SEMUA ibu hamil takut sekiranya mengalami koyakan besar pada vagina ketika melahirkan anak. Koyakkan pada vagina ini boleh dielakkan jika mengikut cara yang betul ketika meneran. Kita juga boleh mengamalkan senaman kegel dan urutan perineum bagi memudahkan proses bersalin.

Berikut adalah 7 tip yang dikongsikan oleh Pakar Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak untuk panduan ibu hamil bagi memudahkan proses bersalin kelak.


TIP MENGELAKKAN KOYAKKAN TERUK MASA BERSALIN

1. Jangan ler panik tak tentu pasal. Banyakkan membaca fakta dan ilmu yang betul mengenai kelahiran supaya bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran. Bertanya pada yang berilmu, BUKAN PADA PENJUAL PRODUK.

2. Amalkan senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis atau vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan 3 kali sehari sepanjang tempoh mengandung.

3. Urutan perineum pada hujung-hujung kehamilan berfaedah untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk. Otot pada perineum yg anjal akan lebih senang mengembang dan menguncup tanpa meninggalkan koyakan yang teruk.

4. Meneran dengan cara yang betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah seperti meneran berak sembelit.

5.  Jangan meneran awal jika belum tiba masanya. Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih lagi belum nampak pada vagina menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.

6. Pastikan posisi yang betul ketika meneran. Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki dan jangan sesekali mengangkat punggung ataupun punggung terhuyung-hayang ke kanan ke kiri. Macam nak tangkap bola pula gayanya misi nak sambut kelahiran bila punggung digerakkan ke sana ke mari.

7. Dengar arahan doktor dan misi. Bila nak periksa itu bagi kerjasama, bukannya terkepit-kepit sampai jari misi atau doktor tak boleh keluar. Banyakkan berzikir dan berselawat, bukannya meraung sepenuh jiwa dan raga macam tertelan microfon.

Yee, memang saya tidak pernah bersalin dan tidak rasa sakit bersalin. Pelbagai karenah manusia saya sudah jumpa sepanjang masa saya bekerja mengendalikan kes-kes bersalin tidak mengira kes berisiko rendah atau tinggi, benda sebegini perlu dimaklumkan supaya pesakit membuat persediaan fizikal dan mental.

Amacam sudah bersedia?

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda