PERNAH atau tidak anda dengar tentang kehamilan anggur? Kehamilan anggur sangat jarang berlaku dengan kadar statistik, seorang daripada 1,000 wanita di Malaysia. Kehamilan jenis ini juga sukar dikenal pasti kerana ia tetap menunjukkan tanda-tanda awal kehamilan biasa.

Berikut adalah simptom biasa yang dikenal pasti sekiranya kita mengalami Kehamilan Anggur atau Molar Pregnancy.

“Seorang wanita mengandung berusia 29 tahun mengandung kali ke dua dimasukkan ke hospital kerana mengalami keguguran dan tumpah darah yang serius ketika usia kandungan 10 minggu. Sebelum itu, si ibu sering mengadu sakit pada perut dan rasa loya luar biasa. Selain daripada darah tumpah, ada juga banyak tisu seperti anggur keluar bersama darah daripada vagina,” 

APA ITU KEHAMILAN ANGGUR?

Kehamilan anggur adalah kehamilan yang tidak menjadi di mana uri dan janin tidak membentuk dengan betul dan bayi tidak berkembang, sebaliknya menjadi tisu berupa anggur.

Pada peringkat awal, wanita yang mengalami kandungan anggur akan menunjukkan tanda kehamilan yang menonjol seperti muntah teruk dan akhirnya akan mengalami pendarahan dan gejala yang tidak kena pada kehamilannya.

Kehamilan anggur boleh menjejaskan kesihatan dan mempunyai implikasi jangka masa panjang yang serius jika tidak mendapat rawatan segera dan  pemantauan berkala.

BAGAIMANA KEHAMILAN ANGGUR TERJADI

Kehamilan molar boleh berlaku apabila terdapat masalah tertentu dengan maklumat genetik (kromosom) dalam telur tersenyawa. Dalam kehamilan biasa, telur disenyawakan mengandungi 23 kromosom daripada bapa dan 23 daripada ibu. Tetapi, dalam kehamilan anggur, terdapat kelainan di mana dua sperma mensenyawakan satu telur (ovum) yang sama.

SIMPTOM KEHAMILAN ANGGUR

Pada peringkat awal kehamilan anggur akan nampak seperti kehamilan biasa. Berikut adalah tanda dan gejala kehamilan anggur.

  1. Pendarahan berwarna merah terang atau coklat secara berterusan atau terputus. Pendarahan ini boleh bermula seawal enam minggu kehamilan atau selewat 12 minggu.
  2. Keluar tisu seperti gugusan anggur bersama darah melalui vagina.
  3. Loya dan muntah yang teruk.
  4. Kekejangan perut kerana rahim boleh berkembang lebih cepat daripada biasa.
  5. Tekanan darah tinggi yang serius semasa mengandung sebelum kandungan mencapai 20 minggu.
  6. Pucat kerana kurang darah.
  7. Syndrom Hyperthyroid: berpeluh, menggigil, panas badan dan berdebar
  8. Batuk darah semasa mengandung.
  9. Imbasan Ultrasound menunjukkan tiada janin dalam kandungan dan rahim lebih besar daripada umur kandungan.
  10. Tahap hormon  HCG jauh lebih tinggi daripada biasa.

Jika kita mengalami gejala atau mempunyai tanda seperti diatas disaran untuk berjumpa doktor O&G dengan segera.

RAWATAN KEHAMILAN ANGGUR

Sebaik disahkan kehamilan anggur, doktor akan membuat ujian darah dan imbasan yang lanjut untuk menilai tahap keadaan dan komplikasi kandungan anggur kita.

Prosedur ‘Suction Evacuation’ akan dilakukan untuk mengeluarkan kandungan molar dari rahim. Prosedur ini memerlukan bius penuh untuk dijalankan. Sebilangan doktor akan mengulangi prosedur ini selepas 2 minggu kerana tisu kandungan anggur tidak dapat dikeluarkan secara semua pada satu masa tetapi berperingkat.

KOMPLIKASI KEHAMILAN ANGGUR

  • Perdarahan yang serius
  • Rahim pecah akibat invasi tisu anggur
  • Invasive Mole: Tisu anggur menusuk masuk ke dalam dinding rahim
  • Kegagalan sistem pembekuan darah sistemik
  • Jangkitan yang boleh membawa kepada kejutan
  • Gestational Trophobastic Disease: Kehamilan anggur bertukar menjadi satu penyakit lebih serius yang boleh merebak ke organ lain terutamanya ke hati dan paru-paru melalui sebaran tisu anggur dari saluran darah
  • Choriocarcinoma: Kehamilan anggur bertukar menjadi kanser dan boleh merebak ke hati, paru-paru dan otak.

SUMBER: DrSharifahBlogSpot

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda