AIDILFITRI bakal menjelang tidak lama lagi, pasti ramai yang sudah beransur pulang ke kampung? Ada merancang pulang ke kampung sebelah malam, iaitu selepas bekerja atau awal pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Mungkin disebabkan penat atau tidak cukup tidur, kadangkala pemandu boleh jadi mengantuk, terutama jika memandu jauh. Apatah lagi ketika jalan sesak.

Ada beberapa tip dikongsikan Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berdasarkan pengalamannya terlibat dalam kemalangan akibat tertidur ketika memandu.


Aidilfitri sudah semakin hampir dan ramai akan pulang ke kampung. Kebanyakan akan memandukan?

Hati-hati jika sedang memandu, tiba-tiba rasa hilang fokus, mata asyik nak terkebil-kebil, otot rasa lemah, dan kadang-kadang terkejut.

Itu adalah tanda-tanda microsleep.

Microsleep adalah tertidur beberapa detik, kadang-kadang dalam keadaan mata terbuka. Ada masa kita tidak sedar pun kita tertidur. Ia biasa berlaku jika kita terlalu mengantuk.

Perkara seperti ini seringkali berlaku. Ia menyebabkan ramai pemandu terbunuh, terutama ketika di lebuh raya dan sewaktu musim perayaan.

Bukan itu saja. Tahu tak? Letupan reaktor nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 1986, adalah disebabkan pekerja kurang fokus akibat tidak cukup tidur.

Nahas penerbangan yang melibatkan kapal terbang Air France yang terhempas ke Lautan Atlantik pada 2009 disebabkan juruterbangnya tidak cukup tidur. 228 orang mati dalam tragedi itu.

Bagi cegah ini berlaku kepada anda, saya kongsikan tip untuk elak microsleep ketika memandu.

1. TIDUR SECUKUPNYA SEBELUM MEMANDU

Tidur secukupnya pada malam sebelum perjalanan. Durasi yang baik ialah sekitar 6-8 jam. Jika bertolak tengah hari, tidurlah seketika sebelum bertolak.

2. MINUM KOPI SEBELUM MEMANDU

Kopi mengandungi kafein iaitu sejenis neuro-stimulant. Apabila kita minum kopi, kafein akan masuk ke dalam darah dan kemudian menghambat adenosine daripada melekap pada receptor adenosine.

Adenosin ialah neurotransmitter yang bertanggungjawab memberi signal kepada tubuh supaya rehat dan tidur.

Maka, kita akan kurang rasa letih dan mengantuk. Namun, ada hadnya sejauh mana kita boleh elakkan tidur.

3. REHAT SELEPAS 2 JAM MEMANDU

Bagi pemandu yang menggunakan lebuh raya, pihak konsesi lebuh raya sudah bina cukup banyak kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah sepanjang lebuh raya. Gunakan fasiliti itu sebaiknya. Jika mengantuk, berhentilah untuk rehat atau tidur.

4. ELAK MEMANDU SELEPAS SUBUH DAN ZOHOR

Jika seseorang kurang tidur sebelah malam, masa yang dikenal pasti berisiko tinggi mengalami microsleep ialah waktu selepas Subuh dan sekitar Zohor.

5. DENGAR LAGU MENYEGARKAN MINDA

Pilih lagu-lagu yang memberi kesegaran minda. Sama ada lagu rancak atau lagu-lagu yang menggamit memori dan emosi kalian. Contohnya lagu ‘Abang Nak Tegur’. Haha…

6. GUNAKAN APPS ANTI TIDUR

Aplikasi anti-tidur boleh dimuat turun dalam telefon pintar (iOS dan Android). Aplikasi ini akan membunyikan amaran (alarm) dan bergetar pada selang masa ditetapkan atau apabila ia menjangka pengguna tertidur. Ada aplikasi yang percuma dan berbayar.

7. SAKAT BINI DAN DENGAR DIA MEMBEBEL

Bergurau akan kekalkan keharmonian pasangan, tetapi menyakat hingga menyakitkan hati pasangan adalah tidak baik. Ini boleh mengakibatkan pertengkaran yang akan mengganggu konsentrasi memandu. (ini tip rumah tangga ke tip elak terlelap?)

8. GANTI PEMANDU (JIKA ADA)

Jika pemandu sudah terlalu mengantuk tetapi perjalanan mesti diteruskan juga, maka penumpang yang boleh memandu hendaklah mengambil alih tugas memandu. (Selalunya lelaki terus tidak mengantuk jika bini yang memandu. Hehehe…)


Dr Kamarul turut berkongsi pengalaman dia kemalangan akibat Microsleep sebagai perkongsian bersama.

Ini pengalaman saya alami microsleep ketika memandu dan terlibat dalam kemalangan jalan raya. 

“Saya seorang doktor, berkhidmat di sebuah hospital. Seperti mana semua tahu, ada masa kami kena on-call. Bila on-call, maka kami kerja 24-33 jam terus menerus. 

Suatu hari tu, selepas habis on-call, saya terus memandu pulang. Ketika itu jam 1 tengah hari, Jumaat. Nak balik masa itu juga sebab nak kejarkan solat Jumaat.

Masa mula memandu itu rasa OK, tapi bila sudah setengah perjalanan, aku hilang fokus. Mata asyik nak terkebil-kebil. Kadang-kadang rasa otot tiba-tiba rasa lemah, lepas tu terkejut.

Lagi 200 meter nak tiba di rumah, tiba-tiba saya rasa dunia bergoncang dan bila saya buka mata, saya hanya mampu terpinga-pinga. Dunia sudah terbalik.

Hanya selepas orang awam bantu aku keluar dari kereta, baru saya sedar apa berlaku. Saya tertidur semasa memandu dan kereta saya tersasar ke bahu jalan kemudian terbalik.

Alhamdulillah saya terselamat. Namun ada pemandu lain yang tidak bernasib baik seperti saya (lihat video). Jadi, berhati-hatilah.

Jika mengantuk, berhenti dan rehat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda