RAMAI ibu hamil naik risau apabila memikirkan rasa sakit yang bakal ditempuhi menjelang hari bersalin nanti. Gementar pula membayangkan detik kontraksi dan melahirkan si manja sampai ada yang ‘ketaq lutut’!

Bagi ibu yang bakal melahirkan anak sulung, perasaan takut, gelisah, dab risau itu pasti sangat mendalam sebab belum ada pengalaman. Kepada ibu yang sudah biasa bersalin, masih ada fobia sebab tidak sanggup lalu lagi melalui saat-saat kesakitan itu.

Ada yang memilih untuk mengambil suntikan epidural bagi mengurangkan sakit, tetapi ada juga memilih untuk bersalin secara normal tanpa sebarang suntikan pelalian. Dapatkan maklumat mengenai epidural pautan ini: Tentang Suntikan Epidural yang Perlu Anda Tahu.

Sebagai langkah persediaan menghadapi hari bersalin kelak, kaum ibu bolehlah pelajari 9 kaedah untuk melegakan sakit saat mendebarkan itu:

1. BERTENANG

Pastikan persekitaran tempat bersalin selamat untuk anda. Sementara menantikan detik kelahiran, dengar zikir atau lagu yang menenangkan (kalau saya pilih dengar alunan piano atau muzik klasik).

Selain itu, peralatan bersalin juga mestilah dapat membantu memudahkan proses kelahiran seperti tilam lembut. Jika bercadang untuk bersalin dengan posisi yang berbeza, sediakan peralatan yang diperlukan seperti bola kelahiran atau bangku rendah.

2. LUAHKAN 

Luahkan segala gundah-gulana dalam hati kepada orang dipercayai. Cara ini sangat berkesan! Percayalah, selepas meluahkan, pasti dapat bantu mengurangkan rasa takut dan melegakan hati.

3. BERLATIH TEKNIK PERNAFASAN

Belajar teknik pernafasan yang betul untuk menghadapi kontraksi sebelum bersalin. Lepaskan tekanan pada setiap hembusan. Cuba tarik nafas laju setiap 2 atau 3 saat iaitu 20 hingga 30 kali seminit.

Sekiranya anda hilang tempo pernafasan seperti di atas, minta bantuan pasangan bantu  mendapatkan semula rentak melalui pergerakan mata, tangan atau kepala.

4. GAMBARAN DAN VISUALISASI

Tumpukan perhatian pada sesuatu perkara yang boleh buatkan anda rasa gembira (wajah pasangan atau ibu). Gambar yang boleh memberikan inspirasi atau benda yang anda suka. Keadaan ini dapat merangsang deria dan mengurangkan kesakitan.

Selain itu, boleh juga mendengar muzik atau bunyian menenangkan. Dengar rakaman alunan ombak dan bayangkan anda berada kini berada di satu pulau yang sangat indah dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

5. PANASKAN TUBUH

Mandi air panas juga dapat melegakan sakit kontraksi dan merehatkan minda. Kadangkala, mandi air panas dapat membantu mempercepatkan proses bersalin. Cara terbaik, duduk atas bangku dan halakan pancuran air panas terus ke perut atau bahagian belakang tubuh.

6. BERGERAK

Banyakkan pergerakan terutama ketika masa hampir bersalin. Kontraksi akan terasa begitu kuat jika anda hanya berbaring dan tidak melakukan apa-apa pergerakan. Pergi berjalan, bersandar, bergoyang atau mencangkung mengikut posisi yang anda rasa selesa! Bagaimanapun, mesti berhati-hati dengan pergerakan dilakukan.

7. SENTUHAN ATAU URUTAN

Dapatkan seorang untuk genggam tangan anda, belai pipi, belai rambut, atau menepuk tangan dan bahu ketika sedang bersalin. Keadan ini dapat membantu memudahkan proses melahirkan terutama jika dilakukan pasangan sendiri.

8. LAMAZE

Kaedah lamaze adalah teknik yang selalu digunakan di Amerika Syarikat. Lamaze mengajar ibu untuk mengurangkan persepsi kesakitan dengan cara bertenang, berlatih pernafasan, mengalih perhatian atau urutan.

9. BRADLEY

Kaedah Bradley pula ialah suami menjadi teman dan mengajar cara melahirkan bersalin. Teknik ini menumpukan tentang senaman ketika hamil dan teknik pernafasan dalaman serta berehat.

INFO TAMBAHAN:

  • Dapatkan teknik meneran betul di pautan ini: Praktis 12 Teknik Meneran Ketiika Bersalin Supaya Dapat Kurangkan Sakit.
  • Kesakitan ketika bersalin juga berpunca daripada tekanan pada kantung dan usus disebabkan kepala bayi semakin meregang ke arah tempat kelahiran dan vagina.
  • Pengambilan perlindungan perubatan untuk ibu hamil dan bayi dalam kandungan amat membantu sebagai persediaan sebelum anda bersalin.

Selamat mencuba!

SUMBER: BabyCentre | FitPregnancy

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda