CIRIT-birit memang selalu dikaitkan dengan kanak-kanak, terutama bayi. Tetapi awas, jangan ambil mudah kerana kalau dibiarkan, boleh memudaratkan diri.

Berikut perkongsian dipetik status Facebook, Dr Aishah Alsagoff mengenai cara memantau dan mengenal pasti tanda-tanda anak mengalami cirit-birit.

* Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan isi kandungan asal.


Minggu ini ramai pula yang cirit-birit. Apa jadi?

Air kotor ke?
Atau kes cuti sekolah kita asyik makan luar saja? Saya tidak payah tunggu cuti sekolah, hari biasa pun makan luar juga.

Cirit-birit ini masalah kanak-kanak yang ibu bapa paling rungsing sekali. Sebab dia 3-in-1. Anak berak-berak, lepas itu dehidrasi (kurang air dalam badan) dan lepas itu pula keluar ruam punggung. Semua benda nak jadi kat anak dalam satu masa.

Kita tengok cirit birit dulu.
Apa kita boleh buat sebagai ibu bapa yang ohsem dan prihatin?

1. Pastikan anak minum air dengan cukup. Paksa dia minum. Air putih, atau air apa saja yang anak nak minum. Tapi, kurangkan air yang terlalu manis, seperti air gas dan jus buah kerana boleh mebuatkan cirit-birit lebih teruk.

2. Kurangkan juga air bersusu atau produk tenusu jika melihat anak makin cirit selepas minum susu. Sesetengah jangkitan cirit-birit boleh menyebabkan ‘villous atrophy’ yang menyebabkan anak tidak dapat hadam susu.

Tapi jika ibu-ibu menyusu badan, teruskan menyusu seperti biasa ya. Jangan berhenti. Jika susu formula, mungkin boleh cairkan pekat sedikit.

3. Apakah makanan yang sesuai atau perlu dielakkan? Ini soalan kegemaran ramai:

  • Tiada diet spesifik untuk anak cirit-birit.
  • Makanlah seperti rutin biasa jika anak masih mahu makan. Syukur, atau boleh ubah sedikit cara pemakanan daripada makan 3 kali sehari, ubah kepada 5 kali sehari, tetapi sikit-sikit setiap kali makan.
  • Kurangkan makanan bergoreng dan makanan diproses seperti sosej dan nuget.
  • Banyakkan makanan tinggi potassium seperti pisang dan kurma kerana dapat menggantikan garam galian yang hilang dan memberikan tenaga kepada si anak kecil.
  • ORS atau smecta sangat membantu jika anak tidak mahu makan dan minum. Ia dalam bentuk serbuk. Campurkan dengan air dan beri kepada anak setiap kali selepas cirit.

4. Ambil probiotik. Probiotik ialah kuman baik yang akan bantu menguatkan usus. Untuk kanak-kanak kecil, dos biasa adalah lebih kurang sepaket sehari (5 bilion cfu sehari, atau 2-3 gram sehari), bergantung kepada jenis dan paket. Boleh rujuk kotak selepas beli atau rujuk doktor (lebih baik).


Sudah buat semua di atas, sudah cukup ke doktor? Waktu bilakah pula perlu bawa anak jumpa doktor?

Jika ada tanda di bawah ini ketika anak cirit, jangan segan silu silalah rujuk doktor terdekat:

1. Anak lemah sepanjang hari.
2. Najis berwarna hitam atau najis berdarah. Warna kuning, oren, coklat, hijau, biru semua tidak mengapa.
3. Demam tinggi
4. Muntah berterusan
5. Tanda-tanda dehidrasi seperti cengkung bawah mata, kurang kencing, lemah, menangis tanpa air mata dan anak tidak aktif.

Ada cirit birit yang hanya 2-3 hari, ada juga sampai berminggu-minggu. Pantau anak, sebagai ibu, you are the best doctor for your children! 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda