RAMAI ibu bapa mengalami masalah anak berusia 2 tahun tidak mahu makan dan hanya minum susu. Situasi ini memang menbebankan dan menjadi antara salah satu cabaran terbesar ibu bapa hari ini.

Walaupun anda sudah melakukan bermacam-macam cara, namun, anak tetap mahu minum susu sahaja. Jadi, apa kata baca tip dan ciri-ciri ini dahulu untuk kenal pasti sama ada anak anda sudah terlebih minum susu!

Kami juga kongsikan cara menangani masalah ini untuk panduan ibu bapa semua di luar sana yang dipetik daripada Facebook, Klinik Taqwa Bangi. Semoga bermanfaat!

BACA>>> Terlebih Minum Susu Beri Kesan Buruk Terhadap Anak?

CIRI-CIRI ANAK (LEBIH 2 TAHUN) MINUM SUSU TERLALU BANYAK (KEBIASAANNYA)

  • Minum susu lebih 3 botol sehari untuk anak lebih 2 tahun. Kalau sudah 3 atau 4 tahun itu lagilah kena kurang susunya. Paling pun 1-2 botol sehari.
  • Bila lapar minta susu, sudah kenyang susu, tidak mahu makan.
  • Selalu berhingus atau batuk berkahak.
  • Terlalu memilih makanan, hujung-hujungnya kena beri susu juga.
  • Sembelit.
  • Kulit yang kering dan gatal.

TIP DAN CARA MENANGANI

1. Berikan kata dua pada anak. Makan dulu baru susu. Selagi tidak makan, tidak ada susu.

2. Ibu bapa harus sepakat dan hati kental. Jangan ada yang mengalah bila tengok anak menangis dan protes tidak mahu makan.

3. Bila anak sudah rasa sendiri yang dia lapar kalau tidak makan dan susu tidak ada sebagai pengganti makanan, anak akan belajar untuk makan.

4. Berikan 2 menu makanan dan berikan anak kuasa untuk memilih. Contohnya, “Abang nak makan nasi ayam atau bihun sup malam ni?”. Jangan tanya terlalu umum seperti “Abang nak makan apa malam ni?”, nanti dia jawab nak aiskrim pula.

5. Pilih susu segar, penuh krim atau susu tanpa gula. Anak tidak perlukan lagi susu formula setelah 2 tahun ke atas. Nutrisi akan diperoleh dari pemakanan yang sihat.

6. Ajar anak minum susu dalam cawan. Kalau anak bergantung pada botol untuk tidur, berikan hanya untuk tidur. Boleh kurangkan jumlah sedikit demi sedikit.

7. Berikan masa yang spesifik di mana anak seharusnya berhenti botol. Contohnya dari awal harus katakan pada anak “Abang bila dah masuk 3 tahun, tak perlu susu botol dah. Abang dah besar, boleh minum dari cawan saja macam ibu”. Selalu ingatkan, sampailah pada hari tersebut, harus terus berhenti. Belilah cawan dengan design paling disukainya sebagai motivasi. Kalau anak belum bersedia, boleh anjakkan tapi berikan syarat seperti kurangkan jumlah atau jarakkan selang sehari. Sehingga anak boleh terima dan rasakan sebenarnya botol itu tidak penting.

8. Tapi jangan lah pula gantikan susu dengan makanan instant seperti roti, biskut dan jajan. Lagi kurang nutrisi anak nanti. Kalau susah nak sediakan makanan khas untuk anak, berikan apa yang kita makan. Biasanya anak-anak akan lebih cepat lapar berbanding kita yang dewasa, sentiasa sediakan jajan sihat dan buah-buahan untuk dikunyah.

BACA>>> Selepas Minum Susu Anak Mengadu Sakit Perut, Rupanya Itu Tanda Awal Overdose Susu Formula

Rasanya sudah banyak info mengenai susu. Yang penting ibu bapa harus ingat, kita nak besarkan anak-anak jadi pemakan makanan sihat dan seterusnya jadi manusia yang sihat. Bukan peminum susu sehingga besar, dengan masalah kesihatan yang berulang-ulang.

Targetlah setelah 2 tahun, berhenti susu. Kalau masih perlukan susu atas sebab-sebab tertentu, pastikan MAKANAN DIDAHULUKAN.

Setuju ke tak?

#draimibebel

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda