KALAU sejak kecil sudah disuapkan aneka makanan tidak sihat, memang tidak hairan kenapa berat badan anak gemuk melampau atau obes. Bayi atau kanak-kanak tembam memang nampak comel, tetapi jangan pula tidak tahu anak itu berisiko tinggi mendapat masalah kesihatan sepanjang membesar kelak.

Antara masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan obes ialah jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, strok dan beberapa jenis penyakit kanser. Bagi memastikan anak tidak terus membesar sebagai seorang obes, mari kita sama-sama jaga pemakanan hariannya.

1. TABIAT PEMAKANAN SIHAT

Amalan pemakanan sihat mesti dimulakan sejak awal. Belum terlambat untuk kita ubah nasib anak sekiranya dia masih kanak-kanak! Bantu anak faham bahawa makanan berkhasiat saja perlu diambil setiap hari kerana penting untuk kesihatan.

2. TINGKATKAN PENGETAHUAN PEMAKANAN

Kita juga mesti rajin membaca dan berbincang dengan pakar kesihatan seperti doktor pakar kanak-kanak atau pakar dietik. Jadikan ‘Piramid Makanan Malaysia’ sebagai sumber rujukan diet. Ia boleh diguna untuk anak seawal umurnya 2 tahun.

3. BERI PILIHAN MAKANAN SIHAT

Sediakan pelbagai makanan di rumah, jadi anak akan bijak membuat pilihan sihat. Makanan tinggi lemak dan gula harus diambil dalam kuantiti sedikit. Lemak pula tidak harus dihadkan dalam diet anak tetapi lebih baik dikurangkan.

4. KURANG LEMAK

Jangan ambil terlalu banyak makanan berlemak. Elakkan masak makanan bergoreng supaya dapat mengurangkan jumlah pengambilan kalori anak setiap hari. Sediakan ayam tanpa kulit.

5. MAKAN PERLAHAN

Kanak-kanak memang sangat mudah lapar. Ajar anak untuk kunyah dan makan secara perlahan-lahan. Ini dapat membantu anak untuk kekal rasa kenyang dalam tempoh lebih lama.

6. LIBATKAN ANAK

Ajak anak ke dapur untuk tolong kita sediakan makanan. Bawa anak ke pasar untuk pilih makanan kegemarannya, sekali gus kita dapat mengajar dia memilih makanan sihat.

7. RANCANG WAKTU SNEK

Pengambilan snek secara berterusan boleh menyebabkan anak makan secara berlebihan. Bagaimanapun, pengambilan snek secara berjadual tidak akan menggangu selera makan anak. Sediakan buah-buahan segar, snek buah kering, kacang dan lain-lain untuk sarapan dan makan petang.

8. TUNJUK CONTOH BAIK

Selain beri anak makanan sihat, jangan lupa mengamalkan gaya hidup aktif. Bawa anak bersenam pada masa lapang atau lakukan apa-apa aktiviti boleh keluar peluh di rumah. Dalam mengajar anak, kita sendiri perlu tunjuk teladan baik.

9. HADKAN MAKANAN TERTENTU

Kanak-kanak tidak sepatutnya dihalang makan. Kita tidak sepatutnya mengatakan, ‘itu tak boleh makan, ini tak boleh makan’. Dapatkan nasihat pakar dietik dalam memastikan pertumbuhan dan pembesaran anak tidak terganggu. Pilih makanan lebih berkhasiat berbanding makanan ringan untuk anak.

TIP TAMBAHAN:

  • Lemak tidak patut dihadkan dalam diet kanak-kanak yang berumur kurang dua tahun.
  • Anak usia 2-5 tahun perlu amalkan diet mengandungi lemak yang tidak lebih 30 peratus kalori harian.

SUMBER: Diet

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda