KITA dulu memang kurang didedahkan dengan pendidikan seksual. Namun hari ini, keadaan banyak berubah sama ada dari segi kesan sosial, pergaulan dan pengaruh sekeliling. Buktinya, banyak kes dan insiden mengenai serangan, gangguan dan penderaan seksual dilaporkan saban masa membabitkan mangsa yang bukan saja dewasa, tetapi juga anak kecil tidak berdosa.

Persoalannya, perlukah kanak-kanak didedahkan dengan pendidikan seks? Apakah jenis pendidikan yang patut diberikan dan bagaimanakah caranya? Kami akan ulas lebih lanjut dalam artikel di bawah ini.

APAKAH GANGGUAN SEKSUAL?

Gangguan seksual ialah perilaku individu, iaitu pemangsa yang memaksa atau cuba mempengaruhi dan mengugut mangsa, sama ada untuk melakukan hubungan seksual atau gangguan seksual dalam pelbagai cara seperti memasukkan objek (yang bukan semestinya anggota sulit) ke dalam mulut, tubuh, dubur dan anggota fizikal lain.

BAGAIMANA DIDIK ANAK TENTANG GANGGUAN SEKSUAL?

1. AJAR ANAK HORMATI TUBUH DAN ORANG LAIN

Ajar anak, tiada sesiapa yang boleh memegang atau melihat anggota sulitnya kecuali ibu dan bapa. Mungkin pengecualian kepada doktor atau pengasuh. Jelaskan juga kepada anak, dia juga tidak boleh memegang atau melihat anggota sulit orang lain.

2. AJAR BEZAKAN SENTUHAN BAIK DAN JAHAT

Ajar anak, sekiranya disentuh seseorang hingga buatkan dia tidak selesa, katakan ‘TIDAK’ dan minta individu itu berhenti. Beritahu anak, jika ada orang lain menyentuh dirinya dengan cara tidak baik, itu salah.

Minta juga anak supaya segera maklumkan kepada sesiapa saja yang dipercayainya tentang salah laku tersebut. Jangan diam!

3. AJAR, TIDAK SEMUA RAHSIA PERLU DISIMPAN!

Beritahu anak, jika seseorang meminta dia menyimpan rahsia tidak baik, rahsia itu mesti diberitahu kepada kita. Jelaskan kepada anak, pelaku seksual biasanya akan sering bertindak memberikan hadiah atau membuat ugutan supaya rahsia mereka tidak terbongkar.

4. DIDIK ANAK SENTIASA BERHATI-HATI

Sentiasa ingatkan anak supaya tidak mendekati orang tidak dikenali walaupun diberikan habuan berbentu hadiah atau sekadar bertanyakan maklumat. Pastikan anak tidak memberi sebarang maklumat peribadi tanpa pengetahuan dan kebenaran kita.

Paling penting, didik anak supaya tidak mendedahkan sebarang gambar kepada mereka yang tidak dikenali di media sosial atau di mana-mana saja. Beritahu mereka tentang bahaya tindakan itu.


Selain mendidik anak tentang bagaimana mengelak gangguan seksual, ibu bapa juga perlu peka dengan keadaan anak supaya mudah mengenal pasti sebarang tanda pelik atau janggal yang menimpanya.

TANDA-TANDA GANGGUAN SEKSUAL

1. GANGGUAN FIZIKAL

  • Sukar berjalan atau duduk
  • Pakaian dalam berdarah, koyak atau kotor
  • Sakit, cedera atau gatal pada kelamin
  • Kerap buang air kecil atau dijangkiti yis

2. GANGGUAN BUKAN FIZIKAL

  • Menjauhkan diri daripada orang lain
  • Menunjukkan tanda kemurungan, keresahan atau takut
  • Meluahkan perasaan ingin membunuh diri
  • Menyakiti diri sendiri
  • Perubahan mengejut dalam pencapaian sekolah
  • Menunjukkan tingkah laku regresif (contoh: menghisap ibu jari)
  • Lari rumah atau sekolah
  • Tiba-tiba bersikap menjaga atau terlalu melindungi (overprotective) saudaranya.
  • Kerap bermimpi ngeri atau terkencing malam yang tidak normal
  • Melakukan tingkah laku seks yang tidak wajar

BUAT LAPORAN POLIS JIKA KESAN TANDA GANGGUAN

Kita digalakkan membuat laporan polis supaya pegawai perubatan segera dapat melakukan pemeriksaan fizikal, terutamanya kes baru yang disyaki akibat penderaan seksual.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda