IBU hamil dikesan mengalami pra-eklampsia berdasarkan ujian tekanan darah tinggi yang pastinya menjadi mimpi ngeri sepanjang proses kehamilan. Pemantauan terperinci perlu dilakukan dan kadangkala pembedahan menjadi salah satu cara menyelamatkan bayi dan ibu.

Bagaimanapun, jangan putus asa dalam menjalani gaya hidup sihat sepanjang hamil bagi memudahkan proses bersalin. Mesti sentiasa positif menangani pra-eklampsia.

APAKAH ITU PRA-EKLAMPSIA?

Pra-eklampsia berlaku pada trimester kedua kehamilan iaitu selepas 20 minggu kehamilan, yang sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, bengkak yang berlaku tiba-tiba dan kenaikan berat badan mendadak disebabkan pengumpulan air dalam badan dan kehadiran protein dalam air kencing.

Bagaimanapun, sehingga kini punca sebenar berlakunya pra-eklampsia masih tidak diketahui sehingga kini.

KESAN KEPADA BAYI

1. KURANG ALIRAN DARAH KE URI

Apabila pra-eklampsia berlaku pengurangan darah yang mengalir ke dalam uri akan berkurangan, yang membahayakan kandungan.

2. KURANG OKSIGEN

Tumbesaran bayi dalam kandungan menjadi terbantut disebabkan oksigen dan nutrien yang sampai kepada anak kita tidak mencukupi.

3. AIR KETUBAN KURANG

Air ketuban dalam perut juga berpotensi berkurangan.

4. KEMATIAN MENGEJUT

Jika tumbesaran anak kita menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut dalam kandungan.

Sebab itu, ibu mengandung yang dikesan mengalami pra-eklampsia perlu dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan komplikasi ini dan tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.

KENAPA PERLU TAHU TENTANG PRA-EKLAMPSIA?

Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan. Manakala, eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia.

Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin iaitu dalam tempoh berpantang. 1 dalam 200 kehamilan (0.5 peratus) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil.

Walaupun ia adalah biasa berlaku terhadap wanita mengandung tetapi adalah penting untuk mengetahui tanda-tanda gejala ini.

GEJALA-GEJALA PRA-EKLAMPSIA

  • Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan dengan ubat tahan sakit
  • Mata menjadi kabur
  • Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat gastrik
  • Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah
  • Berasa tidak sihat

Kesemua tanda-tanda ini adalah amaran bahaya dan menandakan kita memerlukan perhatian hospital dengan segera. Dalam pra-eklampsia yang serius, organ penting dalam badan seperti hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.

Pra-eklampsia serius yang tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia (sawan). Bagaimanapun, ia jarang berlaku tetapi boleh membawa maut kepada ibu dan bayi.

SIAPA BERPOTENSI MENDAPAT PRA-EKLAMPSIA?

  • Kehamilan pertama
  • Jarak kehamilan jauh
  • Berusia 40 tahun ke atas
  • Berat badan berlebihan ketika hamil iaitu BMI 35 ke atas
  • Mempunyai masalah perubatan kronik yang menjejaskan sistem darah termasuk tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang atau diabetes
  • Kandungan kembar
  • Mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga
  • Pernah mengalami sebelum ini

CARA PENCEGAHAN

Berbincang dengan doktor tentang faktor-faktor yang kita ada. Kita mungkin akan dinasihati untuk mengambil ubat aspirin 75mg sehari sekali dari awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga mungkin diberikan.

Walaupun tidak ada cara yang pasti 100 peratus boleh mencegah pra-eklampsia tetapi, cara yang terbaik adalah memastikan kita kerap berjumpa doktor menerusi temu janji bulanan. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah diambil oleh doktor atau jururawat bagi mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.

SUMBER: TheMalaysianMedicalGazette

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda