SELALU juga kita nampak dan dengar ibu bapa marahkan anak dengan memekik, menjerit atau menjerkah. Walaupun cuba dikawal, tetapi apabila sedang marah dan geram, tanpa sedar nada suara pasti jadi tinggi.

Semoga perkongsian Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Sultan Azlan Shah Hazhari Ismail ini dapat memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang sikap tersebut yang tidak sepatutnya dilakukan ke atas kanak-kanak.

* Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


IBU BAPA DAN GURU, TOLONG JANGAN JERIT-JERIT

Ketika saya menjalankan placement di salah sebuah sekolah di West Midlands, tugas utama saya sebagai Pembantu Guru / Teacher Assistant (TA) di bawah pemantauan penyelia, Mrs Eve. Disebabkan ini kali pertama saya berhadapan persekitaran berbeza dan tidak membesar dalam persekitaran tersebut, maka semua baru bagi saya.

Bahasa, kurikulum, ruang bilik darjah, bahan bantu mengajar, pedagogi guru, pengurusan dan sebagainya, semuanya benda baru untuk saya sesuaikan diri. Masih mentah.

Saya perhati Mrs Eve dari setiap sudut. Lagaknya sebagai seorang guru berpengalaman, dan tidak pernah menaikkan suara atau menjerit kepada kanak-kanak. Penuh santun. Mata saya kadangkala terjegil keluar jika ada kanak-kanak yang tidak mendengar kata atau terlalu bising. Tetapi, tidak bagi Mrs Eve. Setiap anak diberikan perhatian, dan mendengar kata. Pantas matanya melilau menjaga jika ada si kecil perlukan bantuan.

Ketika ada si kecil memanjat kerusi dan melompat, tidak pula dijerkahnya.
Satu kelas bising dan menjerit, tidak pula dibalas jeritan untuk mendiamkan mereka.
Kanak-kanak bergaduh berebut warna, dileraikan mereka dengan penuh keibuan.
Tiada langsung jeritan, tengkingan mahupun bebelan menyakitkan.
Langsung tiada.

Katanya,

Yelling (memekik) kepada kanak-kanak sama buruk dengan spanking (memukul) kepada mereka. Malah lebih teruk.” Aku mengangguk tanda setuju.

Masyarakat terlalu taksub dengan penderaan secara fizikal tetapi terlupa penderaan emosi. Lebih teruk, penderaan emosi mampu memberikan kesan jangka masa panjang hingga dewasa berbanding fizikal. Ia jatuh dalam kategori ‘Harsh Verbal Discipline’ yang sama kesannya jika menyumpah atau memberi kata-kata kesat kepada kanak-kanak.

Menurut kajian dari Pittsburgh dan Michigan*, kanak-kanak yang kerap dijerit (yelling) pada waktu kecil, akan meningkatkan masalah sikap ketika dewasa.

Kajian pada 2013, purata hampir 90 peratus ibu bapa akan memekik (yelled), menjerit, menyumpah, mencarut (yang sama dengannya) kepada anak-anak seawal usia 6 tahun.

Menurut Amy Morin, psikoterapi dalam TEDx Talk yang mengkaji tentang mental manusia, memekik/yelling ialah salah satu strategi tidak efektif untuk mendisiplinkan kanak-kanak, malah memburukkan lagi keadaan.

SEBABNYA?

1. Penyebab masalah sikap yang lagi teruk. Ia akan menjadikan kitaran kekal (perpetuating cycle), maksudnya lagi banyak kita jerit, lagi memberontak kanak-kanak itu. Lagi tidak mendengar kata.

2. Tak alah (desentized) dengan volum suara. Kali pertama ibu bapa atau guru memekik ialah untuk memberi perhatian. Tapi jika nasihat yang selepas itu pun dalam keadaan memekik, maka kanak-kanak sudah lali dan tidak sensitif dengan teguran tersebut.

3. Ibu bapa makin kecewa sebab kanak-kanak sudah biasa dengan keadaan memekik, mereka tidak akan berubah. Kita yang dewasa yang rasa penat.

4. Mereka belajar secara tidak sengaja memekik ialah pendekatan yang baik. Ibu bapa memberi role model kepada mereka. Jangan marah jika kanak-kanak memekik balik kepada kita ya.

5. Memekik bukan satu bentuk mengajar. Sepatutnya, jika kita melihat kanak-kanak buat salah, kita harus beri cadangan dan opsyen apa yang betul. Bukan tinggalkan dia dalam terpinga-pinga.

6. Ini menunjukkan ibu bapa hilang kawalan untuk kanak-kanak. Kanak-kanak kadangkala nak perhatian dan nak uji reaksi ibu bapa. Jika kita hilang kawalan, macam mana kita nak didik mereka.

7. Alternatif lain selain memekik ialah penguatkuasaan negatif / negative reinforcement. Iaitu ambil keistimewaan yang kita berikan kepada mereka untuk memastikan mereka berkelakuan baik. Contoh, rampas mainan sampai dia dengar cakap dan beri mainan semula kepada mereka.

Saya tahu, sebagai ibu bapa dan guru, kita sedaya upaya cuba tidak meninggikan suara. Tetapi terlepas juga. Jadikan tabiat, lama-lama sudah biasa. Jangan tidak cuba langsung ya.

Apabila saya perhati pelajar praktikal dan dengar guru kelas sebelah menjerit-jerit kepada anak murid kelasnya, saya teringat Mrs Eve bagaimana beliau memberi dimensi baru kepada saya dalam mendidik kanak-kanak secara hikmah.

Saya juga pernah buat silap dulu, tapi tidak terlambat nak betulkan balik. Kan?

*“Longitudinal Links Between Fathers’ and Mothers’ Harsh Verbal Discipline and Adolescents’ Conduct Problems and Depressive Symptoms,”

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda