BAGAI dirasuk syaitan, seorang ibu tergamak mengelar bayi lelakinya, Jerry Yohanes yang berusia 8 bulan menggunakan objek tajam sehingga mati di Pulau Mantanani, Kota Belud, petang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang di sebuah kuarters pekerja berhampiran Pulau Mantanani, wanita itu turut mengelar tiga lagi anaknya Nurul Hanisa (8),  Melati (7) dan Jehan (5) tahun hingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian leher.

BACA>>> Jenis dan Bahaya Meroyan yang Perlu Anda Tahu!

Terdahulu, difahamkan kejadian itu disedari sepasukan anggota polis kira-kira jam 1.40 petang ketika melakukan rondaan di pulau peranginan tersebut sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

Lelaki berkenaan memaklumkan polis tindakan isterinya yang mengelar keempat-empat anak mereka di kuarters pekerja terbabit.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemukan mayat seorang bayi lelaki. Manakala 3 lagi kanak-kanak ditemukan terbaring dengan keadaan berlumuran darah di bahagian leher disyaki dicederakan oleh suspek.

Suspek berusia 30-an itu turut ditemukan dalam keadaan berlumuran darah selepas disyaki cuba membunuh diri namun berjaya dihalan.

Sepasukan anggota dari Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudiannya digegaskan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi  mengesahkan kejadian.

“Ya, memang berlaku kejadian tersebut, namun laporan lengkap mengenainya masih dalam siasatan.

“Seorang bayi lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dikelar oleh suspek yang juga ibunya sendiri menggunakan objek tajam.

BACA>>> ‘Saya Tidak Buat Apa Pun!’ Inilah Sikap Suami Punca Isteri Alami Depresi

“Kes ini masih disiasat polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

Dipercayai tiga lagi anak suspek yang dilaporkan parah sudah dikejarkan ke hospital berdekatan menggunakan bot untuk menerima rawatan lanjut dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.

SUMBER: Astro Awani | GAMBAR: Yuuki JouJi