperti SPSS, Nvivo dan perisian digital.

“Dalam melancarkan tugasan saya perlu catch up dengan semua teknologi agar tidak ketinggalan jadi saya belajar melalui YouTube.

“Bila sambung belajar dalam usia begini memang kefahaman tak sama dengan pelajar muda tapi saya cuba kaitkan dengan pengalaman kerja yang banyak membantu.

“Jangan putus asa, tawakal, jangan kedekut ilmu kerana apa yang kita beri itu yang kita dapat, bila berdepan dengan masalah mengadu pada Allah, sabar, redha, syukur walaupun dalam hati Allah sahaja yang tahu,” luahnya berkongsi resepi kejayaan.

SAMBUNG BELAJAR LUNASKAN IMPIAN DAHULU

Azlina berpuas hati dapat menyambung pelajaran untuk melunaskan impian yang terkubur suatu ketika dahulu. Selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat namun takdirnya belum sampai.

BACA>>> Pakar Kewangan: Panduan Guna Duit Hantaran Sebaik Mungkin

 Azlina ditemani suami (kanan), anak dan  ibu tersayang (kiri).

Azlina ditemani suami (kanan), anak dan ibu tersayang (kiri).

Enggan menoleh ke belakang Azlina terus bekerja di sektor industri di Kuala Lumpur hampir 10 tahun menimba pengalaman di samping membantu ibu bapa dan adik-adik yang masih kecil.

Apabila mendapat peluang bekerja di UUM, Azlina bertugas di Fakulti Kewangan dan Perbankan sebagai Setiausaha Profesor Kursi Bursa Malaysia, Prof Dr Meroune Lakehal-Ayat dari Rochestor University USA yang banyak memberi nasihat tentang kehidupan dan pengurusan.

Seterusnya menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam bagi menambah ilmu sebagai penjawat awam.

“Pada saya, staf perlu sambung belajar supaya dapat melihat perspektif lain selain dunia pekerjaan kerana melalui pengajian kita akan bergaul dengan orang dari pelbagai latar belakang dan prinsip hidup dari situ kita akan renungi diri untuk berubah menjadi lebih baik.

“Dalam hidup ini sudah pasti untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai dan saya amat berharap keberadaan saya merupakan satu signifikan kepada orang sekeliling untuk menjadi lebih positif,” pesannya.

SUMBER: Kampusuols

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda