MASALAH dunia betul dengan perangai sesetengah mak ayah muda sekarang yang kononnya mahu manjakan sangat si anak. Tapi sebenarnya mereka tak pernah pula fikirkan pasal nyawa anak yang tak tahu apa-apa itu.

Memang betul, rasa sayang dan naluri keibuan yang kuat selalu buat kita macam tak sampai hati untuk biarkan mereka tak dipeluk. Katanya, kasihan nak biar anak duduk sengsorang tak berteman di belakang.

1001 ALASAN!

Apabila ditanya kenapa tak letak saja dalam kerusi bayi, pandai pula dijawabnya;

“AKU KASIHAN TENGOK anak menangis tak NAK duduk dalam car seat.”

KASIHAN? Hello, jawapan itu memang menyakitkan hati ok! Takkanlah mak ayah yang sudah dewasa dan matang kena ikut kehendak bayi? Bercakap pun dia belum pandai dan terpelat-pelat, tapi kita pula tak mampu nak buat keputusan terbaik untuk anak sendiri?

Sanggupkah kita tengok anak terbang entah ke mana kalau tiba-tiba terpaksa membrek kecemasan atau terbabit kemalangan sama ada dilanggar atau melanggar. Bukanlah nak minta perkara buruk terjadi, tapi bukankah kita mesti sentiasa berwaspada?

Kalau sudah berlaku, menyesal pun tak berguna. Beringatlah, kalau nak sayangkan anak biarlah bertempat. Berkeras letakkan anak dalam kerusi bayi bukanlah satu deraan! Suka atau tidak kita mesti ajar anak supaya berdisiplin ketika kita nak memandu. Memang tak rugi kalau kita ajarkan anak tentang hal keselamatan jalan raya.

BILA NAK UBAH MENTALITI?

Ini gayanya kalau anak tercampak keluar

Tolonglah, kalau sayangkan anak, ubah mentaliti. Sekali lagi, nak kesian pun biarlah bertempat. Secara fakta, tindakan memangku, meriba dan memeluk anak memang tak boleh selamatkan anak daripada terpelanting ketika berlaku situasi kecemasan. Lagilah kalau kita tertidur. Apatah lagi dalam keadaan terkejut, badan pun kaku dan tak sempat nak fikir apa-apa.

Agaknya, kalau anak sudah terbang ke luar tingkap kereta, barulah nak menyesal? Maaflah kalau nak berkasar, tapi aunty sendiri memang pernah banyak kali mengadap pengalaman pahit pasal anak kecil yang tak reti duduk diam dalam kereta ketika si mak atau ayah sedang memandu.

Geram, meluat, sedih, kesal dan macam-macam lagi perasaan ada dengan sikap mak ayah yang cuai dan buat tak ambil kisah. Malah, tak fikir panjang pasal bahaya yang akan menimpa anak. Disebabkan pengalaman pahit itulah aunty tak mahu anak kecil lain pun teraniaya dek sikap cuai dan sambil lewa mak ayahnya sendiri.

TETAPKAN UNDANG-UNDANG DALAM KERETA

Pengajaran yang aunty akan pegang dan ingat sampai mati, kalau bawa kereta, tak kisahlah jauh atau dekat, mesti letak anak kecil dalam kerusi bayi.

MESTI LETAK walaupun anak menangis. Biarlah dia menangis, jangan kita pula yang menangis sebab menyesal dan rasa bersalah di kemudian hari. Kalau anak sudah besar, wajibkan pula mereka pakai tali keledar sebelum mula memandu. Ataupun memakai helmet kalau menunggang motor.

Tak susah pun nak jaga keselamatan diri dan anak. Kita boleh saja buat undang-undang sendiri yang perlu anak dan penumpang dalam kereta patuh. Jika sudah terbiasa sejak kecil, pakai tali keledar pasti tidak lagi jadi masalah besar.

Apa yang jadi masalah, kita sendiri pun tunjuk contoh buruk kepada anak. Sendiri pakai tali keledar pun susah. Kalau ditanya; “Aku rimas, tak selesa.” Wahh, menyampah betul dengar alasan tak masuk akal tu.

KISAHNYA SI KECIL TAK MAHU DUDUK DALAM CAR SEAT

Kisahnya, kawan baik aunty ini ialah seorang ibu muda, umur dalam awal 20-an. Dia datang ke rumah aunty bawa anaknya yang masih kecil, baru dua tahun. Lepas sudah puas bergosip, aunty pun bawa si ibu dan anak meronda sekitar Putrajaya.

Masuk kereta bawa si kecil itu sekali, si ibu tak letak dalam kerusi bayi sebab anak mengamuk tak mau duduk. Aunty cakap tak apa, letak saja, nanti dia diamlah tu. Tapi macam biasa, kawan aunty tu degil. Katanya, tak sampai hati tengok anak menangis. Kalau dah ibu cakap macam tu, kita nak cakap apa lagi?

SI KECIL TERBANG, TERPELANTING DAN CEDERA

Ok, aunty pun pandu dengan penuh berhemah seperti biasa. Tapi benda nak jadi bukannya kita dapat elak, aunty tiba-tiba terpaksa membrek kecemasan untuk elak motosikal!

Apa lagi, terpelantinglah si budak kecil dari tempat duduk belakang sampai ke dashboard depan! Nasib baik tak terkoyak kepala tu! Tapi dahi sudah berbenjol, bibir pula pecah! Menangis, meraung tak payah cakaplah, sakit dan terkejut!

Itu baru sikit, sebab aunty pun pandu perlahan masa tu. Adalah dalam 50 kmj. Bayangkanlah apa jadi kalau aunty pandu 90-100 kmj? Minta simpang!

Bukan sekali, sudah dua kali insiden sama berlaku. Satu lagi kes pada hari lain, tapi budak kecil yang sama juga. Aunty belok sikit dah terpelanting si kecil. Lagi sekali bengkaklah muka tu terhantuk pintu kereta. Sampai sekarang aunty rasa sangat bersalah dan menyesal sebab tak bertegas dengan sikap si kawan ibu itu yang ambil mudah hal keselamatan anak.

JANGAN ANIAYA SI KECIL KERANA SIKAP CUAI DIRI SENDIRI

Dah jadi, jangan pula salahkan orang lain

Walaupun tak ada sebarang kecederaan serius berlaku, aunty rasa serik sangat sebab si kecil yang tak tahu apa-apa terpaksa jadi mangsa atas sikap tak bertanggungjawab ibu bapa.

Sebelum kejadian tak diingini berlaku, marilah kita sama-sama berusaha jaga keselamatan anak tersayang mulai sekarang. Letak bayi di tempat sepatutnya ketika memandu. Pasangkan tali pinggang keledar untuk anak-anak dan diri sendiri.

Kalau tak mampu beli kerusi bayi baru, beli saja model terpakai yang masih dalam kondisi baik! Ingat satu perkara, nyawa tak boleh dibeli dengan duit!

Selamat beramal, sama-sama kita menjaga keselamatan anak.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda