SEBAIK saja bayi dilahirkan, doktor akan mengambil ujian G6PD pada hari pertama itu menerusi tali pusat anak itu bagi menyukat kandungan enzim dalam badan. Pada hari sama juga ibu bapa akan dimaklumkan doktor sekiranya anak mereka memiliki G6PD.

Namun, ibu bapa yang mempunyai anak dengan G6PD jangan risau. Ia bukan penyakit atau kecacatan. Lazimnya, G6PD tidak berbahaya sekiranya kita mengenali tentang pengurusan anak G6PD.

APAKAH ITU G6PD?

‘Glucose 6 Phosphate Dehydrogenase’ atau lebih dikenali sebagai G6PD, ialah kekurangan enzim yang menyebabkan sel darah merah pecah, dipanggil hemolisis apabila terdedah kepada sesuatu makanan seperti kacang buncis, ubat gegat dan ubatan yang mengandungi sulfur.

G6PD ialah sejenis enzim genetik yang terdapat dalam sel darah merah manusia. Kekurangan enzim G6PD sangat ketara dalam kalangan masyarakat Asia yang boleh diwarisi melalui keturunan dan ditentukan bahan baka dibawa kromosom X.

Kebanyakan anak yang mempunyai kekurangan enzim G6PD ialah lelaki, manakala sekiranya berlaku kepada perempuan, biasanya dia ialah pembawa.

APA KITA PERLU TAHU TENTANG G6PD?

1. BAYI G6PD AKAN MENGALAMI JAUNDIS TINGGI

Ketika peringkat bayi, anak kita akan mudah mendapat jaundis dan tahapnya boleh naik mendadak hingga boleh menyebabkan kerosakan otak.

Situasi ini berlaku disebabkan sel darah merah pengidap G6PD mudah pecah dan membolehkan bilirubin meningkat cepat. Pada tahap tertentu, bilirubin memindahkan toksin ke otak dan menyebabkan risiko terencat akal.

Jika tahap bilirubin terlalu tinggi hingga tidak dapat diterima bayi, pemindahan darah dilakukan, biasanya darah bapa bayi diambil. Tanda-tanda hemolisis pada anak boleh dilihat pada mata putih atau kulit, dan air kencing yang berwarna seperti air teh O atau Coca-Cola.

2. ELAK JAMU HERBA KETIKA PANTANG

Ibu yang mempunyai anak G6PD dilarang berpantang menggunakan jamu berasaskan herba. Sebaliknya, perlu menggunakan set berpantang lain seperti vitamin dan ubat hospital.

Kita perlu elak menggunakan ubat Herba China seperti Chuen Lin, San Chi, 13 herbs dan 12 herbs. Ketika menyusu dan berpantang, kita juga perlu memantau pemakanan kerana dikhuatiri menjadi punca kepada hemolisis anak.

3. ELAK UBAT TERTENTU

Setiap kali ke hospital atau klinik, kita perlu memberitahu doktor jika anak mengidap G6PD supaya doktor dapat berikan ubat yang sesuai. (AMARAN: Jangan beli ubat sembarangan dari famasi tanpa nasihat doktor supaya tidak terbeli ubat yang salah).

Anak juga tidak sesuai dengan ubat gegat (moth balls). Jangan guna sebarang ubat gegat dalam rumah, dan ubat nyamuk yang ada pyrethium.

Bagi tujuan kecemasan, kita boleh pakaikan gelang khas pada anak supaya boleh membantu dalam kecemasan.

Berikut senarai ubat yang perlu dielakkan:

  • Acetanilide
  • Doxorubicin
  • Furazolidene
  • Methylene Blue
  • Nalidixic acid
  • Niridazole
  • Nitrofurantoin
  • Phenozopyridine
  • Primaquine
  • Sulfamethoxazole
  • Bactrim

4. ELAK MAKANAN TERTENTU

Antara jenis makanan yang perlu dielakkan untuk anak ialah kacang parang, semua produk soya, makanan perisa mentol dan makanan dengan pewarna tiruan. Namun, ada segelintir anak tidak alah kepada beberapa makanan seperti disenaraikan di atas.


APA AKAN TERJADI JIKA LANGGAR PANTANG?

Hemolisis berlaku apabila enzim G6PD berkurangan dan tidak dapat mengekalkan kestabilan sel darah merah daripada pecah. Apabila bayi G6PD terdedah kepada bahan dengan ciri pengoksidaan, ia akan meningkatkan paras molekul oksigen reaktif yang menyebabkan sel darah merah musnah lebih cepat berbanding penghasilannya.

Sel darah merah yang berkurangan akan menimbulkan simptom hemolisis dan tanda hemolitik anemia.

Antara simptom hemolisis ialah:

  • Muka pucat
  • Tubuh tidak bermaya
  • Pening
  • Jantung berdegup laju
  • Sukar bernafas
  • Sakit dada
  • Kencing berdarah atau berwarna teh pekat.

Jika anak mempunyai symptom hemolisis, bawa segera dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Penyakit G6PD jarang membawa maut dan rawatan bagi kes hemolisis teruk adalah pemindahan darah kepada pesakit.

BOLEHKAH G6PD DIUBATI?

G6PD tiada penawar. Langkah terbaik adalah mengelakkan makanan dan ubat yang boleh menyebabkan berlakunya hemolisis.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda