ANAK terjatuh dan kepala terhantuk kerap menimpa kanak-kanak, terutama bayi yang baru mula hendak berjalan. Setiap kali terjatuh dan terhantuk pasti kita akan bimbang.

Bagaimanapun, ada jenis hentakan yang tidak mendatangkan bahaya serius kepada anak. Apa yang penting, kita perlu mengetahui jenis dan tahap impak hentakan dan terjatuh itu.

1. KECEDERAAN KULIT

Kesan pada kulit saja tanpa kecederaan otak biasanya tidak serius tetapi boleh membimbangkan ibu bapa. Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan.

Jika luka besar dan melibatkan salur darah besar, pendarahan serius boleh berlaku. Kita perlu hentikan pendarahan kerana boleh menyebabkan anak kehilangan banyak darah.

Apa yang perlu dilakukan ialahj tekan luka dengan kain bersih. Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa ke klinik atau hospital berdekatan sambil berterus menekan bahagian luka.

2. BENJOL

Benjol berlaku akibat bengkak kulit atau pendarahan bawah kulit yang mana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ini bermakna pendarahan berlaku luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang tengkorak.

Bagaimanapun, itu tidak bermaksud pendarahan cuma berlaku di luar otak. Kita masih perlu memberi perhatian jika anak ada menunjukkan simptom berlaku pendarahan dalaman otak.

Benjol kepala akibat pendarahan bawah kulit biasanya akan hilang sendiri dalam tempoh 1-2 minggu.

Lakukan langkah di bawah ini jika mahu benjol cepat surut:

i. Tuaman Sejuk (Cold Compress) – Boleh meredakan benjolan dengan cepat.

ii. Tuaman Panas (Hot Compress) – Boleh mengurangkan sakit, tetapi harus disusuli tuaman sejuk kerana panas menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling.

3. KECEDERAAN TENGKORAK

Kecederaan kepada tengkorak dan otak mempunyai kesan lebih serius berbanding kecedaraan ke atas kulit dan boleh berlaku tanpa kesan terhadap kulit.

Kesan hentakan serius ialah keretakan tengkorak akibat hentakan yang sangat kuat dan ada risiko serius ke atas saraf dan otak. Masalah ini menyebabkan otak terdedah kepada jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retakan tengkorak.

4. KECEDERAAN OTAK

Kecederaan otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman bergantung kawasan hentakan berlaku. Antara simptom pendarahan dalaman otak ialah:

  • Pengsan selepas trauma.
  • Otot jadi lemah atau sebahagian atau semua badan tidak boleh bergerak.
  • Amnesia atau hilang ingatan.
  • Keliru.
  • Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya.
  • Sawan.
  • Muntah lebih sekali.
  • Tidak dapat bercakap betul atau muka jadi senget sebelah.
  • Darah atau cecair keluar daripada hidung atau telinga.
  • Anak mata hitam atau pupils tidak sama saiz.
  • Penglihatan kabur atau nampak objek lebih daripada satu.

Jika anak mengalami simptom di atas ini, terus bawa dia ke hospital berdekatan.


LANGKAH PENCEGAHAN 

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Walaupun tiada kanak-kanak yang tidak pernah jatuh seumur hidup, tetapi ada langkah keselamatan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko anak mengalami hentakan atau terjatuh di rumah.

  1. Pasang gril di semua tingkap yang boleh dibuka di rumah.
  2. Pasang pagar keselamatan di tangga rumah (jika ada).
  3. Pastikan tiada barang-barang atau mainan di tangga yang boleh menyebabkan anak terpijak dan terjatuh.
  4. Pastikan anak tidak bermain di tangga atau melompat-lompat antara perabot.
  5. Jangan biarkan bayi atau anak kecil di tempat tinggi seperti atas katil atau sofa.
  6. Pastikan palang katil bayi (baby cot) sentiasa diangkat apabila anak ada di dalam.
  7. Jangan beli permainan trampolin (pemijak anjal).
  8. Jika berbasikal, bermain papan roda atau papan selaju (skateboard), pastikan pakai helmet khas.
  9. Guna kerusi bayi apabila menaiki kereta.

SUMBER: DoktorBudak.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda