PASTI ramai terfikir, kalau aku sudah ada bayi nanti, dia mesti dijaga rapi. Mesti kerap dimandikan, disabun dan disyampu setiap hari. Tetapi, apa yang perlu kita tahu, bayi  baru lahir tidak perlu pun selalu dimandikan kerana boleh menghilangkan minyak semula jadi yang melindungi kulit si manja.

Terkejut? Malah, kekerapan memandikan bayi boleh menyebabkan kulitnya mudah terjejas dan terdedah kepada alergi. Kalau tersilap pula guna produk mandian tertentu, terkena pula macam-macam penyakit kulit seperti ekzema. Jadi bagaimana hendak jaga kulit bayi dengan cara betul?


CARA MANDIKAN BAYI YANG BETUL

Bayi tidak berpeluh atau kotor seperti orang dewasa. Bayi usia sebulan dan ke bawah, cukup jika dimandikan 2 atau 3 kali seminggu. Macam tidak percaya bukan? Apa yang penting, pastikan cuci bahagian muka dan kawasan lampin menggunakan kain lembap yang bersih.

  1. Isikan besen mandi dengan air suam. Sebelum mandikan bayi, rasa suhu air menggunakan siku.
  2. Letak tuala, sabun dan syampu berdekatan supaya senang dicapai.
  3. Bersihkan muka bayi dengan lembut menggunakan kain lembap. Guna bola kapas atau kain lembap untuk bersihkan mata, luar telinga dan muka bayi. Pastikan lakukan dengan berhati-hati ketika mencuci mata dan hidung bayi.
  4. Guna kain bersabun untuk bersihkan badan bayi dari atas ke bawah dan depan ke belakang. Pilih sabun mandian yang selamat untuk kulit bayi.
  5. Bersihkan seluruh bahagian tubuh kecuali bahagian lampin. Kawasan ini kita cuci akhir sekali.
  6. Lap badan bayi menggunakan tuala kering dan lembut (tuala lembap ada banyak bakteria).
  7. Guna losen atau minyak bayi untuk melembapkan kulit si manja dan pastikan kulitnya lembut.

CARA CUCI RAMBUT BAYI 

  1. Sediakan secawan air untuk basahkan kepala bayi.
  2. Letakkan sedikit syampu atas tapak tangan dan sapukan atas kepala bayi. Gosok kepala bayi mengikut gerakan bulat.
  3. Sediakan secawan lagi air untuk membilas kepala bayi.
  4. Ketika menyampu kepala bayi, tampung kepala dan leher bayu menggunakan sebelah tangan, manakala satu tangan lagi bahagian bawah badan bayi.
  5. Pastikan pegang bayi dengan betul dan teliti untuk elak terlepas kerana kesan licin sabun.

TIP: Jika bayi ada masalah cradle cap atau kerak di kepala, urut kepala bayi dengan lembut menggunakan jari, berus lembut atau kain lembut bersama minyak bayi. Lama kelamaankerak di kepala bayi akan hilang


GUNA PRODUK BETUL

Ingat, jangan sesekali guna produk yang bukan khas untuk bayi. Kononnya hendak matikan kuman, kita pun gunalah sabun yang kuat dan tidak sesuai untuk kulit bayi. Padahnya, kulit bayi hilang minyak dan lembapan semula jadi.

AWAS! ELAKKAN produk mandian yang mengandungi bahan seperti:

  • Formaldehid
  • Fostat
  • Propylene glycol
  • SLS
  • Paraben
  • Minyak mineral
  • Gluten
  • Phthalates

Jadi, pilih produk yang baik supaya kulit bayi sentiasa sihat dan selamat. Selamat mencuba!

SUMBER: MamaPapa

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda