SEBAIK saja doktor mengesahkan anaknya mengidap kanser otak, tidak dapat digambarkan lagi rasa sedih dan luluh hati Mohd Nazri Mansor menanggungnya. Apatah apabila anaknya itu menurut doktor disahkan sudah tiada harapan dan dia diminta pulang ke rumah untuk meluangkan masa akhir bersama anak sambil menunaikan permintaan anaknya mengikut apa yang termampu.

Walaupun perit menerima berita duka itu, Mohd Nazri menerusi laman Facebooknya masih sempat berkongsi kepada netizen tentang tanda-tanda awal penyakit yang menimpa anaknya, Syamil Nur Iman. Diharapkan apa yang dikongsikan dapat memberikan manfaat kepada pembaca semua.

Menurut Mohd Nazri, penyakit itu berlaku sangat pantas dan secara tiba-tiba tanpa sempat dia dan isteri menyedarinya. Tiada sebarang tanda awal yang betul-betul membuatkan mereka curiga dan mendesak pergi membuat rawatan.

Ini perkongsian kisah ‘Anakku Brain Tumor
(Kronologi penyakit anakanda syamil dan keadaannya terkini)

* Ada beberapa suntingan ayat dibuat mengikut gaya bahasa kami tanpa menjejaskan maksud asal penulis. Status asal boleh dibaca di SINI. Harap maklum.

1. Pada 20 November 2017, Isteri saya konvokesyen master UUM. Kami sekeluarga berangkat ke Kedah, ditemani adik ipar dan juga mertua. Waktu inilah sedikit perubahan tingkah laku Syamil bermula. Dia jadi sensitif, mudah menangis walaupun benda kecil saja.

2. Ada beberapa kali, Syamil menangis dalam biliknya. Saya pun pergi bertanya. Katanya, dia tidak boleh pecat baju. Saya memarahinya.

“Abang (panggilan kepada anak) ni, pecat (buka) baju tak boleh pun nak menangis juga ke? Kalau tak boleh sangat cakap je la.  Tak payah nak menangis macam budak.” Saya membebel, sebab masa itu ada urusan penting, tetiba diganggu dengan tangisannya. Itupun kerana tak boleh buang (tanggalkan) baju je, memang saya angin masa itu.

Tetapi kini, bila saya terkenang saat itu, saya menitiskan air mata. Ya Allah, mungkin masa itu tangannya sudah beransur lemah. Tetapi saya terus memarahi dia tanpa mengetahui sebab sebenar.

3. Waktu ini, kelihatan juga dia jarang menggunakan tangan kiri. Tangan kirinya masih berfungsi tetapi mungkin sedikit lemah. Saya kata mungkin sebab masa ni saya tak ada syak apa-apa. Cuma bila dah tahu penyakit dia sekarang, baru kita fikir balik. Ooo.. patut la macam ni… Patut la macam tu…

4. 23 November 2017. Kami sekeluarga berangkat ke Australia melawat kakak ipar saya. Masa ini pun Syamil masih aktif. Kami ke sana ke sini tanpa ada apa-apa yang membuatkan kami risau tentang dia. Saya begitu teruja kerana dia sangat happy ketika di sana, naik kapal terbang, satu pengalaman yangg baru buat dia dan anak-anak yang lain. Syukur, mungkin ini percutian terakhir kami bersama.

5. Lebih kurang 2 minggu di oversea kami pun pulang ke tanah air. Sewaktu naik flight Syamil kelihatan sedikit ketakutan, tidak seperti naik flight sewaktu datang. Kemudian, dia menekup kedua telinga dan menangis. Adakala dia pegang botol air dan jatuh.

6. Sekali lagi saya memarahinya. Allahu, banyaknya dosa saya kepada dia. Ampunkan abi ya nak! Saya kata kat dia, “Abang ni… tengok adik Wardah, Ima. Tak menangis pun. abang tu dah besar.” Akhirnya, kami tiba dengan selamat. Waktu ini Syamil masih lagi OK.

7. Kemudian, lebih kurang seminggu selepas itu, kami perhatikan cara dia berjalan macam lain. Kami pelik. Lastly dia kerap jatuh. Sekali dua kami tak hirau lagi. Bila dah banyak kali, kami dah rasa macam ada sesuatu yang tak kena dengan dia.

8. Kemudian isteri saya ingin menguji dia. Dipanggilnya Syamil dan disuruh menulis beberapa patah perkataan. ALANGKAH TERKEJUTNYA kami….. Masa tu Tuhan saja yang tahu perasaan melihat tulisannya amat hodoh sekali macam budak baru belajar menulis. Barulah kami sedar, Syamil dalam MASALAH BESAR.

9. 24 Disember 2017, kami terus bawa dia jumpa pakar kanak-kanak di KTS (Hospital Pakar Kuala Terengganu). Saya ingat lagi masa itu hari Jumaat. Saya beritahu ejen insuran Syamil supaya aturkan juga hari itu sebab saya amat bimbangkan keadaannya.

10. Setelah diteliti doktor pakar kanak-kanak, anakanda Syamil menjurus kepada strok, ada MASALAH dalam kepala. Untuk betul-betul pastikan penyakitnya, dia menyarankan saya pergi buat scan di HRPZ (Hospital Raja Perempuan Zainab). Masa tu dunia dah rasa GELAP.

11. Selepas dibuat scan, ternyata anakanda Syamil mengalami kanser otak di bahagian brainstem, lokasi paling bahaya. Dengan itu, Doktor tidak meletakkan apa-apa harapan buat Syamil. Ada doktor memberitahu jangka hayatnya mungkin 1 hingga 2 tahun. Seorang lagi doktor pula menjangka hanya 3 atau 4 BULAN sahaja. Dia mencadangkan saya bawa balik syamil dan penuhi permintaan ‘hari-hari terakhirnya’.

12. Saya tidak menyalahkan doktor, malah berterima kasih kerana berterus terang. Oleh kerana harapannya agak tipis, jadi kami ambil keputusan untuk tidak buat kemo. Kami tidak mahu lagi melihat dia makin terseksa. Sekiranya harapannya masih lagi 50-50, sudah pasti walaupun perit mata memandang, kami buat juga kemo tu. Tapi apa yang berlaku ialah sebaliknya.

13. 17 Jan 2018 kami pun bawa Syamil pulang dengan mengharapkan akan berlaku keajaiaban dan kami tetap REDHA apa jua ketentuan Ilahi. Sampai sekarang kami berada di rumah Kampung Banggol, berubat secara tradisional dengan dibantu ubat luar.

14. Secara ringkasnya, ada 3 tanda sebelum dapat dipastikan penyakit syamil. Pertama, tangan lemah; Kedua, berjalan tidak stabil; Ketiga tulisan jadi hodoh. Tanda pertama 20 November 2017, tanda kedua dan ketiga 24 Disember 2017. Lebih kurang sebulan saja daripada tanda pertama. Tanda pertama saya langsung tidak menyedarinya.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda