KANAK-kanak kecil memang akan kerap sakit seperti demam, selesema dan batuk. Lagi-lagi apabila dia mula dihantar ke pusat asuhan atau rumah pengasuh. Kanak-kanak berisiko tinggi mudah terdedah kepada jangkitan kuman dan bakteria.

Kita perlu sering memantau tahap kesihatan anak sekiranya berlaku sebarang perubahan drastik. Apabila mengesyaki sesuatu, segera berjumpa doktor kerana dikhuatiri si anak mengidap penyakit yang lebih teruk seperti kanser.

Pengesahan awal sangat penting supaya kanak-kanak boleh mendapatkan rawatan awal. Berikut antara tanda kanser yang boleh dikesan.

1. HIDUNG KERAP BERDARAH

Perhatikan jika anak mengalami hidung berdarah terlalu kerap hingga 4-5 kali sebulan. Itu mungkin amaran kanser.

Berdasarkan Hospital Universiti Kebangsaan di Singapura, hidung yang kerap berdarah ialah simptom Leukemia Limfoblastik Akut (LLA) yang sering ditemui pada kanak-kanak.

2. KELENJAR NODUS LIMPA MEMBESAR

Keadaan ini tidak memberikan kesan sakit kepada kanak-kanak, tetapi kelenjar nodus limfa yang semakin membesar boleh menjadi tanda bagi penyakit Limfoma non-Hodgkin.

Limfoma berlaku disebabkan tumor yang bermula dalam kelenjar limfa. Simptomnya adalah termasuk bengkak di leher, ketiak, pangkal paha, dada dan abdomen.

Pembengkakan Nodus limpa di tepi leher, di pangkal paha, ketiak atau di bahagian atas tulang selangka mudah untuk dilihat, atau dirasakan seakan-akan ketulan pada bahagian bawah kulit.

3. SESAK NAFAS

Sesak nafas atau kesukaran bernafas ialah gejala serius bagi kanak-kanak dan boleh menjadi salah satu tanda kanser. Menurut Institut Kanser Universiti Kebangsaan Singapura, sesak nafas boleh jadi antara tanda Leukemia.

4. BENJOLAN ATAU BENGKAK

Benjolan atau bengkak pada bahagian perut, kaki dan tangan anak yang bukan disebabkan kecederaan. Jika ada, sila bawa anak jumpa doktor. Ada kajian mengatakan, bengkak di bahagian abdomen mampu menunjukkan Tumor Wilm iaitu kanser buah pinggang yang berlaku pada kanak-kanak kecil.

5. SAKIT KEPALA

Apabila anak sering mengadu sakit kepala, minta nasihat doktor pakar kerana dikhuatiri petanda kepada kewujudan tumor dalam otak.  Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) berkata, itu mungkin disebabkan tekanan yang meningkat dalam tulang yang disebabkan benjolan hingga tulang dalam struktur badan tidak boleh berkembang.

6. MASALAH PENGLIHATAN

Selain sakit kepala, tanda tumor dalam otak juga boleh menyebabkan mata jadi kabur, penglihatan berganda dan hilang penglihatan.

7. SAWAN

Pusat Kanser Parkway menyenaraikan sawan sebagai salah satu tanda tumor dalam otak pada kanak-kanak. Perhatikan jika anak dapat sawan yang tidak disebabkan demam panas tinggi.

8. SAKIT TULANG

Menurut Institut Kanser Kebangsaan Singapura, gejala sakit tulang menunjukkan tanda Neuroblastoma, iaitu tumor kanser yang kebiasaannya berlaku pada kelenjar adrenal. Tumor Pepejal Malignan ini mengakibatkan bengkak atau kesakitan pada tulang kanak-kanak. Bagaimanapun, gejala berbeza mengikut lokasi tumor.

9. LEMAH DAN CEPAT LETIH

Kanak-kanak aktif memang mudah letih dan penat, tetapi perhatikan anak kita jika dia kerap keletihan dan lemah badan. Lembaga Promosi Kesihatan Singapura berkata, keadaan itu mungkin pentanda kanser limfoma.

10. KENCING BERDARAH

Keadaan ini mungkin disebabkan Tumor Wilm yang terdapat pada buah pinggang hingga menyebabkan air kencing kanak-kanak berdarah.

11. DEMAM TIDAK DIKETAHUI PUNCA

Kanak-kanak memang mudah demam, tetapi pantau keadaan tersebut. Jika kerap demam dan punca tidak diketahui, sila rujuk pakar kesihatan untuk buat pemeriksaan lanjut kerana itu mungkin petanda Leukimia.

SUMBER: TheAsianParent

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda