RAMAI tidak tahu ada banyak kes bayi dan kanak-kanak terpaksa bertarung nyawa akibat asap rokok. Namun, masih tidak wujud kesedaran dan keinsafan dalam kalangan perokok.

Bahaya asap rokok bukan saja kerana asap rokok kedua (secondhand smoke), tetapi juga asap rokok ketiga (thirdhand smoke). Ini bermakna, perokok yang tidak merokok dalam rumah pun boleh menyebabkan anaknya terdedah kepada bahaya asap rokok.

Jangankan asap rokok saja, tetapi sisa asap rokok juga mendatangkan kesan buruk kepada anak. Tanpa sedar, kita semua ialah perokok!

APA ITU ASAP ROKO KETIGA @ THIRDHAND SMOKE?

Thirdhand smoke terjadi apabila saki baki nikotin dan bahan kimia daripada rokok melekat pada permukaan barangan rumah yang kemudian membentuk sebatian toksik.

Sebatian toksik itu pula mengandungi bahan penyebab kanser yang akhirnya dihidu manusia dan sangat bahaya, terutama kanak-kanak.  Contohnya: asap yang melekat pada dinding dan baju anak.

Jadi, kita bukan saja perlu bebas asap rokok, tetapi juga persekitaran yang bebas asap rokok.


PERKARA PERLU TAHU TENTANG THIRDHAND SMOKE

1. MUNGKIN PENYEBAB KANSER

Pakar Paru-Paru di Klinik Cleveland dan Hospital Cleveland Clinic Fairview di Ohio, Amerika Syarikat (AS), Dr Humberto Choi dan pasukan penyelidik sedang cuba memahami beberapa kes kanser paru-paru membingungkan.

Kajian mendapati lebih banyak kes kanser paru-paru yang tidak berkait terus dengan merokok secara langsung. Sebab itu, penyelidik sedang mencari punca kanser paru-paru yang datang bukan daripada kalangan perokok.

2. BOLEH ROSAK DNA

Satu kajian mendapati bahawa pendedahan kepada thirdhand smoke boleh menyebabkan kerosakan DNA manusia dan kajian terhadap terhadap sel manusia juga dilakukan di makmal.  Menurut Dr Choi, kerosakan DNA adalah risiko sebenar dan boleh meningkatkan peluang penyakit kepada anak kita.

3. MEMBENTUK KARSINOGEN

Apabila merokok dalam bilik atau kereta, bahan kimia toksik seperti nikotin melekat di dinding, pakaian dan kulit. Hasil kajian diterbitkan pada 2010 mendapati bahawa apabila nikotin ini bertindak balas dengan asid nitrus di udara, ia membentuk karsinogen yang menyebabkan kanser.

4. RISIKO TINGGI BAGI KANAK-KANAK

Kanak-kanak lebih berisiko tinggi kepada thirdhand smoke kerana terdedah kepada permukaan seperti lantai dan pakaian di rumah, terutama bayi yang sering menyentuh objek dan kemudian meletakkan tangan dalam mulut, sekali gus meningkatkan pendedahan kepada bahan kimia toksik.

5. SISA THIRDHAND SMOKE SUKAR DIHAPUSKAN

Sisa thirdhand smoke sukar dihapuskan dan boleh kekal atas permukaan hingga bertahun lama. Pembersihan biasa seperti menghapuskan asap dengan kipas dan vakum tidak berkesan.

Salah satu penyelesaian yang boleh dilakukan adalah dengan menukar karpet dalam rumah, mengecat rumah atau membersihkan sistem pengudaraan dalam rumah. Bagaimanapun, penyelesaian yang terbaik adalah dengan berhenti merokok!

SUMBER: Health.ClevelandClinic.org 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda