KANAK-kanak memang tinggi sikap ingin tahu. Ada saja idea yang terlintas di fikiran untuk dicuba-cuba, tambahan lagi kalau berjumpa sesuatu yang tidak pernah dilihatnya. Mulalah buat eksperimen sendiri.

Ada beberapa perkara yang perlu ibu bapa pantau ketika anak sedang bermain, terutama jika dia tiba-tiba diam dalam tempoh lama. Tentu ada sesuatu yang menarik minat mereka. Jadi, kita sebagai ibu bapa mesti sentiasa memeriksa aktiviti anak, dan jangan dibiarkan dia main peralatan yang mendatangkan bahaya kepada diri.

Berikut perkongsian Dr Taufik Razif mengenai penunjuk laser (laser pointer) yang pernah dimainkan anaknya hingga hampir membuatkan retina matanya rosak!


Bahaya Tak Laser Pada Mata?

Berderau darah saya bila tengok anak saya pegang penunjuk laser. Lebih berderau lagi darah saya apabila laser pointer itu betul-betul dihalakan tepat ke arah matanya! Cepat-cepat saya sambar penunjuk laser itu daripada tangan dia.

Aduh, dia ingat itu mainan agaknya! Itu yang dia main ambil saja dari bilik saya. Padahal saya sudah sorok elok-elok. Macam mana si comel saya ini boleh jumpa benda ini? Lepas disuluhnya mata, tiba-tiba saja mata dia mula kenyit-kenyit kepedihan!

Cepat-cepat saya tengok label pada penunjuk laser. Fuh! Lega saya. Atas label itu tertulis ‘max output‘ kurang 5 miliwatt (mW). Apa saya paling takut ialah lebih 5mW sebab ada kemungkinan retina mata boleh rosak kalau terkena cahaya laser yang melebihi 5mW.

Label pada Penunjuk Laser

Apabila tengok lagi pada label penunjuk laser itu, saya nampak tertulis Class IIIA. Fuh, lega juga sebab Class IIIA ini masih dikira selamat untuk mata dan biasanya max output masih dalam lingkungan 3-5mW saja. Dikira bahaya kepada mata jika max output lebih 5mW dan Class IIIB atau Class 4.

Kesan Laser kepada Anak Saya

Cuma saya perasan, anak asyik pegang matanya sejak tadi selepas disuluhnya mata dengan penunjuk laser tadi. Apabila sudah baca label itu, saya sudah lega sikit walaupun anak masih terkenyit-kenyit mata. Itu efek sementara flashblindness dan afterimage saja, disebabkan cahaya terlampau terang masuk ke dalam matanya.

Afterimage  semacam kita tertengok pancaran flash kamera. Tiba-tiba saja kita boleh nampak lagi bayangan flash itu walaupun sudah tutup matakan? Biasanya benda itu akan hilang dalam 5-10 minit. Kalau selepas itu masih tidak hilang, mungkin ada retina mata ‘tercedera’. Jangan risau, biasanya retina akan perlahan-lahan sembuh dalam masa beberapa minggu.

Apapun, jangan beri anak main laser ye, sebab kadangkala kita tidak tahu betul atau tidak label laser itu. Jangan sampai Class IIIB pun dia main tulis saja Class IIIA, habis rosak mata anak kita! Tolong ingatkan keluarga yang lain juga ya!

SUMBER: Taufik Razif

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda