KUDIS Buta atau lebih dikenali sebagai scabies adalah sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit dan menyebabkan rasa kegatalan keterlaluan pada permukaan kulit.

Kudis buta sebenarnya berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama yang dikenali
sebagai Sarcoptes Scabiei. Selain kanak-kanak, kudis buta juga boleh menjangkiti orang dewasa.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang kudis buta, berikut adalah penjelasan daripada Dr Aimi Jaafar yang dipetik daripada Facebook, Klinik Taqwa Bangi tentang punca, cara mengelakkan jangkitan dan rawatan yang sewajarnya dilakukan apabila terkena jangkitan kudis buta ini.

***Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Harap maklum.

BAGAIMANA BOLEH BERJANGKIT

Scabies (Sarcoptes scabiei var hominis) adalah satu hidupan yang apabila dijangkiti akan hidup, bertelur, menjelajah dan membuat rumah di bawah kulit manusia.

Penularan kudis buta adalah melalui sentuhan, yang berulang-ulang dan lama dengan seseorang yang mempunyai scabies. Sentuhan yang sekejap seperti bersalaman, jarang akan menyebabkan jangkitan. Kadangkala boleh juga berlaku penularan tidak langsung seperti dari perkongsian tuala, tempat tidur yang sama dan sofa. Selalunya jangkitan ini terjadi di tempat yang ramai orang, dan sentuhan badan yang dekat, seperti di asrama, rumah orang tua, nursery dan penjara.

TANDA-TANDA JANGKITAN SCABIES

  • Gatal-gatal terutamanya pada waktu malam
  • Ruam berbentuk jerawat tapi berair
  • Biasa jangkitan di pergelangan tangan, cela jari kaki dan tangan, ketiak, pinggang
  • Kadang-kala ada jalan disebabkan scabies betina berjalan dan bertelur di bawah kulit
  • Bagi yang mempunyai sistem pertahanan lebih rendah seperti bayi, orang tua, atau yang mempunyai penyakit kronik, jangkitan boleh jadi lebih teruk dan rumit.

BERAPA LAMA SCABIES BOLEH HIDUP PADA BADAN MANUSIA?

1 -2 bulan atau lebih. Scabies boleh hidup di luar badan manusia, sehingga 3 hari. Ia akan mati jika terdedah dengan suhu lebih dari 50 darjah selsius selama 10 minit atau lebih. Namun, banyak juga kes jangkitan scabies didapat daripada tempat tidur hotel, carpet, dan tempat umum yang lain.

BOLEHKAN SCABIS DARI HAIWAN BERPINDAH PADA MANUSIA?

Secara hakikatnya, scabies yang hidup pada haiwan, tidak akan hidup dengan subur pada kulit manusia, dan akan mati sendiri. Namun ia boleh cuba untuk membiak, dan keadaan ini akan menyebabkan keadaan yang tidak selesa dan sangat menggangu pada kulit manusia.

BAGAIMANA MERAWAT SCABIES

1. UBAT SAPU

Scabies HARUS dirawat. Caranya adalah dengan mematikan hidupan ini. Di klinik atau hospital, doktor boleh memberikan ubat membunuh scabies ini, selalunya dalam bentuk sapuan (scabicide). Kebiasannya ia akan mati dalam masa 2 hari penggunaan.

Namun, ia boleh jadi balik dalam masa 7–10 hari, kemungkinan daripada telur scabies yang tidak mati dan menetas untuk meneruskan jangkitan. Boleh sapu lagi dalam masa seminggu untuk matikan telur yang baru menetas ini. Pilihan lain adalah sapuan yang berunsurkan sulphur (belerang). Lebih natural, tapi mungkin lebih lambat untuk betul-betul habis.

2. BASUH DAN PANASKAN BARANGAN YANG BERPOTENSI JANGKITAN

Selain itu, pakaian, tempat tidur, sofa dan karpet, harus dibasuh dan dipanaskan. Mana yang boleh, panaskan dengan suhu > 50 darjah selsius, masukkan dalam dryer atau kumpul dalam beg plastik hitam dan jemur di tengah panas. Boleh gunakan steamer untuk wapkan sofa, tilam atau karpet.

3. GUNA PENCUCI KHAS

Untuk pencuci, cari yang ada sulphur atau khas untuk bunuh kuman ini. Bagi yang mempunyai scabies yang berkeruping (Norwegian scabies), ia akan lebih berjangkit dari scabies yang biasa. Jadi bagi satu rumah atau bilik yang mempunyai sentuhan dari pesakit ini harus dibersihkan sebersih mungkin.

4. MANDIAN MENGANDUNGI SALICYLIC ACID, SULPHUR DAN SCABACIDE

Bagi mandian, cari yang ada salicylic acid, sulphur atau scabacide yang selamat. Boleh diamalkan oleh semua di dalam rumah yang sama.

5. JANGAN GARU

Elakkan menggaru. Dengan menggaru boleh jangkitkan hidupan ini pada orang lain.

6. UBAT KURANGKAN GATAL

Untuk kawal gatal dan bunuh kuman serba sedikit, boleh sapu dengan minyak atau sapuan yang ada tea tree oil, neem, rosemary. Selain itu, boleh sapu tiger balm untuk kurangkan gatal.

7. PEMAKANAN

Mungkin doktor biasa tidak sentuh mengenai pemakanan, tapi saya akan galakkan pemakanan yang sihat dan banyak natural anti-parasites supaya badan akan secara semulajadi menjadi ‘ladang’ yang tidak subur untuk perkembangbiakan hidupan ini. Contoh makanan yang digalakkan; bawang putih, halia, bawang merah, betik dan bijinya, minyak kelapa dara. Badan juga akan jadi lebih sihat dan semangat untuk lawan jangkitan. Kurangkan makanan tidak sihat seperti makanan berproses, bergula dan banyak tepung.

SUMBER: Klinik Taqwa Bangi

1 KOMEN

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda