MUNGKIN ada kalangan kita masih tidak kenal apa itu Adenovirus. Ini ialah virus yang paling kerap menjangkiti bayi dan kanak-kanak. Jika diabaikan boleh menyebabkan risiko kematian.

Jangan ambil mudah sekiranya anak demam, selesema dan batuk walaupun simptom itu normal bagi bayi dan anak kecil.

APA ITU ADENOVIRUS ?

Adenovirus ialah kumpulan virus yang menyebabkan jangkitan pada mata, usus, paru-paru dan saluran pernafasan. Setakat ini, ada kira-kira 40 jenis adenovirus sudah dikenal pasti.

Adenovirus mendapat nama selepas dijumpai pada tisu adenoid, iaitu bahagian belakang hidung. Ia sejenis virus yang boleh menjangkiti sistem pernafasan dan selalu berlaku ke atas bayi dan kanak-kanak.

Jangkitan virus boleh menjadi serius terhadap bayi kerana imun badan masih belum kuat untuk mempertahankan diri daripada serangan virus atau bakteria. Adenovirus juga boleh menyerang seluruh badan pesakit. Walaupun menyebabkan jangkitan ringan, tetapi keadaan yang lebih teruk boleh mengancam nyawa.

Lebih membimbangkan, virus ini boleh hidup di permukaan luar seperti plastik berbanding jenis virus lain.

TANDA DAN GEJALA ADENOVIRUS

1. JANGKITAN DEMAM AKIBAT SALURAN PERNAFASAN

Ini jangkitan adenoviral yang paling biasa berlaku ke atas kanak-kanak seperti selesema, membabitkan gejala radang kerongkong (faringitis), keradangan hidung (rhinitis), batuk dan bengkak kelenjar. Kadangkala boleh terjadi pada jangkitan telinga tengah.

Bronchiolitis dan virus pada radang paru-paru juga boleh berlaku dan boleh menyebabkan penyakit serius pada bayi. Adenovirus juga boleh menghasilkan batuk kering dan keras.

2. JANGKITAN SALURAN PERNCERNAAN 

Gastroenteritis: Keradangan perut dan usus kecil dan besar termasuk cirit-birit, muntah, sakit kepala, demam, dan kekejangan perut.

Genitourinary: Jangkitan saluran kencing boleh menyebabkan pesakit kerap buang air kecil, sakit dan kencing berdarah.

3. JANGKITAN PADA MATA 

Pinkeye ialah keradangan ringan membran yang menutupi mata dan permukaan dalaman kelopak mata hingga menyebabkan mata merah, berair dan rasa berpasir.

Demam Pharyngoconjunctival ialah wabak kecil yang kerap menimpa anak-anak sekolah. Ia berlaku apabila virus tersebut menjangkiti kedua-dua lapisan mata dan saluran pernafasan. Gejala dikesan ialah mata merah dan sakit tekak teruk, kadangkala disertai demam, rhinitis dan bengkak kelenjar.

Keratoconjunctivitis ialah jangkitan yang lebih teruk melibatkan kedua-dua mata depan dan kornea. Jangkitan ini sangat mudah menimpa kanak-kanak dan dewasa muda yang menyebabkan mata merah dan rasa tidak selesa apabila terdedah kepada cahaya, termasuk pandangan kabur dan sakit.

4. JANGKITAN SISTEM SARAF

Meningitis dan Ensefalitis (keradangan lapisan otak dan saraf tunjang) boleh berlaku akibat jangkitan Adenovirus yang menyebabkan demam, sakit kepala, mual dan muntah, leher kaku dan ruam kulit.


BAGAIMANA BOLEH BERJANGKIT?

Adenovirus sangat mudah berjangkit dan biasa berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah dan hospital.

Adenovirus disebarkan melalui batuk atau bersin, dan pencemaran najis. Ini termasuk menerusi bahan makanan atau barang basah yang tidak dibersihkan air, makanan tercemar dan tidak mencuci tangan dengan sempurna.

Adenovirus yang menyebabkan pinkeye disebarkan menerusi air seperti tasik dan kolam renang daripada perkongsian tuala atau sentuhan.

Apabila bayi atau kanak-kanak terdedah kepada Adenovirus, gejala biasanya akan dapat dilihat selepas 2 hari hingga 2 minggu.

SEGERA DAPATKAN RAWATAN JIKA…

  • Demam melebihi 39° Celsius dan berpanjangan hingga 5 hari.
  • Masalah kahak terlalu pekat.
  • Sakit mata atau mata bertahi yang berlebihan berbanding biasa.
  • Cirit-birit.

BAGAIMANA ELAK PENYEBARAN

1. AMAL ADAB BATUK YANG BETUL

Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.

2. AMAL CARA CUCI TANGAN YANG BETUL

Amalkan cara mencuci tangan yang betul dan lebih kerap sama ada menggunakan sabun dan air atau pencuci tangan (hand sanitizer).

3. PENGUDARAAN BAIK DALAM RUMAH 

Pastikan tempat tinggal sama ada rumah atau asrama mempunyai sistem aliran udara keluar dan masuk yang baik.

4. JANGAN KELUAR KETIKA SELSEMA

Jangan kunjungi tempat awam atau orang ramai, terutama apabila anak selesema. Biarkan dia berehat di rumah saja.

5. PAKAI MASK

Pastikan anak kita memakai kain penutup mulut dan hidung sekiranya mengidap gejala Adenovirus.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda