ANAK yang sudah ketagih dengan gajet seperti telefon pintar, memang payah dipisahkan. Sampaikan kalau tidak diberikan barang idaman itu, mulalah dia memberontak, menangis dan tantrum. Pening kepala bukan? Akhirnya kita berikan saja apa yang dia minta.

Ketagihan gajet mampu memberikan kesan buruk terhadap perkembangan anak. Apa kata kita cuba perlahan-lahan buat tip di bawah ini untuk merawat ketagihan anak.

1. ELAK GUNA TELEFON DEPAN ANAK

Hendak ajar anak tidak bermain gajet, kita kena mulakan dulu. Cuba elak kebiasaan menggunakan telefon pintar depan anak. Kita sering merungut anak tidak boleh tidur kerana mahu main tablet, tetapi kita boleh pula melayan telefon pintar sampai ke Subuh. Ada pula jenis orang yang telefon pintar sentiasa melekat di tangan, hendak melayan anak bermain pun susah.

2. JANGAN BIARKAN GUNA SENDIRI

Inilah kesalahan utama, kerana tidak mahu anak mengganggu kerja kita, kita berikan dia telefon pintar tanpa sebarang pemantauan. Anak pula apabila sudah diberikan gajet, mulalah seronok dan terus tenggelam dalam dunia sendiri sampai ketagih. Awasi anak, pastikan kita sentiasa ada dengan mereka.

3. HADKAN MASA DAN TEMPAT

Buat undang-undang, anak hanya boleh guna gajet dalam tempoh tertentu. Misalnya sejam untuk bermain dan beritahu bila masa sudah tamat. Begitu juga tempat, ajar anak untuk tidak menggunakan gajet ketika makan atau sebagainya.

4. LETAK PASSWORD

Pastikan semua gajet ada kata laluan atau password yang tidak diketahui anak. Tetapi anak kadangkala bijak sampai dia boleh hafal semua itu. Selalu tukar kata kunci atau gunakan cap jari sebagai cara mengaktifkan telefon pintar. Jadi, anak tidak boleh curi guna sesuka hati dan perlu minta izin terlebih dahulu.

5. JANGAN CAS PENUH

Biarkan gajet tidak dicas penuh supaya anak berhenti main lebih awal. Ajar anak, gajet yang sedang dicas tidak boleh digunakan. Lebih baik jika gajet itu dibiarkan tanpa dicas!

6. BUAT AKTIVITI MENYERONOKKAN

Ajak anak kita bermain mainan kegemaran mereka. Buatkan dia leka dan seronok bermain (bukan telefon pintar) supaya lupa tentang gajet. Antara permainan boleh dicuba seperti lumba kereta, pasang LEGO, buat rumah daripada blok ataupun susun kereta.

Mungkin juga boleh bawa anak ke taman permainan untuk mengayuh basikal. Lakukan apa saja anak suka, dia mesti dapat meredakan ketagihannya terhadap gajet.

7. KERJASAMA SUAMI ISTERI PENTING

Kalau sudah kita tidak benarkan anak main telefon pintar, jangan pula pasangan yang berikan. Nanti dia akan terbiasa, apabila ibu sudah larang, ayah mesti bagi. Kerjasama suami isteri penting dalam menangani ketagihan gajet anak.

8. JANGAN BELI GAJET 

Ada kalangan kita, dek tidak mahu anak guna telefon pintar sendiri, dibelikan pula gajet peribadi kepada anak. Ini antara kesilapan besar ibu bapa zaman moden hari ini. Malah siap diberikan seorang satu. Kepada ibu bapa yang sudah terlanjur beli, bolehlah simpan elok-elok di tempat yang anak tidak dapat jumpa. Hanya keluarkan satu dan kongsi dengan adik beradik lain.

9. TUTUP LINE INTERNET

Ini langkah terakhir jika anak masih tidak mahu berhenti main gajet. Tutup line internet di rumah. Tapi jangan pula kita ajar anak bagaimana cara menghidupkan semula Internet. Ingat!

Semoga bermanfaat untuk semua.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda