IBU mana tidak sedih apabila anak yang dikandungkan 9 bulan meninggal disebabkan hentakan benda tumpul di kepala tanpa diketahui apakah sebenarnya yang berlaku! Lebih menyedihkan, apabila dia tidak mendapat keadilan sepatutnya.

Inilah yang menimpa Julia Rahim yang kehilangan puteri ketiganya, Nur Aisy Mohd Ikhwan, April lalu. Semoga keadilan diberikan kepada arwah Aisy dan dipermudahkan urusan kepada Julia.


Mereka mempunyai persamaan. Punca kematian mereka ialah sama, disebabkan HENTAMAN PADA OBJEK TUMPUL DI KEPALA! Tetapi sekurang-kurangnya ibu ayah Adam berjaya mendapatkan kebenaran apa yang berlaku ke atas Adam dan insya-Allah keadilan akan berpihak kepada mereka.

Tetapi nasib aku dan suami sebaliknya. Walaupun hasil post mortem sudah menunjukkan kebenaran apa yang berlaku ke atas Aisy, tetapi untuk mendakwa si polan bukan senang. Kami perlukan bukti kukuh untuk menjatuhkan pertuduhan itu. Semua atas usaha pihak berkuasa untuk membantu kami.

Ramai orang luar bertanya, “Macam mana dengan kes anak kau, Julia?” Sukar untuk aku jawab sebenarnya. Sebenarnya masih dalam siasatan (entahlah nak siasat macam mana lagikan? Bukti dan kenyataan sudah aku dan suami berikan kerjasama sehabis baik). Mungkin kami bukan kalangan orang berpengaruh untuk dapatkan perhatian daripada mereka.

Apabila kami cuba share di media sosial. Pelbagai suara sinis keluar yang kononnya kami masih tidak reda? Allahuakhbar, sedangkan niat sebenar aku dan suami untuk membuka mata org luar supaya kes seperti ini tidak berulang lagi. Dan kami cuba untuk mendapatkan keadilan kepada anak kami.

Sebab kuasa viral juga sangat membantu sebenarnya. Sebab apa? Sebab kerjasama orang luar dan pihak sepatutnya akan cuba ambil perhatian dan tindakan yang cepat.

Aku dapat rasa apa yang ibu bapa Adam rasa. Sedih. Sakit. Geram. Kecewa dan macam-macam lagi perasaan ada dalam diri kami. Orang di luar mudah untuk berkata-kata, tetapi orang yang menanggung  tidak payah cakaplah.

Cuma apa aku boleh kongsikan jika benda berlaku kepada keluarga di luar, jangan sesekali putus asa untuk mendapatkan keadilan kepada anak. Sebab anak kita sudah korbankan keseluruhan kesakitan mereka untuk kita.

Dalam Islam pun kita dituntut untuk mendapatkan kebenaran itu. Aku memang tidak kisah dengan kata-kata orang sekarang ini, cakaplah apa yang mereka hendak cakap. “Yang hilang itu anak aku bukan anak kau!” Sakit beranak ini pun tidak habis lagi. Kau nak suruh “Maafkan orang itu”, walhal orang itu tiada sebarang pengakuan.

Tiada sebarang perkataan “MAAF” dan yang ada hanya kenyataan untuk menyalahkan aku dan suami atas apa yang berlaku ke atas Aisy! Ada lagi yang tanya kepada aku, “Kau tak cuba slow talk dengan dia ke?”

Allahuakhbar, sepanjang arwah Aisy di wad, aku cuba bertanya secara baik dengan si polan. Bukan setakat itu saja, aku ‘MERAYU’ kepada si polan supaya berterus terang dan berlaku jujur. Sebab dalam kepala otak aku tidak sanggup hendak tengok Aisy dibedah siasat. Tetapi si polan tetap berkeras dengan jawapan dia, “TIDAK TAHU!”

Tapi bila pihak berkuasa share dengan aku apa keterangan si polan itu. Barulah aku tahu dia cuba memutar belit untuk salahkan kami, sedangkan terang-terang pagi itu anak aku memang sihat. Ada juga video pagi itu memang anak kami dalam keadaan sihat dan aktif dan tiada unsur memang dia jatuh dari tangan kami!

Memang kau boleh lari si polan. Kau boleh cuba rahsiakan semua ini, tetapi setakat mana kau boleh menipu semua ini? Akhir kau akan kecundang juga dengan putar belit kau! Trauma aku tidak payah cakaplah. Sampai saat ini aku memang selalu terfikir macam mana keadaan Aisy ketika itu? Sakitnya anak aku, kenapa si polan tidak call aku? Kenapa perlu rekod video dengan niat mahu menyelamatkan dirinya sahaja? kenapa biarkan Aisy dalam keadaan yang sangat sakit macam itu? Kejamnya kau… Aisy tidak bersalah dengan kau. Sampai hati kau boleh buat macam itu dengan anak aku?

Aku tahu sekarang ini kau pun pura-pura untuk hidup dalam keadaan tenang. Walhal hati kau memang tidak tenteram pun. Tambahan sekarang isu bayi Adam ini hampir sama dengan kejadian Aisy! Kamu semua rasa dia boleh tenang ke? Setakat mana kau boleh abaikan? setakat mana kau boleh diam? Silap-silap benda ini boleh makan diri kau juga. Jadi tidak perlulah kau nak update sangat status berunsur muhasabah untuk diri orang lain.

Jadi status ini aku public-kan supaya kau boleh baca dan hadam apa yang aku rasa! Supaya kau sendiri rasa tidak tenteram. Jadi, kau kena ingat aku tidak akan berhenti untuk dapatkan keadilan untuk anak aku walaupun makan bulan, dan makan tahun untuk memperjuangkan kebenaran ini. Kau kena pegang semua ini.

Jangan ingat tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa, kau boleh jalani hidup macam biasa. Kau tidak tahu kesan berpanjangan yang aku dan seluruh keluarga tanggung, terutama sekali Fatihah dan Imani yang tidak henti tanyakan Aisy dan cuba faham apa yang sebenarnya berlaku ke atas adik mereka!

Jadi, jangan pertikaikan reda aku! Apa yang aku buat semuanya untuk segala pengorbanan anak syurga aku Aisy! Aku tidak akan berhenti dan berputus asa!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda