INGAT lagi pengalaman pertama hadapi haid? Eeee….boleh dikatakan begitu tragis. Sudahlah sakit, stres, hilang keyakinan diri, malu, dan rasa seperti dunia gelap gelita. Hehehe.. tetapi itu cuma pengalaman sendiri saja dan bukan semua orang mengalami perkara sama.

Bagi gadis remaja, ‘akil baligh’ iaitu haid pertama ialah peristiwa penting dalam hidup. Pastinya pengalaman pertama haid itu memang tidak seronok, tapi kita sebagai ibu boleh main peranan untuk atasi masalah ini.

Mujurlah ada emak yang sudi berkongsi cerita dan tenangkan diri yang sedang bergelut dengan bermacam-macam perasaan. Sekarang tiba pula giliran kita menenangkan anak sendiri pula, dan mengajar dia tentang bagaimana menghadapi haid pertamanya:

1. FASA KE ALAM DEWASA AKIL BALIGH

Berbincang secara terbuka dengan anak. Jelaskan apakah itu haid supaya dia tahu situasi itu ialah proses seseorang perempuan memasuki fasa dewasa. Terangkan juga apa itu akil baligh, termasuk memaklumkan tubuhnya akan mengalami perubahan fizikal dan ia sesuatu yang normal.

Penting untuk anak tahu tentang kewajipan agama yang mesti dilakukan selepas akil baligh. Beritahu anak tentang perkara wajib dia lakukan dalam agama dan segala dosa yang kini perlu ditanggung sendiri.

2. PERKARA TIDAK BOLEH BUAT KETIKA HAID

Terangkan perkara yang tidak boleh dilakukan ketika haid. Misalnya solat, puasa, baca al-Quran dan sebagainya. Ingatkan anak supaya menjaga batas pergaulan dengan kawan lelaki dan saudara mara lelaki yang rapat.

3. AJAR TIP ASAS

Ajar anak cara pakai pad dengan betul. Penting juga untuk anak tahu pemilihan pad dan jenis pad yang patut digunakan untuk pada masa tertentu. Misalnya, jenis slim, wing, overnight, atau panty liner’

Ajar anak apa yang perlu dibuat pada pad yang sudah dipakai, bagaimana cara betul mencuci dan membuang pad.

4. BAWA PAD DALAM BEG SETIAP MASA

Jelaskan yang haid akan datang pada masa tidak dijangka. Sebagai langkah berjaga-jaga, pesan kepadanya supaya sentiasa bawa sekurang-kurangya satu dalam beg ketika ke sekolah.

Bayangkan haid terkena pada baju sekolah putih, mesti dia malu!

5. SIMPTOM HAID

Bantu mental anak bersedia menghadapi haid dengan jelaskan simptom haid. Ini selalunya bergantung kepada pengalaman individu. Misalnya, beritahu simptom seperti tumbuh jerawat, senak perut, sakit kepala, selera makan bertambah dan sebagainya.

6. MANDI WAJIB/HADAS BESAR

Bilakah perlu mandi wajib atau hadas besar? Bagaimanakah hendak mandi wajib? Apakah perlu dibuat? Jangan terlepas pandang kerana ini sangat penting. Sebaiknya, tunjukkan contoh dan terangkan cara mandi wajib dengan betul kepada anak.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda