KETIKA buang air kecil, pernahkah anda perhatikan warna air kencing? Pasti anda menggelabah jika nampak ada perubahan warna air kencingkan? Jika kuning pekat, mungkin kita anggap itu normal. Apa yang lebih membimbangkan ialah jika air kencing bertukar kepada warna luar biasa.

Secara tiba-tiba, mulalah risau dengan pelbagai tanda tanya bermain dalam fikiran. Adakah kita berpenyakit? Sakit apakah yang menyebabkan air kencing tiba-tiba berubah warna?

Jadi, maklumat tentang makna di sebalik warna air kencing adalah penting. Apabila situasi ini berlaku, yang dikesan berdasarkan warna pelik, ia sebenarnya turut mendedahkan kondisi sebenar badan kita.


1. TIADA WARNA ATAU JERNIH

  • Air kencing tiada warna atau jernih sahaja kerana kita minum air kosong terlalu banyak.
  • Memang betul minum banyak air sangat bagus untuk kesihatan, tetapi jangan terlebih kadar air pula.
  • Jika keadaan sebegini berlaku, boleh kurangkan sedikit minum air untuk mendapatkan warna air kencing yang sihat.
  • Pendek kata, tiada apa yang perlu dirisaukan, cuma perlu kurangkan minum air terlalu banyak.

2. WARNA KUNING PUCAT

  • Ini petanda yang baik. Warna ini bermaksud badan kita sihat dan buah pinggang juga sedang berfungsi baik.
  • Ia juga petanda yang menunjukkan kita terhidrat dengan baik.

3. WARNA KUNING JERNIH/ KUNING TERANG

  • Air kencing kuning yang tidak terlalu pekat dan tidak terlalu pucat ini juga ialah penanda aras tubuh badan berada pada tahap normal.
  • Salah satu penyebab air kencing berwarna ini ialah kerana kita terdedah kepada cahaya matahari dalam tempoh lama.
  • Jadi, kurangkan terdedah kepada cahaya matahari untuk mendapatkan warna air kencing lebih sihat.

4. WARNA KUNING PEKAT SEPERTI MADU

  • Warna seakan kuning gelap menandakan kita perlu menambah kuantiti pengambilan air kosong dengan kadar segera.
  • Jika tidak, kita bakal mengalami masalah dehidrasi.
  • Ini juga tanda kita malas minum air kosong.

5. WARNA COKLAT

  • Tahu atau tidak, jika air kencing berwarna ini, anda mungkin mempunyai masalah hati atau‘severe dehydration’ iaitu dehidrasi terlampau.
  • Untuk mengatasinya pada peringkat awal, pastikan minum air secukupnya.
  • Jika keadaan masih berlarutan, pastikan segera berjumpa doktor.
  • Kami mahu ingatkan, jangan sesekali pandai-pandai beli ubat di pasaran, terutama ubat bukan daripada farmasi bertauliah tanpa nasihat pakar atau doktor.

6. WARNA MERAH ATAU KENCING BERDARAH

  • Jika banyak makan ubi merah atau ‘blueberries’, jadi mungkin itu penyebabnya.
  • Tetapi jika tidak? Ini bermakna ada darah dalam air kencing kita.
  • Mungkin kadangkala ada yang terlepas pandang, khususnya wanita yang fikir ada kena mengena dengan darah haid, tetapi tidak seperti apa yang anda sangka.
  • Jika ada darah dalam air kencing, ini mungkin penyebab kepada masalah buah pinggang, tumor, jangkitan kuman dalam air kencing ataupun masalah prostat.
  • Dinasihatkan segera jumpa doktor.

7. WARNA OREN

  • Kadang-kadang ramai yang keliru sama ada air kencing berwarna kuning pekat atau oren bukan?.
  • Jika air kencing berwarna oren, ini boleh juga terjadi di atas faktor pemakanan. Makan terlalu banyak lobak merah juga menjadi penyebab kepada air kencing berwarna sebegini, tetapi dalam masa dua hari air kencing akan kembali normal.
  • Sebab lain ialah, anda mungkin ada masalah hati. Jadi, dinasihatkan mendapatkan rawatan doktor.

8. WARNA KEBIRUAN ATAU KEHIJAUAN

  • Air kencing berwarna biru terjadi di atas faktor pengambilan ubat.
  • Faktor pemakanan juga adalah penyebab kepada air kencing berwarna biru.
  • Faktor lain juga ialah mungkin saluran urinari atau air kencing anda dijangkiti bakteria dan menyebabkan air kencing jadi biru.
  • Dapatkan nasihat doktor supaya anda sentiasa mendapat rawatan sepatutnya.

9. AIR KENCING BERBUIH

  • Air kencing berbuih ini dikatakan terjadi kerana buah pinggang menyahkan segala toksin dan protein yang berlebihan dalam buah pinggang.
  • Air kencing berbuih juga terjadi kerana masalah dalam sistem urinari yang mana jangkitan kuman pada saluran air kencing berlaku.
  • Jadi, perkara ini agak serius dan jangan dipandang remeh.
  • Bagi individu tidak hamil, tidak mengalami dehidrasi dan tidak mengambil suplemen tetapi masih mempunyai air kencing berbuih, anda perlu dapatkan nasihat dan rawatan doktor untuk mengelakkan hal lebih teruk.

Ingat, jangan pandang remeh terhadap perubahan warna air kencing kita. Ini kerana setiap warna itu membawa maksud berlainan bagi tahap kesihatan kita. Jika ada tanda pelik atau perubahan pelik pada warna air kencing, segeralah berjumpa doktor.

SUMBER: Health

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda