IBU BAPA selalu jadi cepat marah apabila gagal mengawal tantrum anak hingga menyebabkan perangainya itu bertukar lebih teruk dan semakin sukar diredakan.

Bagi menangani tantrum anak, ada tekniknya. Apa yang penting ibu bapa perlu lebih tenang terlebih dahulu sebelum menenangkan anak yang sedang tantrum.

Jadi, apa yang kita perlu lakukan apabila anak tantrum? Baca perkongsian Pakar Motivasi, Ibu Rose yang dipetik daripada laman Facebooknya. Semoga bermanfaat untuk semua ibu bapa.


Apa Nak Buat Apabila Anak Tantrum?

Anak pada fasa individuating sememangnya sangat mencabar kesabaran ibu bapa, terutama ibu bapa muda. Umur anak fasa individuating ialah sekitar 1 tahun 6 bulan hingga 3 tahun 6 bulan.

Antara situasi mencabar ialah anak tantrum. Ada banyak sebab kenapa dia tantrum, antaranya apabila apa yang dia mahukan tidak dapat, apabila dia cuba lakukan sesuatu tetapi tidak berjaya dilakukan dengan baik dan sebagainya.

Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar apabila anak tantrum. Jadi, sebenarnya apa yang sepatutnya ibu bapa lakukan?

Baiklah, di sini saya cuba untuk kongsikan apakah yang seharusnya ibu bapa buat?

1. TARIK NAFAS 3 KALI

Insya-Allah, proses tarik dan hembus nafas yang panjang akan meningkatkan tahap ketenangan kita. Lakukannya sekurang-kurangnya 3 kali. Sebab nak berurusan dengan anak yang sedang tantrum ini sememangnya memerlukan tahap kesabaran tinggi.

2. TUKAR FREKUENSI

Pada kebiasaannya, anak akan menjerit, dan menangis dengan kuat apabila mula tantrum. Itu bermakna frekuensinya sedang tinggi. Maka, ibubapa bijak seharusnya menurunkan nada suaranya. Anak menjerit, “Saya nak mainan itu!”

Kita jawab dengan suara rendah dan tenang. Suara kita biarlah jelas dan tenang. Keadaan kita sangat penting ketika itu. Sekiranya ibu bapa juga tantrum sama, maka sukarlah isu itu diselesaikan. Api lawan dengan air, Insya-Allah akan lebih mudah diselesaikan.

3. MELUTUT, EYE LEVEL DAN EYE CONTACT

Apabila berbicara dengan anak, boleh melutut supaya aras ketinggian kita sama dengan anak. Rasionalnya ialah supaya tahap ego ibu bapa dapat diturunkan. Paras mata (eye level) dan hubungan mata (eye contact) juga penting supaya anak dapat rasa betapa sayang ibu bapa kepadanya.

4. RAIKAN SUARA ANAK

Selepas berjaya kawal nada suara, seterusnya kita meraikan pula suaranya.

Oh, mainan itu ye. Mainan yang mana satu? Mesti best kan mainan tu kan.” Kita benarkan anak meluahkan apa yang dia mahu dan perasaannya. Kita pula berperanan mendengar dan meraikan suaranya.

Anak akan lebih cepat hilang stres apabila kita bantu dia mengeluarkan apa yang dirasainya. Apabila kita berusaha memahami anak itu, dengan cara ini, anak akan lebih mudah menurunkan energi marah atau kecewa.

5. PELUK ANAK

Peluk ialah kuasa besar. Anak biasanya apabila dipeluk akan mudah menurunkan rasa tantrum. Tetapi, peluklah dari belakang. Kenapa peluk dari belakang? Supaya bila apaanak meronta-ronta, kita yang memeluk ini tidak rasa sakit dipukul.

6. BACAKAN DOA ATAU UCAP KATA-KATA POSITIF

Ketika memeluk anak itu, bolehlah dibacakan apa-apa surah yang sesuai, atau doa-doa yang Insya-Allah boleh menenangkan anak. Boleh juga ucapkan kata-kata positif seperti; “Adik orang yang baik, ibu sayang sangat adik. Adik selalu dengar kata ibu sebab adik sayangkan Allah. Allah sayang adik. Adik sangat penting dan berharga dalam hidup ibu.”

7. BAGI ANAK-ANAK YANG TIDAK SUKA DIPELUK

Ada juga jenis anak yang sangat tidak mahu dipeluk. Maka apa yang perlu ibu bapa buat ialah katakan kepadanya; “Adik, ibu tau adik sangat marah. Ibu ada je dekat tepi ni. Kalau adik dah okay dan nak ibu peluk adik, adik cakap je kat ibu ye.”

Biarkan saja dia lepaskan marah dan geram di satu sudut. Pastikan kedudukan kita dari dirinya tidak jauh, maka kita boleh memantau keadaannya lebih baik. Pada masa sama, walaupun kita tidak dapat memeluknya, kita hantarkan energy kasih sayang padanya. InsyaAllah, lambat laun anak akan tenang akhirnya.

8. BETULKAN KESALAHAN KETIKA SAMA-SAMA SUDAH BERSEDIA

Kebiasannya, ibu bapa cenderung memberi pesan atau menasihati anak apabila anak buat salah.

Sebenarnya itu bukan waktu yang tepat menyampaikan nasihat kerana ketika itu emosi kedua-duanya (ibu bapa dan anak) ialah tidak stabil. Mungkin ketika itu anak sedang marah dan begitu juga kita sebagai ibu bapa. Maka perkataan yang keluar dari mulut ibu bapa cenderung kepada bebelan, ugutan dan seumpamanya.

Contohnya:

Ha, itulah, bukankah mama dah kata, jangan main tangga tu. Kan dah jatuh. Ha, mainlah lagi.

Adik kalau main lagi kat tangga ni, jatuh lagi sekali, ubatlah sendiri. Mama tak nak tolong dah.”

“Siapa suruh main kat tangga, kan dah jatuh? Ingat badan tu kuat sangat ke?”

Kata-kata seumpama itu perlu dielakkan kerana tak membantu pun sebenarnya, malah menambahkan kecederaan emosi pula. Ibu bapa dianjurkan memilih perkataan dan kata-kata yang lebih baik serta pilih juga waktu lain yang lebih tenang.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda