RAMAI ibu bapa cepat bimbang kalau anak lambat bercakap. Namun, situasi lambat yang sepatutnya dirisaukan hanya boleh dikenal pasti selepas usia 2 tahun.

Jadi, apa kata kita baca perkongsian Pengasas Mofazz Readerz, Azlina Nawi di laman Facebook mengenai perkembangan bahasa bayi seawal 3 bulan hingga kanak-kanak berusia 5 tahun normal.


BAGAIMANA KANAK-KANAK BELAJAR BERCAKAP?

Semakin hari ramai ibu bapa mengadu anak lewat bercakap. Lewat bercakap ini akan mempengaruhi kemahiran membaca dan menulis nanti.

Tidak percaya?

Kami ada pelajar yang mempunyai masalah ini. Memang agak mencabar juga nak mengajar mereka membaca seperti kanak-kanak lain. Perlu perhatian dan intensif yang lebih. Ada yang datang dengan bahasa sukar difahami. Rupanya anak ini baru boleh bercakap kata ibunya, malah sudah masuk 5 tahun.

Jom kita baca apakah faktor yang mempengaruhi anak-anak bercakap dan ketahui perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal.

Faktor-faktor yang mempengaruhi keupayaan kanak-kanak bercakap

1. Kanak-kanak belajar bercakap melalui INTERAKSI DENGAN ORANG DEWASA DAN RAKAN SEBAYA.
2. Proses belajar bercakap itu dipengaruhi faktor persekitaran, kesihatan dan genetik.
3. Rangsangan persekitaran kanak-kanak adalah penting dalam perkembangan pertuturan dan bahasa.
4. Kanak-kanak yang tidak atau kurang menerima rangsangan pertuturan berisiko mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa.
5. Kanak-kanak yang kerap keluar masuk hospital disebabkan masalah kesihatan akan mengalami gangguan perkembangan interaksi dengan ahli keluarga dan rakan sebaya. Keadaan ini juga boleh merencat dan melambatkan perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.
6. Kanak-kanak yang ada ahli keluarga yang mempunyai sejarah kelambatan pertuturan dan bahasa juga boleh mendapat masalah ini.

Perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal

0-3 BULAN

Kanak-kanak mula belajar bercakap seawal usia 0-3 bulan. Pada waktu ini kanak-kanak sudah menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan orang dewasa melalui senyuman mahupun ketawa. Mereka sudah pandai senyum apabila mendengar suara ibu bapa atau penjaga.

4-6 BULAN

Biasanya sudah mula mengeluarkan bunyi-bunyian seperti bunyi vokal (/aaaa/) yang nyaring. Pada waktu ini permainan vokal merupakan cara kanak-kanak belajar untuk bercakap.

6-8 BULAN

Kanak-kanak mula menghasilkan suku kata yang berulang seperti “mama”, “dada” atau “papa” tanpa maksud tertentu.

8-12 BULAN

Perkataan pertama biasanya akan muncul contoh mama, susu. Selalunya kanak-kanak pada usia ini sudah mempunyai pemahaman bahasa yang baik seperti boleh mengikut arahan mudah. Faham perkataan ‘jangan’ dan arahan mudah seperti ‘bye-bye’, ‘salam’. Meniru bunyi mudah seperti bunyi binatang dan kenderaan. Menguasai 10-25 perkataan. Dapat menunjukkan bahagian badan asas. Memanggil nama ahli keluarga terdekat.

18-24 BULAN

Kanak-kanak pada umur ini sudah mula menggunakan 2 patah perkataan dalam pertuturan mereka, contohnya nak air, nak susu, dah habis. Menguasai kira-kira 50 perkataan. Menggabungkan 2-3 patah perkataan. Mengikut arahan tanpa bantuan isyarat. Tumpuan terhadap sesuatu aktiviti selama lebih kurang 5 minit.

3 TAHUN

Umur 3 tahun, kanak-kanak sudah mula membuat ayat lengkap sekurang-kurangnya 3 patah perkataan dalam satu ayat. Kanak-kanak juga faham apa kita cakap dan mampu guna kata kerja dalam ayat dituturkan. Contoh: adik nak tidur, abah pergi kerja. Dapat menyebut nama penuh. Faham soalan ‘apa’, ‘ bila’, ‘mana’ dan ‘bagaimana’

4 TAHUN

Pada umur ini, mereka sudah mula menggabungkan ayat-ayat ringkas menjadi ayat-ayat yang lebih kompleks. Di sini, faktor persekitaran seperti pergaulan dengan rakan sebaya banyak membantu dari segi pertambahan vocab (perbendaharaan kata) dan meningkatkan kemahiran bercerita. Faham konsep seperti warna dan saiz. Dapat menjawab soalan tentang fungsi objek. Menyebut bunyi konsonan kira-kira 90 peratus secara tepat.

5 TAHUN

Bercerita tentang sesuatu topik dengan ayat panjang, kira-kira lebih daripada 5 perkataan. Menggunakan sambungan kompleks seperti ‘selepas itu’, ‘atau’ dan ‘tetapi’. Faham arahan kompleks. Bahasa pertuturan menyamai orang dewasa.

Perhatikan perkembangan bahasa dan pertuturan anak. Kemudian bandingkan dengan perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak normal mengikut umur seperti di atas.

Pesanan daripada Speech & Language Therapist, apabila anak sudah umur 1 tahun 6 bulan masih tidak keluar sebutan apa-apa lagi, seeloknya pergi jumpa doktor, sebab perlu ambil masa 6 bulan juga untuk mendapatkan janji temuApaila anak genap 2 tahun, terus dapat diagnosis.

Tolong ambil perhatian ya, ibu-ibu.

Jangan pula kata macam ini, “Ala nanti dia pandai sendiri la bercakap nanti.” Maaf cakap, kemahiran komunikasi perlu diajar, bukan semula jadi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda