SEORANG wanita berumur 40 tahun datang ke kecemasan kerana demam dan haidnya telah berlanjutan selama 6 minggu. Dia kelihatan pucat dan lesu. Ujian darah juga menunjukkan paras hemoglobin yang rendah.

Imbasan ultrasound dilakukan dan didapati ada ‘sesuatu’ di dalam rahimnya. Bila ditanya, barulah wanita tersebut mengaku yang dia telah menggugurkan kandungannya 6 minggu lepas di sebuah klinik swasta.

Malangnya, masih ada hasil kandungannya yang tertinggal dan disebabkan inilah, wanita tersebut mengalami pendarahan yang berterusan.

Doktor memberitahu dia perlu diberi rawatan antibiotik, dan seterusnya perlu dilakukan prosedur ‘cuci’ (ERPOC atau D&C) untuk mengeluarkan sisa-sisa kandungan.

Bahaya ke doktor?‘, tanya wanita itu.

Ya, memang ada kemungkinan berlaku komplikasi. Tetapi….. tindakan puan untuk menggugurkan kandungan jauh lebih bahaya,’ jawab doktor.

BACA>>> Jangan Sedih Jika Keguguran, Doktor Ini Terangkan Sebabnya…

KENAPA MENGUGURKAN KANDUNGAN ITU MERBAHAYA KEPADA ANDA?

Benar. ERPOC atau D&C yang dilakukan untuk keguguran adalah pada dasarnya sama dengan ERPOC atau D&C yang dilakukan untuk MENGGUGURKAN kandungan.

Tetapi ERPOC atau D&C untuk MENGGUGURKAN kandungan jauh lebih bahaya. Kenapa?

Apabila seorang wanita mengalami keguguran, ia bererti kandungan tersebut tidak sempurna. Mungkin kandungan tersebut mempunyai masalah kromosom atau genetik.

Oleh itu, badan kita akan bertindak untuk gugurkan kandungan dari rahim. Paras hormon akan berkurangan, paras prostaglandin mungkin meningkat, kontraksi rahim bermula, pintu rahim menjadi lembut dan membuka, dan kandungan akan mula terpisah dari dinding rahim.

Disebaliknya, apabila kandungan sengaja DIGUGURKAN, kandungan itu adalah kandungan yang normal dan sihat. Badan kita akan bertindak untuk memastikan kandungan tersebut tidak gugur. Badan kita akan menghasilkan paras hormon yang tinggi, pintu rahim akan keras dan tertutup rapat, dan kandungan akan melekat kuat pada dinding rahim.

Ini bererti, bila doktor melakukan ERPOC atau D&C untuk MENGGUGURKAN kandungan, doktor terpaksa ‘melawan’ pintu rahim yang keras dan tertutup rapat, ‘melawan’ kandungan yang melekat kuat pada dinding rahim etc etc. Doktor mungkin perlu menggunakan sedikit kekasaran/kekerasan.

APAKAH RISIKO MENGGUGURKAN KANDUNGAN?

1. Pendarahan
2. Jangkitan kuman
3. Luka atau tertembus dinding rahim (uterine perforation), dan kadang-kadang tertembus pundi kencing atau/dan usus!
4. Tertinggal sisa-sisa kandungan di dalam rahim.
5. Perlekatan di dalam rahim – Ashermann’s syndrome
6. Luka atau terkoyak pangkal rahim.
7. Kematian!

Komplikasi-komplikasi ini boleh juga berlaku sewaktu ERPOC atau D&C untuk keguguran, tetapi risiko ia berlaku adalah jauh lebih tinggi untuk MENGGUGURKAN kandungan.

BACA>>> Kenapa Keguguran Kerap Berulang? Ketahui Punca dan Rawatannya

Janganlah gugurkan kandungan. Jika anda tidak mahu hamil, gunakanlah keadah perancang keluarga yang terbukti berkesan. Janganlah mengambil risiko dengan mengamalkan kaedah yang tidak efektif seperti ‘buang di luar’, ‘elak bersama bila waktu subur’, jamu dan produk-produk ‘sampah’.

PS. Ada juga wanita yang terpaksa dibuang rahim (hysterectomy) dah buang sebahagian daripada ususnya (partial colectomy) setelah dia mengalami rahim pecah dan tertembus usus kerana menggugurkan kandungan.

Dr Anna Liza Roslani
Pakar Obstetrik & Ginekologi.
Medical Mythbusters Malaysia

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda