“GIGI anak saya yang umur 3 tahun banyak rosak sebab suka sangat minum susu botol sambil tidur.”  

Walaupun alasan di atas yang menyalahkan tabiat anak sebagai punca masalah gigi rosak boleh dianggap sebagai sudah lapuk, tetapi kekal menjadi bualan dan kepercayaan ramai ibu bapa. Persoalannya, betulkah anggapan itu?

Apapun, apa yang perlu kita faham tentang masalah utama kerosakan gigi ialah kebersihan dan cara penjagaan gigi.

Mari kita baca perkongsian Dr Izaza Mohd Zan tentang salah penjagaan gigi sebagai punca kerosakan gigi kanak-kanak.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan isi kandungan asal.


“Gigi anak-anak rosak atau bertukar jadi hitam atas alasan menyusu botol atau ‘mengepeng’ (ngempeng) malam-malam bagi saya sudah jadi MITOS dan bukan lagi fakta.

#Jangan kecam, ini pemerhatian dan eksperimen daripada pengalaman sendiri dan pengalaman mak, ibu, atau mummy yang ada anak menyusu botol, tetapi gigi anak masih superb!

 

Sebab, punca sebenar gigi rosak atau berlubang ialah disebabkan cara memberus gigi yang salah dan tidak memberus gigi di kawasan yang ada banyak PLAK.

Tahu tak punca sebenar gigi rosak ialah plak? Jadi, selagi plak tidak dibersihkan daripada permukaan gigi, gigi memang ada potensi tinggi untuk rosak.

Sebab, dalam plak ada BAKTERIA yang banyak. Kalau ‘askar-askar’ ini dapat makanan, contoh susu yang melekat pada gigi, lebih 24 jam gigi memang akan rosak dan berlubang.

Sebab, apabila bakteria bergabung dengan makanan, ia akan menghasilkan ASID. Asid inilah yang membuatkan gigi berlubang, sebab asid akan mengakis permukaan gigi dan gigi akan berlubang.

Jadi, nampak tak punca utama gigi rosak? Plak. Bukan susu botol, susu ibu atau susu lembu. Kalau tidak ada plak, gigi tidak akan rosak atau berlubang.

Macam mana hendak hilangkan plak? Kena berus gigi bersih-bersih. Segala celah gigi atas bawah tepi kiri kanan gigi dan gusi wajib dibersihkan.

 

So, jangan salahkan susu? Hanya betulkan cara memberus gigi anak-anak sejak awal. Mak ayah yang bersalah kalau gigi anak rosak sebab tidak tolong beruskan gigi anak!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda