APABILA bercerita tentang makan, ibu bapa perlu tahu kemahiran yang perlu ada bagi memudahkan anak makan dengan sempurna. Penting untuk ibu bapa melihat perkembangan mulut, tangan dan badan anak dalam memperkenalkan makanan dari segi tekstur, jenis dan cara pemberian makanan. Organ yang terlibat dalam kemahiran ini adalah bahagian oral (mulut, bibir, lidah dan rahang), tangan serta jari, kepala dan leher.

Pemberian makanan pelengkap mengikut umur bayi:-

0 – 6 BULAN: SUSU IBU SAHAJA
Pemberian susu formula untuk kes-kes tertentu dan telah mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar.

6 – 8 BULAN: MAKANAN SEPARA PEPEJAL
Makanan di sediakan dalam bentuk puri, kisar dan lecek.

8 – 11 BULAN: MAKANAN DICINCANG, DIPOTONG DAN DISEDIAKAN DALAM BENTUK KECIL
Bagi memudahkan anak memegang dan menyuap makanan sendiri.

12 BULAN DAN KE ATAS: MEMPERKENALKAN MAKANAN YANG DI MAKAN SEISI KELUARGA
Pastikan anak daripada tidak tercekik dan tersedak kerana kemahiran mengunyah belum matang.


Jadual di atas menerangkan jenis dan cara pemberian makanan serta tekstur yang perlu dikenalkan setelah bayi berumur 6 bulan. Namun demikian, kemahiran untuk makan perlu dipantau seawal bayi lahir sehingga anak dapat makan dengan sempurna.

Kemahiran untuk makan terdiri daripada kemahiran asas dan kemahiran yang spesifik untuk makan. Setiap bayi dan kanak-kanak akan berbeza umur untuk kemahiran ini berkembang, namun ibu bapa perlu memastikan agar umur anak tidak terlalu jauh daripada perkembangan normal.

Kemahiran Asas – Terdiri Daripada Kemahiran Motor Kasar Dan Halus Serta Kemahiran Kognitif.

Kemahiran asas untuk makan ini terdiri daripada kemahiran motor kasar, halus serta kognitif. Ia penting dalam membentuk keupayaan untuk makan dan minum bagi bayi dan kanak-kanak.

1. Kemahiran memegang objek dan bawa ke mulut (0 – 3 bulan)

Kemahiran ini bermula dengan membawa masuk tangan ke dalam mulut dan lama – kelamaan mencapai objek dan membawa masuk ke dalam mulut. Kemahiran ini penting untuk merangsang bahagian oral anak supaya tidak akan wujud perasaan takut untuk masukkan makanan ke dalam mulut. Namun, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak daripada mengutip objek atau benda yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

0 – 2 bulan
Bayi akan membawa tangan ke dalam mulut
Mulut akan terbuka dan bersedia untuk menghisap

2 bulan – 3 bulan
Apabila diberi objek lembut, bayi akan membawa masuk ke dalam mulut
Menggunakan lidah dan mulut untuk eksplorasi objek

4 bulan – 6 bulan
Bayi belajar untuk mencapai dan memegang objek di sekeliling
Menggunakan tapak tangan (palmar grasp) dan bahagian oral untuk eksplorasi objek

8 bulan – 12 bulan
Bayi menggunakan kemahiran dua jari untuk memegang objek (pincer grasp) dan upaya untuk menukar objek dari satu tangan ke tangan lain

Kemahiran ini penting untuk anak menyuap makanan sendiri apabila makanan yang dipotong atau dicincang kecil diperkenalkan.

2. Kemahiran duduk dengan bantuan atau tanpa bantuan (6 bulan – 9 bulan)

Kemahiran ini penting dalam mengekalkan posisi bayi ketika makan. Oleh itu, kepala dan leher bayi perlu kuat bagi mengelakkan daripada tercekik dan tersedak. Kebiasaannya bayi berumur 6 bulan masih perlukan bantuan ibu bapa untuk duduk, jangan risau anak akan belajar untuk duduk tanpa bantuan lama-kelamaan.

3. Kemahiran menunjuk kepada sesuatu objek (9 bulan – 14 bulan)

Kemahiran menunjuk merupakan salah satu jenis komunikasi dan penting untuk anak menunjuk dan meminta makanan/minuman yang diingini. Kemahiran ini bermula dengan menunjuk objek yang mereka inginkan dan lama kelamaan menunjuk kepada makanan yang mereka tahu dan suka.


Kemahiran Spesifik Untuk Makan – Perkembangan Oral Motor

Perkembangan oral motor dari segi fungsi lidah, bibir, gigi dan rahang merupakan kemahiran spesifik untuk makan yang perlu ada pada bayi dan kanak-kanak. Kemahiran ini penting kerana bayi dan kanak-kanak akan melalui perubahan diet makanan daripada pemberian susu sahaja kepada pengenalan makanan pelengkap dan seterusnya makanan seisi keluarga.

1. REFLEKS SEMULAJADI SEMASA BAYI (0 – 4 BULAN)

A. ROOTING

Bayi akan pusing ke arah yang disentuh dan membuka mulut apabila bahagian oral (tepi mulut, bibir, pipi dan dagu) mereka disentuh.
Kepentingan: Supaya bayi dapat mencari sumber makanan (puting ibu atau botol susu)

B. MENGHISAP DAN MENELAN

Pergerakan menghisap akan berlaku apabila bayi membuka mulut dan seterusnya lidah akan menolak ke belakang untuk menelan apabila cecair (susu) masuk ke dalam mulut
Kepentingan: Memastikan proses penyusuan dengan selamat.

C. GAG

Apabila sesuatu objek atau makanan kecil diletakkan ke dalam mulut, ia akan dikeluarkan semula oleh lidah. Refleks ini merupakan salah satu sebab pengenalan kepada makanan pelengkap dilambatkan sehingga bayi berumur 6 bulan. Refleks ini akan hilang ketika bayi berumur lebih kurang 4 bulan.
Kepentingan: melindungi bayi dari menelan makanan yang tidak sesuai dan objek yang boleh menyebabkan tercekik.

2. PERGERAKAN DAN KAWALAN LIDAH

Apabila bayi lahir, pergerakan lidah mereka terhad iaitu bergerak ke depan–belakang dan atas–bawah. Namun, mereka akan belajar untuk menggerakkan lidah dari sisi–sisi apabila mula memasukkan objek dan mainan ke dalam mulut. Perkara ini penting apabila makanan pelengkap diperkenalkan dan memerlukan kawalan dan pergerakan lidah bagi membolehkan makanan dicerna dengan baik.

3. MENGUNYAH DAN MENGIGIT

Kemahiran mengunyah dan menggigit memerlukan kombinasi pergerakan bibir, lidah, gigi dan rahang. Walaupun gigi kanak-kanak belum tumbuh, mereka masih boleh mengunyah dengan gusi kerana gusi juga keras dan mampu untuk mengunyah tekstur makanan yang lembut. Kemahiran mengunyah dan menggigit akan lebih berkesan apabila ibu bapa memperkenalkan pelbagai tekstur makanan buat anak. Oleh itu, pantau dan lihat kemahiran anak dan pelbagaikan jenis makanan dalam diet harian mereka!

Kesimpulannya, ibu bapa perlu peka dan pantau kemahiran anak agar ia seiring dengan perkembangan normal. Jangan risau jika anak menolak makanan buat kali pertama kerana ia merupakan perkara baru bagi mereka. Teruskan memberi dan anak akan belajar untuk mendapatkan kemahiran tersebut.

Semoga berjaya buat ibu bapa!

SUMBER: Aishah Kassim

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda