CUTI sekolah akan bermula tidak lama lagi. Bagi ibu bapa yang tidak tahu untuk membawa anak bercuti di mana, kami kongsikan tempat menarik di Langkawi ini untuk panduan anda.

Disamping bercuti, anak anda juga boleh menimbah ilmu pengetahuan tentang sejarah di Langkawi. Semoga bermanfaat untuk semua.

BACA>>> 8 Taman Tema Air Bajet untuk Bawa Anak Sempena Cuti Sekolah

1. UNDERWATER WORLD LANGKAWI 

Akuarium terbesar (60,000 kaki persegi) di Malaysia ini antara tempat menarik Langkawi yang sentiasa mendapat kunjungan ramai. Akuarium ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang meliputi pelbagai spesies hidupan laut.

Selain melalui terowong dalam air sepanjang 15 meter, anak-anak juga pasti terhibur melihat telatah penguin di sini!

Harga Tiket: RM36-46 (dewasa), RM26-36 (kanak-kanak)

2. LANGKAWI WILDLIFE AND BIRD PARADISE

Taman seluas 5 hektar ini mempunyai lebih 2,000 burung dari 150 spesies dan pelbagai jenis hidupan liar dari seluruh dunia.

Yang menariknya, anda dan anak-anak berpeluang untuk memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sini. Di dalam taman ini juga ada air terjun buatan setinggi 15m.

Harga Tiket: RM24-39 (dewasa), RM16-22 (kanak-kanak)

3. TAMAN BUAYA LANGKAWI

Berlatarbelakangkan pergunungan, taman seluas 20 ekar ini menempatkan 4,000 ekor buaya termasuklah beberapa spesies buaya terbesar iaitu Buaya Tembaga dan Buaya Siam.

Persembahan buaya pasti menghiburkan anda dan anak-anak. Nak lebih mencabar? Anda bolehlah cuba beri makan kepada buaya!

Harga Tiket: RM18-25 (dewasa), RM12-18 (kanak-kanak). Pakej lain turut disediakan.

4. TAMAN AGRO TEKNOLOGI MARDI

Sambil bersantai dan menikmati keindahan di taman, anda juga boleh merasai kemanisan buah-buahan yang ditanam di sini secara percuma!

Anak-anak pasti tertarik melihat 20 jenis pokok buah-buahan tempatan tumbuh segar dan tersusun cantik.

Harga Tiket: RM10 (dewasa), RM5 (kanak-kanak)

5. KERETA KABEL DAN JAMBATAN GANTUNG LANGKAWI

Langkawi SkyCab ini dinobatkan yang paling curam di dunia, dengan ketinggian 708m di atas paras laut. Wow! Sepanjang perjalanan, anda dapat menikmati pemandangan laut dan hutan yang indah.

Harga Tiket: RM30-55 seorang (Normal). Pakej lain turut disediakan.

Terletak di puncak gunung kecil, Langkawi SkyBridge merupakan jambatan melengkung terpanjang di dunia, kira-kira 125 meter (410 kaki). Bergantung pada cuaca, kawasan ini akan ditutup sementara waktu.

Oh ya! Amaran: Tidak disyorkan kepada mereka yang takutkan ketinggian.

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak)

6. MAKAM MAHSURI

Siapa yang bercuti ke Langkawi patut tahu kisah Mahsuri. Tempat menarik Langkawi yang dikunjungi ramai di mana Mahsuri dibunuh ini telah dijadikan lokasi bersejarah.

Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sekitar pukul 3 petang, anda boleh menyaksikan pementasan teater Lagenda Mahsuri.

Harga Tiket: RM7-15 (dewasa), RM3.50-7 (kanak-kanak)

BACA>>> Jangan Berkira Bercuti Masa Anak Kecil, Inilah Kenangan Bila Besar Nanti…

7. RUMAH TERBALIK LANGKAWI

Dengan reka bentuk yang menarik dan unik, rumah terbalik Langkawi ini merupakan yang terbesar di Asia dengan ketinggian 5 tingkat.

Walaupun agak penat menjelajah, tapi memang berbaloi buat seisi keluarga merasai pengalaman ini!

Harga Tiket: RM18-25 (dewasa), RM15-20 (kanak-kanak)

8. TAMAN LAGENDA LANGKAWI

Bersebelahan Dataran Lang, taman ini mempunyai landskap yang sangat cantik dan indah. 50 hektar laman dihias dengan kisah rakyat di Langkawi, antaranya adalah kisah terkenal Mahsuri dan dua gergasi iaitu Mat Chincang dan Raya.

Parents bolehlah membaca dan perkenalkan kepada anak-anak setiap kisah yang ditulis atas batu.

9. GALERIA PERDANA

Tak perlu ke luar negara, anda boleh melihat seni berharga dan kebudayaan unik dari seluruh negara di sini. Segala anugerah, cenderahati dan hadiah yang diterima dari pemimpin-pemimpin dalam dan luar negara oleh Tun Mahathir telah diabadikan di dalam muzium ini.

Harga Tiket: RM10 (dewasa), RM4 (kanak-kanak) / +RM2 (kamera), +RM5 (kamera video)

SUMBER: TheAsianParent

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda