MENJAGA tali pusat bayi baru lahir agak merumitkan, terutama ibu bapa yang baru menimang cahaya mata pertama. Tetapi tidaklah terlampau payah hingga memerlukan kita berwaspada 24 jam dan menjadi panik sepanjang masa.

Malah, ada ibu bapa yang masih ngeri dan ngilu melihat tali pusat anak sendiri walaupun anaknya sudah lima orang. Sebenarnya, bukan susah pun menjaga tali pusat anak jika tahu cara penjagaannya.

1. SENTIASA BERSIH DAN KERING

Pastikan tali pusat dan kawasan sekeliling dalam keadaan bersih dan kering. Bersihkan tali pusat anak dengan alkohol dan antiseptik yang dibekalkan hospital supaya pusat cepat kering.

Selain alkohol, kita juga boleh cucikan pusat dengan air bersih dan keringkan. Bagaimanapun, ada kes tertentu yang masih memerlukan alkohol atau antiseptik.

2. TIDAK TERTUTUP DENGAN LAMPIN

Semasa memakaikan lampin, pastikan tali pusat tidak tertutup untuk mengelak terkena air kencing atau najis. Pada masa sama mahu mempercepatkan proses kering.

3. JANGAN LETAK BEDAK ATAU UBAT

Sesetengah ibu bapa mengikut tradisi orang tua-tua dengan meletakkan bedak atau ubat tradisional pada pusat. Amalan itu perlu dielakkan kerana akan menganggu proses semula jadi. Basuh bersih sudah mencukupi.

4. JANGAN BIAR TALI PUSAT TERENDAM

Jangan biarkan tali pusat terendam lama dalam air ketika mandi. Jika boleh, mandikan dengan cara mengelap atau menjirus air pada badan, kemudian lap tali pusat selepas mandi.

5. JANGAN TARIK

Jangan sesekali kita menarik tali pusat anak walaupun sudah kelihatan seperti mahu tanggal. Biarkan saja tali pusat jatuh sendiri secara semula jadi.

Tali pusat bayi biasanya akan tertanggal sendiri dalam tempoh 5 hingga 14 hari bergantung kepada keadaan pusat. Tetapi jangan risau sekiranya, tali pusat anak lambat jatuh. Apa perlu dibuat ialah pastikan kebersihan pusat anak dijaga hingga betul-betul kering.


TANDA-TANDA JANGKITAN

Tanpa penjagaan betul, tali pusat berpotensi dijangkiti kuman. Perhatikan tanda-tanda seperti berikut:

  • Kawasan sekitar pusat merah.
  • Pusat ada nanah, darah atau bau kurang menyenangkan.
  • Demam.
  • Kurang aktif.
  • Kurang menyusu.

Dapatkan nasihat doktor dengan segera apabila mengesan tanda mencurigakan. Pemeriksaan dan rawatan akan dilakukan. Kita juga boleh merujuk pakar pediatrik jika tali pusat anak kita tidak tertanggal selepas 3-4 minggu dilahirkan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda