WALKER bayi atau baby walker sudah jadi seakan keperluan wajib kepada ibu bapa yang menimang cahaya mata. Mungkin kerana kita sudah melihat kerusi roda yang mengajar bertatih berjalan itu sejak kecil lagi.

Sesetengah ibu bapa mula prihatin tentang bahaya penggunaan walker bayi. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang tidak tahu kesan penggunaan ke atas bayi dari segi keselamatan dan kesan terhadap perkembangan anak.

Kali ini kami kongsikan artikel daripada Dr Rusyainir Ramli yang membuat penjelasan terperinci tentang kenapa bayi tidak memerlukan walker.

* Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


BABY WALKER – BAHAYA KE DOKTOR?

Saya pernah menulis tentang baby walker, 2 tahun lalu di laman Facebook Medical Mythbusters Malaysia. Saya baru perasan yang saya tidak meletakkan artikel itu di FB sendiri. Semoga bermanfaat buat kalian.

Ramai antara kita mengenali apa itu baby walker. Penggunaannya meluas di negara kita dan saya seringkali lihat gambar bayi yang masih belum boleh berjalan diletakkan dalam baby walker dan ibu bapa beria-ria pula mengambil gambarnya untuk dikongsikan di laman Facebook tanpa terlintas pun dalam hati betapa bahaya alat tersebut.

Baby walker dihasilkan untuk bayi yang masih belum boleh berjalan dengan membiarkan kakinya mencecah ke lantai dan membenarkannya memulakan langkah sebelum waktunya. Kalau ditanya kepada ibu bapa, mereka akan memberikan berbagai-bagai sebab mengapa mereka memilih baby walker sebagai salah satu alat untuk bayi mereka, antaranya ialah:

1. Mereka percaya yang baby walker akan mempercepatkan proses bayi berjalan dan pada masa sama memudahkan pergerakan bayi dengan sendirinya tanpa perlu dikendong.

2. Mereka rasa penggunaan babywalker akan membantu anak mereka melakukan aktiviti fizikal.

Tetapi sebenarnya, baby walker memberikan ruang untuk ibu bapa menghela nafas lega buat seketika dan berehat sebentar daripada menangani kerenah bayi kerana berada dalam baby walker membuatkan bayi leka dan asyik. Bayi yang sibuk dengan aktiviti meronda-ronda sekitar kawasan dalam rumah akan kurang rengek bagi jangka masa tertentu. Kita tidak boleh menafikan yang menjaga bayi pada usia begini memang memenatkan.

Kajian dilakukan di Amerika Syarikat (AS) pada 1994 menunjukkan penggunaan baby walker ialah kecederaan paling utama kepada bayi berbanding produk lain. Dan kerana itulah pembuatan baby walker mesti melalui spesifikasi ketat di kilang sebelum memasuki pasaran. Namun, majoriti pakar kanak-kanak memang menegah penggunaan baby walker untuk bayi.

Kanada ialah negara yang mengharamkan penggunaan baby walker disebabkan keseriusan kecederaan yang boleh terjadi disebabkannya. Australia, AS dan banyak negara Kesatuan Eropah (EU) meletakkan syarat ketat untuk penghasilan baby walker, dan secara am tidak menggalakkan penggunaannya.

Kecederaan yang biasa dikaitkan dengan penggunaan baby walker ialah:

1. KECEDERAAN KEPALA

Pendarahan otak atau keretakan tempurung kepala akibat baby walker terbalik atau terjatuh dari aras tinggi.

2. KEPATAHAN TULANG

Tulang bayi masih lembut dan mudah patah, tidak seperti orang dewasa. Bayangkan bayi tercedera akibat menggunakan baby walker. Pasti sakit bukan kepalang, maklumlah bayi, dan kita juga akan berada dalam keadaan tertekan dek mendengar kerenah anak yang menahan kesakitan sepanjang proses sembuh dengan bersimen pula bagi jenis kepatahan tertentu.

3. KEPATAHAN GIGI

Kasihannya kepada bayi patah gigi yang baru saja tumbuh.

4. MELECUR

Biasa terjadi kerana perlanggaran baby walker dengan meja terbalik yang diletakkan makanan atau air panas di atas. Atau bayi melonjakkan diri dari baby walker hingga mampu mencapai dan menarik alas meja yang kebetulan di atas terletak makanan atau air panas. Memang menyayat hati sungguh melihat kes melecur yang menimpa bayi.

5. TERSEPIT JARI

Tersepit jari di tempat baby walker berselisih dan silap haribulan, terputus terus jari jemari comel bayi kita.

6. KERACUNAN

Disebabkan kemampuan bayi mencapai benda tinggi, bayi terdedah kepada bahan beracun yang terdapat ] dalam rumah seperti sabun pencuci, bahan peluntur, minuman beralkohol, pewangi dan sebagainya.

7. KEMATIAN

Disebabkan kecederaan serius dinyatakan di atas, kes kematian dengan penggunaan baby walker bukan sesuatu yang mustahil kerana pernah dilaporkan.

Dengan menggunakan baby walker, bayi bergerak jauh lebih laju dari keupayaan sebenar dan jauh lebih pantas dari kemampuan ibu bapa untuk bertindak sekiranya bayi sedang menempuh bahaya.

Sedar ataupun tidak, kelajuan bayi dalam baby walker ialah 3 kaki per saat. Ia 75 peratus laju berbanding ibu bapa yang tidak sempat menghalang kecederaan sebelum ia berlaku ketika bayi dalam baby walker.

Rumah kita ada tebing atau diletakkan banyak perabot sebagai halangan pergerakan baby walker. Tetapi, kalau tiada halangan sekalipun, kelajuan walker itu menyebabkan bayi gagal mengawalnya, lalu berlanggar dengan dinding atau almari.

Lazimnya, kecederaan berlaku akibat baby walker terbalik atau terjatuh tangga. Memang ada pengadang yang boleh dipasang di tangga tetapi sekiranya pengadang tidak dipasang betul atau tidak ditutup kemas, bahaya pasti menanti.

Seperti dinyatakan di atas, bayi yang berada dalam baby walker mampu menggunakan ia untuk menlonjakkan diri mencapai benda panas atau berat yang diletakkan di tempat lebih tinggi dan sepatutnya tidak tercapai dengan kemampuan bayi pada usia itu.

Bayi secara lumrah, pada usia menjangkau 6 bulan ke atas, akan mempunyai keinginan semula jadi untuk bergerak sendiri. Pada permulaan, bayi akan kelihatan seakan bersusah payah melakukannya. Bayi akan menggunakan kaki dan tangan untuk menggerakkan badan, mengiring, mengengsot dan merangkak.

Apabila bayi berjaya mendapatkan apa dikehendaki dengan pergerakannya sendiri, contoh barang permainan, dia sebenarnya sudah mencapai satu matlamat dalam proses tumbesaran fizikal dan mental.

Selepas merangkak, bayi akan meneruskan proses tersebut dengan berdiri, melangkah sambil berpaut dan akhirnya berjalan. Bayangkan betapa gembiranya hati kita melihat perkembangan keupayaan bayi kita bergerak sehari demi sehari.

Inilah proses semula jadi dalam perkembangan bayi, dan malangnya, dengan penggunaan baby walker, bayi akan melangkau perkembangan tersebut. Apa tidaknya, dengan berada dalam baby walker, dia meletakkan jari kaki yang kecil itu dalam keadaan tidak normal seperti bayi lain yang mahu berdiri dan berjalan.

Apabila berada dalam baby walker, bayi menggelongsor ke depan dengan mudah dan mampu memanjat ke atas sebelum masa. Tanpa kita sedar, kajian mendapati bayi yang menggunakan baby walker menunjukkan kelewatan dalam tumbesaran fizikal untuk merangkak, berdiri dan berjalan sendiri tanpa bantuan baby walker.

Malah, kajian juga mendapati, tumbesaran fizikal lain untuk bayi yang pernah menggunakan baby walker, juga lambat walaupun sudah berjalan. Bukan itu saja, kajian mendapati, bayi yang menggunakan baby walker merencatkan perkembangan mentalnya. Kita mungkin rasa apalah sangat penggunaan baby walker walhal kesan dan impaknya mungkin lebih besar daripada apa yang kita jangka.

Kesimpulannya, tiada kebaikan pun menggunakan baby walker berbanding dengan segala keburukan yang saya nyatakan di atas. Maka, sekiranya kita mempunyai baby walker di rumah, inilah waktu terbaik menyimpannya dalam stor sebelum kejadian tidak diingini terjadi atau kesan jangka panjang tidak sihat berlaku ke atas perkembangan bayi kita.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda