MENJAGA anak perempuan hari ini memang sangat mencabar seiring kemajuan teknologi maklumat dan maklumat terbuka, khususnya dengan kehadiran telefon pintar yang sudah menjadi perkara biasa di kalangan kanak-kanak.

Dengan pelbagai insiden kurang enak yang sering dikecohkan di kaca TV dan media massa, ramai ibu bapa kini lebih berhati-hati dalam mendidik anak, terutama anak perempuan.

Berikut perkongsian Akhi Fairuz Al Jengkawi tentang kisah telefon pintar dan sex grooming yang perlu kita ambil tahu sebagai iktibar dan panduan.


Saya membaca nukilan BONDA NOR ini dengan hati yang bercampur baur. Anak perempuan saya baru berusia 3 tahun. Bila kes seperti ini berlaku, otak dok ligat berfikir adakah hal semacam ini boleh terjadi kepada anak sendiri?


Aina dalam kisah ini boleh saya simpulkan seperti berikut : Muda remaja, manja, berkelakuan baik, ada smartphone, bersekolah agama dan bertudung labuh. Siapa sangka remaja seperti ini boleh mengirim gambar dan video lucah kepada teman lelakinya. Kenapa semua ini boleh terjadi?

Bonda Nor menulis, “Kenapa boleh jadi macam ni?!” Dia geleng. Tunduk. Katanya, dia sendiri tak tahu kenapa dia lakukan seperti itu. Aduhai… anak gadis ini sedang keliru mengendalikan nafsu!”

Tuan Puan yang sedang membaca post ini, izinkan saya highlightkan ayat yang ini : “DIA SENDIRI (AINA) TAK TAHU KENAPA DIA LAKUKAN SEPERTI ITU.”

Berdasarkan pengalaman saya bersama remaja, Aina berkemungkinan besar jadi mangsa Sex Grooming teman lelaki. Inilah ‘teknik’ popular yang selalu dilakukan ramai lelaki di alam maya.

Mana-mana lelaki, baik remaja atau sudah dewasa, mereka akan menjadikan kanak-kanak atau remaja perempuan atau lelaki sebagai sasaran.

Mereka akan mengajar kanak-kanak itu secara berperingkat. Awalnya hanya perbualan biasa; “Dah makan ke belum?” atau “Awak sihat ke?” Sehinggalah mereka akan memuji-muji kanak-kanak perempuan itu.

Cantiklah awak.” Kemudian pergi ke fasa lain, “Comelnya awak ni, mesti lagi cantik kalau tak pakai tudung.” Ketika proses ini berlaku, kanak-kanak perempuan akan ikut saja. Tiada syak wasangka.

Kemudian, peringkat berikutnya; “Cantiknya awak tak pakai tudung, mesti lagi cantik kalau awak hantar gambar pakai tuala mandi. Tengok body awak cantiknya la hai.”

Bayangkan jika anak itu tidak pernah dipuji bapa atau abangnya, sudah pasti pujian yang diperoleh itu akan membuatkan dia rasa dihargai dan disayangi.

Jika sudah sampai ke tahap itu, pemangsa akan up lagi, “Mesti awak cantik kalau tak pakai bajukan?” Disebabkan berlaku secara berperingkat, maka anak itu tidak akan sedar yang dirinya sudah ‘disihir’ lelaki berkenaan.

Kenapa ada lelaki seperti ini? Saya pecahkan kepada 2 kategori. Spesies pertama, remaja lelaki. Rata-rata yang groom sex pasangan kekasihnya atau rakan perempuannya selepas berpengalaman menonton video lucah.

Video lucah ini menjadi pendorong untuk dia melakukan sexting (mesej lucah), video sex (WhatsApp video call, Duo dan lain-lain) hinggalah menghantar gambar zakar sendiri. Remaja lelaki seperti itu juga perlu diselamatkan. Bukan sekadar dihukum, bahkan perlu disedarkan apa yang dia buat itu salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Baik, spesies kedua pula ialah lelaki dewasa. Mereka ada kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak. Pedofilia gelarannya. Ini lebih berbahaya. Lagi banyak usia, lagi licik teknik digunakan. Tidak mustahil anak perempuan sanggup bertemu muka di luar bertemu individu jahat itu. Tuan Puan pergi ke YouTube dan carilah video terbitan R Age berjudul Predators In My Phone.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Mari saya senaraikan satu persatu:

1. Hadkan masa bersosial anak-anak di media sosial. Boleh rujuk posting Bonda Nor ini. Pautan saya sertakan di bawah posting.

2. Ibu bapa perlu jadi guru pertama bercerita perihal seks kepada anak-anak. Jangan malu tidak bertempat. Komunikasi ini perlulah berperingkat hingga anak-anak menghargai tubuh badan dikurniakan Tuhan.

3. Jika ada anak lelaki, tolong nasihatkan mereka jaga maruah diri, jangan mainkan perasaan wanita, jadi lelaki bertanggungjawab, jangan jadikan perempuan simbol seks semata-mata, jangan tengok pornografi dan berkaitan.

4. Bagi anak perempuan, bapa-bapa pujilah mereka selalu. Mereka dahagakan pujian, pelukan dan ciuman di dahi. Jika kita lelaki mampu buat seperti itu, maka anak-anak perempuan akan menjadikan kita cinta pandang pertamanya. Maka, tinggilah sikit KPI dia dalam mencari bakal suami, tidaklah selekeh tidak bertempat.

5. Kita semua harus tahu undang-undang berhubung kanak-kanak yang digubal pertengahan tahun lalu. Apa jua aktiviti yang melibatkan grooming sex di Internet sama ada menghantar gambar dan video lucah, meminta gambar lucah, mengajar tentang seks dan berkaitan, tuan puan boleh terus buat repot polis. Ia kesalahan dan boleh dikenakan hukuman 15 tahun penjara dan 3 kali sebatan.

Saya berharap perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua. Kita sayangkan anak-anak kita. Anak orang lain pun anak-anak kita juga. Saling tegur menegur, nasihat menasihati.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda