RAMAI keluarga ada simpan mi segera dalam rak dapur dan sentiasa jadi kegemaran ramai, tidak kira dewasa atau kanak-kanak. Sayangnya, makanan ini termasuk dalam kategori makanan tidak sihat kerana mengandungi garam, bahan pengawet dan pewarna.

Tahukah anda, semua bahan-bahan tersebut memberi kesan buruk terhadap kesihatan si pemakannya, terutama kanak-kanak. Cuba baca artikel ini dulu sebelum berikan anak makan mi segera.

Apakah kesan buruk itu?

1. ANAK JADI HIPERAKTIF

Mi segera ialah salah satu makanan segera yang mengandungi pelbagai jenis zat aditif daripada pengawet hingga pewarna. Kajian membuktikan mengurangkan zat aditif daripada makanan segera dapat mengurangkan tingkah laku hiperaktif kanak-kanak 3 tahun.

Pakar alergi pediatrik dari Amerika Syarikat (AS), Benjamin Feingold pernah memperkenalkan diet yang mengurangkan lebih 300 jenis zat aditif dalam usaha mengawal risiko hiperaktif.

2. RISIKO SERANGAN JANTUNG DAN STROK

Mi segera dan makanan segera lain mengandungi lemak tinggi. Walaupun lemak baik untuk membentuk jaringan saraf dan hormon kanak-kanak, tetapi lemak berlebihan akan mengundang pelbagai masalah lain seperti berat badan berlebihan dan peningkatan kadar lemak jahat dalam darah.

Kolesterol tinggi pula ada kaitan dengan masalah jantung. Ini berlaku kerana kandungan kolesterol tinggi berpotensi menghalang aliran darah ke jantung hingga menyebabkan jantung tidak mendapat cukup darah yang kaya dengan oksigen.

Ingat, kanak-kanak juga berpotensi mendapat serangan jantung dan strok.

3. DAPAT TEKANAN DARAH TINGGI

Salah satu bahaya mi segera ialah kadar garam tinggi yang berisiko menyebabkan tekanan darah tinggi. Ya, bukan orang dewasa saja yang berisiko mengidap tekanan darah tinggi.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di AS, sebanyak 1 daripada 6 kanak-kanak berusia 8-17 tahun memiliki tekanan darah tinggi. Walaupun kesannya tidak dapat dilihat cepat, tetapi tekanan darah tinggi ialah salah satu faktor risiko penyakit jantung dan strok.


KALAU ANAK TETAP MAHU MAKAN MI SEGERA, APA PERLU BUAT?

Apapun diingatkan, cadangan di bawah ini tetap tidak dapat mengetepikan keburukan mi segera, apatah lagi jika diambil secara rutin. Ingat, makanan terbaik ialah makanan segar tanpa sebarang bahan pengawet dan perasa artifisial.

1. TAMBAH SAYUR-SAYURAN

Tambahkan sayur-sayuran dalam hidangan mi segera anak. Hidangan nampak lebih menyelerakan.

2. KURANGKAN BAHAN PERENCAH

Kurangkan penggunaan bahan perencah disediakan. Jika boleh hanya guna separuh bagi satu hidangan.

3. MASAK TANPA PERENCAH

Kita juga boleh variasikan hidangan mi segera tanpa menggunakan bahan perencah disediakan. Cuba jadi lebih kreatif dengan cipta perasa sendiri yang menyelerakan.

4. TAMBAH PROTEIN

Bagi memastikan mi segera yang dimakan mempunyai cukup protein, tambahkan daging, ayam, dan ikan dalam hidangan.

Bagaimanapun, jika boleh cuba elak berikan anak makan mi segera. Ini kerana apabila sudah terbiasa, memang susah mahu menghalang!

SUMBER: HelloSehat.Com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda